Sunday, April 15, 2012

Dosa & Kehambaan

“Kamu orang-orang Islam tidak akan dapat dikalahkan walaupun pada bilangan yang sedikit. Tetapi kamu pasti dapat dikalahkan walaupun mempunyai bilangan yang ramai, melebihi bilangan musuh, jikalau kamu melakukan dosa-dosa. Dengan ini lindungilah diri kamu daripada perbuatan dosa.” - Saiyidina Abu Bakr (r.a).

Dosa boleh menghalang bantuan Allah dan mendatangkan kemurkaan Allah. Dosa zahir dan batin merupakan suatu bala malapetaka yang amat besar. Disini terkandung suatu misi pertempuran yang besar bagi setiap Mukmin. Pertarungan menentang nafsu serta bertaubat dengan penuh ketaqwaan. Ini adalah rahsia keagungan dan kemajuan Islam, iaitu umatnya mestilah benar-benar bertaqwa seperti yang telah dipraktikkan oleh para kekasih Allah kerana itulah punca kemuliaan dan ketinggian.

Kemuliaan taqwa akan mengikis al-kibr/ego/ujub. Perasaan yang paling bahaya apabila timbul rasa diri sudah sempurna dan terasa dirinya hampir dengan Allah (s.w.t). Inilah warisan kejahanaman dari iblis laknatullah. Ianya bermula dengan ananiyah (keakuan) kemudian membawa kepada diri melihat kepada ibadah, ilmu, amalan dan pelbagai kebaikan dirinya sendiri.

Inilah sebab mengapa Nabi Muhammad (s.a.w) mendidik umatnya dengan baginda (s.a.w) sendiri sentiasa beristighfar tidak kurang dari 70 atau 100 kali dalam sehari, walau pun baginda (s.a.w) Saiyyidul Ma’sumin. Amalan ini supaya pemikiran dan perasaan jasad sejajar dengan pengakuan yang telah diikrarkan oleh roh sewaktu di alam zuriat yang diselubungi sifat kemalaikatan yang mengenal Tuhannya dengan sebenar-benar makrifat.

Tunduk dan patuh terhadap keagungan dan kebesaran Allah (s.w.t). Sewaktu di alam zuriat Allah Ta’ala pernah berdialog dengan roh seperti dirakamkan di dalam Al-Quranul Karim:
أ لست بربكم قالوا بلى شهدنا

"Bukankah aku Tuhan (Rob) kamu semua? (Roh-roh pun menjawab) Bahkan kami menyaksikan kaulah Tuhan (Rob) kami.:
(Al-A’raf: 172)

Semua roh manusia tunduk mutlaq dengan sumpah ikrar pengakuan ini. Tetapi apabila roh ini ditiup ke dalam jasad maka roh telah dibelenggu oleh nafsu-nafsu yang ganas lagi rakus, nafsu yang datang bersama kejadian jasad makanan cacing. Tidak mahu tunduk pada susunan kehambaan syari’at Allah (s.w.t) yang dibawa Al-Mustofa Muhammad (s.a.w) yang kini diwarisi oleh para pewarisnya.

Disusun warisan ilmu kehambaan (fiqh) itu dengan susunan yang indah dan sempurna kerana ianya adalah susunan perintah Al-Khaliq. Dalam kitab Sabilal Muhtadin menyebut:
1- Ibadat bagi mengawasi Quwwatun Natiqah (Dorongan aqal yang gemar membuat andaian dan tanggapan sendiri tanpa landasan syar’ie)
2- Muamalat bagi mengawal Quwwatun Batniyah (Dorongan keinginan pada makanan, harta benda dan pelbagai milikan)
3- Munakahat bagi menundukkan Quwwatun Farjiyah (Dorongan kelamin dan kekeluargaan yang ingin dipenuhi kehendaknya)
4- Jinayat bagi mengekang Quwwatun Ghadhabiyyah (Dorongan sifat ammarah yang boleh membawa kehancuran)

Apabila seseorang menuruti jejak langkah para ulama pewaris Nabi (s.a.w), maka akan dilabel sebagai sesat, sempit, peniru, taqlid dan bermacam-macam label lagi. Para pengikut Warasatul Anbiya (ulama) dikatakan sesat padahal itulah satu-satunya jalan, tanpa ada pilihan, bagi menuju kehambaan kepada Robbul Jalil. Pada hakikatnya sipenuduhlah yang disesatkan syaitan, disempitkan andaian kejahilan, peniru jalan iblis dan taqlid kepada kebutaan.

Seorang yahudi diriwayatkan pernah bertanya kepada sahabat (r.a) tentang ajaran Nabi (s.a.w) yang sempurna sehingga mencakupi sekecil-kecil perkara. Sunnahnya mencakupi dari toharah yang paling asas, pakaian, hati, seluruh perbuatan hinggalah kepada sebesar-besar perkara yang zahir dan batin, rohani dan jasmani. Begitulah kesempurnaan susunan ilmu kefahaman (fiqh) kehambaan yang diwahyukan kepada Sayyidul ‘Abidin (s.a.w).


وَاللهُ وَرَسُوْلُهُ وَأَوْلِيَاءُهُ أَعْلَمُ

No comments:

Post a Comment