Thursday, April 5, 2012

Kegagahan, Persilatan & Pertandingan

عن سعيد بن جبير قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم بالبطحاء فأتى عليه يزيد بن ركانة أو ركانة بن يزيد ومعه عير له فقال له: يا محمد هل لك أن تصارعني؟ فقال ما تسبقني أي ما تجعله لى من السبق قال: شاة من غنمي، فصارعه فصرعه فأخذ الشاة، فقال ركانة: هل لك في العود؟ ففعل ذلك مرارا، فقال يا محمد ما وضع جنبى أحد إلى الارض، وما أنت بالذى تصرعنى فأسلم ورد النبي صلى الله عليه وسلم عليه غنمه

“Daripada Said bin Jubair (r.a) kata beliau: Adalah Nabi (s.a.w) berada di Batha’ lalu datang kepada baginda Yazid bin Rukanah atau Rukanah bin Yazid bersama dengannya sekumpulan ternakan/kambing/keldainya lalu berkata: “Wahai Muhammad, adakah mahu engkau berlawan denganku? Maka berkata Nabi (s.a.w): Apakah yang hendak kamu jadikan sebagai ganjaran pertandingan? Jawabnya: Seekor kambing betina daripada milik/hartaku ini. Maka mereka pun berlawan lalu baginda Nabi (s.a.w) berjaya mengalahkannya dan mengambil kambing betina itu. Berkata Rukanah: Mahukah engkau ulang lagi (perlawanan)? Maka mereka pun bergusti beberapa kali lalu dia (Rukanah) berkata: Wahai Muhammad, tidak pernah ada sesiapa yang pernah mengalahkan aku dan engkau sebenarnya (dari segi luaran) bukanlah lawanku lalu dia memeluk Islam dan Nabi (s.a.w) mengembalikan ternakan/kambing milikannya.”

Kalimah تصارعني (berlawan denganku) atau صراع (pergaduhan) berasal dari kalimah صرع yang bermaksud lawan, banting, tumbangkan atau dalam terjemahan bahasa negara jiran kita ianya juga dikatakan sebagai gusti secara amnya dari sudut bahasa bagi umum. Manakala kalimah السبق atau مسابقة atau سبق bermaksud bertanding. Disini ianya merujuk kepada pertandingan perlawanan beradu tenaga. Hadis ini adalah hadis mursal riwayat Imam Abu Daud. Imam Baihaqi menyusun hadis ini dalam Bab Pertandingan. Ulama hadis ada menyatakan ianya adalah hadis yang sahih tetapi ada yang berpendapat ianya adalah hadis dhaif.

Iktibar yang paling agung disini ialah, betapa fizikal Nabi (s.a.w) yang zuhud itu dapat memenangi perlawanan dengan seorang yang memang terkenal dan terbukti hebat dalam ilmu dan bidang tersebut. Itulah antara mukjizat Nabi (s.a.w). Ianya juga iktibar betapa kekukuhan iman itulah gagah dan menang yang sebenar. Terlampau banyak lagi sebenar yang dapat kita ambil iktibar dari hadis ini jika kita mahu mengaji, belajar, bersohbah, berdamping dan tumpu kepada ilmu, bimbingan dan kefahaman para ulama sebenar.

Walau pun hadis mursal tentang Yazid bin Rukanah/Rukanah bin Yazid ini didhaifkan oleh segolongan ulama hadis, namun memang boleh kita mengambilnya sebagai pengajaran. Cuma kita wajiblah menjaga disiplin Ulumul Hadis dalam kita menyebut, membaca, mempelajari, menterjemah dan menafsir semua bentuk hadis. Wajib secara qot'ie (tetap/putus/muktamad) kita menjaga adab dalam menyentuh mana-mana hadis dan riwayat agar ianya tidak menjadi suatu tafsiran yang menyalahi disiplin Ulumul Hadis. Ini akan menjadi suatu bentuk pendustaan yang terlalu besar dosanya disisi Allah (s.w.t).

Terdapat juga riwayat yang lain yang berkisar tentang adab dalam seni pertandingan seperti ini. Riwayat itu ada dalam bentuk hadis dari Nabi (s.a.w) sendiri dan juga dari para sahabat (r.a.hum). Ini wajiblah kita perhati dan teliti apakah sebenarnya bentuk riwayat tersebut. Suatu kepalsuan dan dosa kesalahan yang terlampau amat besar kiranya kita mengatakan riwayat para sahabat (mauquf) sebagai hadis dari Nabi (s.a.w) atau sebaliknya.

Terdapat juga riwayat yang masyhur dari para tabi’in (maqthu’) dan pendapat para ulama muktabar berkisar tentang perkara seni pertahanan ini. Pendapat ini terkenal hingga ada yang disalah erti oleh kalangan awam yang mengatakan ianya hadis Nabi (s.a.w). Ada juga yang mengatakan pendapat ulama tersebut sebagai riwayat dari para sahabat (r.a.hum). Wajib secara muktamad bagi semua agar menjaga perkataan supaya tidak terjerumus dalam membuat dakwaan yang menyalahi atau palsu dalam perkara sebegini.

Memang banyak terdapat hadis Nabi (s.a.w) yang menampakkan anjuran permainan senjata seperti tombak dan memanah. Malahan Nabi (s.a.w) dan para sahabat (r.a.hum) sudah mahir dengan permainan pedang sejak usia yang agak awal lagi. Ada juga hadis yang menunjukkan Nabi (s.a.w) menganjurkan pertandingan lain yang memang berkait rapat dengan seni pertahanan diri seperti menunggang kuda dan berlari. Banyak juga terdapat hadis Nabi (s.a.w) yang menekankan adab dalam menangani dan menggunakan (handling) senjata.

Namun hakikatnya, hadis-hadis ini mempunyai suatu anjuran dan iktibar yang terlalu jauh lebih besar dari sekadar pertandingan, ilmu mempertahankan diri atau senjata. Ini dapat kita lihat dari hadis-hadis yang selainnya yang wurud mengikuti selepas dari hadis yang menceritakan tentang perkara sebegini. Malahan dalam hadis yang tertentu itu sendiri terkandung iktibar yang amat besar. Semoga dapat saya memeluk sepenuhnya segala anjuran dalam apa yang diajar oleh Nabi (s.a.w), para sahabat (r.a.hum) dan para ahlullah (r.hum).

والله ورسوله وأولياءه أعلم

No comments:

Post a Comment