Saturday, September 15, 2012

Bisikan Hati

Berkata Syeikhuna:

Bisikan atau gerakan hati kepada dosa dan maksiat biasanya datang daripada nafsu. Dalang perbuatan ini adalah iblis, syaitan, jin dan konco-konconya serta nafsu jahat manusia itu sendiri yang menyebabkan berlakunya perasaan was-was. Adanya nafsu jahat ini menjadi tempat duduk iblis di dalam diri manusia. Nafsu jahat manusia akan sentiasa mengikut arahan iblis. Di sini, kita perlu mematikan segala bisikan-bisikan hati yang tidak bersesuaian dengan hukum syariat dan tariq

Inilah yang di katakan fana’. Fana’ ertinya mematikan segala bisikan dosa dan maksiat yang tidak bersesuaian dengan syariat dan tariq. Fana’ mematikan segala yang lain selain Allah samada ingatan dunia atau diri sendiri. Di dalam fana’ masih ada pengetahuan tentang binasa (iaitu masih ada bisikan-bisikan). Apabila pengetahuan ini hilang barulah kita mendapat fana’ ul fana.

Bisikan-bisikan lain segalanya akan mati. Untuk mematikan segala bisikan dosa dan maksiat ini, kita perlu ikut susunan perjalanan yang terdapat dalam ilmu kesufian atau tarikat, seperti zikir, istighfar dan selawat. Ketiga-tiga ini adalah bertentangan dengan bisikan dosa dan maksiat. Di sini kita perlu mencari orang yang boleh mengajar kita ilmu kesufian dan kita yakin orang itu boleh mengajar kita sehingga fana’. Jika belajar tanpa guru bermakna syaitanlah guru kita.

Jika kita cinta Allah ikutlah jejak langkah Rasullullah (saw) atau orang (awliya) Allah. Orang Allah sentiasa ada sehingga kiamat. Oleh kerana dunia ini huru-hara dengan dosa dan maksiat. Orang-orang Allah tersembunyi kerana diserang oleh orang-orang dunia. Di sini kita perlu bermunajat kepada Allah agar diberi petunjuk menemui orang Allah ini. Apabila berjumpa dengan mereka maka bersungguh-sungguhlah kita mengikuti ajarannya.

Tiap-tiap sesuatu akan hilang atau binasa dan wajah Allah tetap abadi dengan keagungan dan kemuliaannya. Tidak ada ibadat lebih berkesan daripada memerhati hadirah atau bisikan hati supaya yang lain daripada Allah tidak mempengaruhi anda. Kalau dipengaruhi yang lain daripada Allah seperti anak, harta benda, wanita dan lain-lain, itu adalah takatsur dan syirik maa’ni.

Imam Ghazali menggariskan untuk menjadi orang perjalanan dan mendapat ilmu Allah, orang itu mestilah berawas sebelum berjaya (berhati-hati dengan godaan dosa dan maksiat). Katanya lagi sesungguhnya ada seketul daging, di dalam badan (hati), apabila suci ia maka akan sucilah seluruh anggota badannya (mafhum hadis). Hati ibarat raja dan badan ibarat rakyat. Jika raja memimpin (dengan) lurus  (baik) akan luruslah seluruh rakyatnya.

No comments:

Post a Comment