Saturday, September 15, 2012

Bisikan Hati

Berkata Syeikhuna:

Bisikan atau gerakan hati kepada dosa dan maksiat biasanya datang daripada nafsu. Dalang perbuatan ini adalah iblis, syaitan, jin dan konco-konconya serta nafsu jahat manusia itu sendiri yang menyebabkan berlakunya perasaan was-was. Adanya nafsu jahat ini menjadi tempat duduk iblis di dalam diri manusia. Nafsu jahat manusia akan sentiasa mengikut arahan iblis. Di sini, kita perlu mematikan segala bisikan-bisikan hati yang tidak bersesuaian dengan hukum syariat dan tariq

Inilah yang di katakan fana’. Fana’ ertinya mematikan segala bisikan dosa dan maksiat yang tidak bersesuaian dengan syariat dan tariq. Fana’ mematikan segala yang lain selain Allah samada ingatan dunia atau diri sendiri. Di dalam fana’ masih ada pengetahuan tentang binasa (iaitu masih ada bisikan-bisikan). Apabila pengetahuan ini hilang barulah kita mendapat fana’ ul fana.

Bisikan-bisikan lain segalanya akan mati. Untuk mematikan segala bisikan dosa dan maksiat ini, kita perlu ikut susunan perjalanan yang terdapat dalam ilmu kesufian atau tarikat, seperti zikir, istighfar dan selawat. Ketiga-tiga ini adalah bertentangan dengan bisikan dosa dan maksiat. Di sini kita perlu mencari orang yang boleh mengajar kita ilmu kesufian dan kita yakin orang itu boleh mengajar kita sehingga fana’. Jika belajar tanpa guru bermakna syaitanlah guru kita.

Jika kita cinta Allah ikutlah jejak langkah Rasullullah (saw) atau orang (awliya) Allah. Orang Allah sentiasa ada sehingga kiamat. Oleh kerana dunia ini huru-hara dengan dosa dan maksiat. Orang-orang Allah tersembunyi kerana diserang oleh orang-orang dunia. Di sini kita perlu bermunajat kepada Allah agar diberi petunjuk menemui orang Allah ini. Apabila berjumpa dengan mereka maka bersungguh-sungguhlah kita mengikuti ajarannya.

Tiap-tiap sesuatu akan hilang atau binasa dan wajah Allah tetap abadi dengan keagungan dan kemuliaannya. Tidak ada ibadat lebih berkesan daripada memerhati hadirah atau bisikan hati supaya yang lain daripada Allah tidak mempengaruhi anda. Kalau dipengaruhi yang lain daripada Allah seperti anak, harta benda, wanita dan lain-lain, itu adalah takatsur dan syirik maa’ni.

Imam Ghazali menggariskan untuk menjadi orang perjalanan dan mendapat ilmu Allah, orang itu mestilah berawas sebelum berjaya (berhati-hati dengan godaan dosa dan maksiat). Katanya lagi sesungguhnya ada seketul daging, di dalam badan (hati), apabila suci ia maka akan sucilah seluruh anggota badannya (mafhum hadis). Hati ibarat raja dan badan ibarat rakyat. Jika raja memimpin (dengan) lurus  (baik) akan luruslah seluruh rakyatnya.

Friday, April 27, 2012

Seni Silat Telapak Nusantara (Fifth Level)

The ‘Flowery’ movements will be developed to a more sophisticated level. A complicated and unique ancient method will be taught at this level. The use of among the most ancient weapon; 'tongkat' or cane, will also be revealed. The ‘formlessness’ and ‘stillness’ philosophy will also be emphasized to greater degree at this level.

The method of utilizing the ‘useless’ and ‘awkward’ techniques will be taught. This will ensure pesilat gains a deeper understanding of their art, and acquires an exceptional level of skill. All details within a situation will be turned to one’s advantage, so the ability of being in control with calmness can be cultivated fully.

Training methods in order to sharpen the senses will be taught using diverse methods, but in accordance to the natural ability of a human being and with strict rules (adab).

The way of the weapon is shown in order to respect it appropriately and taming it. The natural instinct of a true 'pendekar' will slowly reveal itself within. Dedication to following rules and details must be practiced at all times.

Seni Silat Telapak Nusantara Malaysia (Gelanggang Kelima)

Kesemua bunga dan rangkaian gerak langkah dari gelanggang sebelumnya dikupas secara lebih mendalam digelanggang ini. Disamping itu kaedah tempur bermedan yang lebih rumit dan unik dilatih dengan lebih giat menggunakan pelbagai lagi kaedah silat tua. Penggunaan senjata yang paling tua iaitu tongkat didedahkan kepada pesilat.

“Gerak dalam diam”, “langkah dalam diam” dan “gerak langkah dalam diam” dihayati dengan lebih teliti disini. “Langkah sumbang” akan lebih ditekankan manfaatnya disini bagi melahirkan kemahiran bersilat yang lebih tinggi. Ini penting dalam menjinakkan muslihat lawan. Setiap perkara atau keadaan dimanfaatkan sepenuhnya agar mampu menguasai medan dengan tenang dan teratur secara menyeluruh.

Kepekaan deria akan lebih dipertingkatkan menggunakan pelbagai kaedah latihan, petua dan amalan. Segala usaha-usaha tersebut mestilah dibatasi adab dan kemampuan semulajadi manusia. Teknik menghormati dan menjinakkan senjata melalui lanjutannya disini.

Peribadi “pandai akal” sudah mula mantap secara beransur-ansur. Penekanan dalam menjaga adab fizikal dan mental, zahir dan batin, rohani dan jasmani, lebih lagi diutamakan dan diberi perhatian. Tradisi berlatih dan melatih secara berterusan ditekankan.

Sunday, April 15, 2012

Dosa & Kehambaan

“Kamu orang-orang Islam tidak akan dapat dikalahkan walaupun pada bilangan yang sedikit. Tetapi kamu pasti dapat dikalahkan walaupun mempunyai bilangan yang ramai, melebihi bilangan musuh, jikalau kamu melakukan dosa-dosa. Dengan ini lindungilah diri kamu daripada perbuatan dosa.” - Saiyidina Abu Bakr (r.a).

Dosa boleh menghalang bantuan Allah dan mendatangkan kemurkaan Allah. Dosa zahir dan batin merupakan suatu bala malapetaka yang amat besar. Disini terkandung suatu misi pertempuran yang besar bagi setiap Mukmin. Pertarungan menentang nafsu serta bertaubat dengan penuh ketaqwaan. Ini adalah rahsia keagungan dan kemajuan Islam, iaitu umatnya mestilah benar-benar bertaqwa seperti yang telah dipraktikkan oleh para kekasih Allah kerana itulah punca kemuliaan dan ketinggian.

Kemuliaan taqwa akan mengikis al-kibr/ego/ujub. Perasaan yang paling bahaya apabila timbul rasa diri sudah sempurna dan terasa dirinya hampir dengan Allah (s.w.t). Inilah warisan kejahanaman dari iblis laknatullah. Ianya bermula dengan ananiyah (keakuan) kemudian membawa kepada diri melihat kepada ibadah, ilmu, amalan dan pelbagai kebaikan dirinya sendiri.

Inilah sebab mengapa Nabi Muhammad (s.a.w) mendidik umatnya dengan baginda (s.a.w) sendiri sentiasa beristighfar tidak kurang dari 70 atau 100 kali dalam sehari, walau pun baginda (s.a.w) Saiyyidul Ma’sumin. Amalan ini supaya pemikiran dan perasaan jasad sejajar dengan pengakuan yang telah diikrarkan oleh roh sewaktu di alam zuriat yang diselubungi sifat kemalaikatan yang mengenal Tuhannya dengan sebenar-benar makrifat.

Tunduk dan patuh terhadap keagungan dan kebesaran Allah (s.w.t). Sewaktu di alam zuriat Allah Ta’ala pernah berdialog dengan roh seperti dirakamkan di dalam Al-Quranul Karim:
أ لست بربكم قالوا بلى شهدنا

"Bukankah aku Tuhan (Rob) kamu semua? (Roh-roh pun menjawab) Bahkan kami menyaksikan kaulah Tuhan (Rob) kami.:
(Al-A’raf: 172)

Semua roh manusia tunduk mutlaq dengan sumpah ikrar pengakuan ini. Tetapi apabila roh ini ditiup ke dalam jasad maka roh telah dibelenggu oleh nafsu-nafsu yang ganas lagi rakus, nafsu yang datang bersama kejadian jasad makanan cacing. Tidak mahu tunduk pada susunan kehambaan syari’at Allah (s.w.t) yang dibawa Al-Mustofa Muhammad (s.a.w) yang kini diwarisi oleh para pewarisnya.

Disusun warisan ilmu kehambaan (fiqh) itu dengan susunan yang indah dan sempurna kerana ianya adalah susunan perintah Al-Khaliq. Dalam kitab Sabilal Muhtadin menyebut:
1- Ibadat bagi mengawasi Quwwatun Natiqah (Dorongan aqal yang gemar membuat andaian dan tanggapan sendiri tanpa landasan syar’ie)
2- Muamalat bagi mengawal Quwwatun Batniyah (Dorongan keinginan pada makanan, harta benda dan pelbagai milikan)
3- Munakahat bagi menundukkan Quwwatun Farjiyah (Dorongan kelamin dan kekeluargaan yang ingin dipenuhi kehendaknya)
4- Jinayat bagi mengekang Quwwatun Ghadhabiyyah (Dorongan sifat ammarah yang boleh membawa kehancuran)

Apabila seseorang menuruti jejak langkah para ulama pewaris Nabi (s.a.w), maka akan dilabel sebagai sesat, sempit, peniru, taqlid dan bermacam-macam label lagi. Para pengikut Warasatul Anbiya (ulama) dikatakan sesat padahal itulah satu-satunya jalan, tanpa ada pilihan, bagi menuju kehambaan kepada Robbul Jalil. Pada hakikatnya sipenuduhlah yang disesatkan syaitan, disempitkan andaian kejahilan, peniru jalan iblis dan taqlid kepada kebutaan.

Seorang yahudi diriwayatkan pernah bertanya kepada sahabat (r.a) tentang ajaran Nabi (s.a.w) yang sempurna sehingga mencakupi sekecil-kecil perkara. Sunnahnya mencakupi dari toharah yang paling asas, pakaian, hati, seluruh perbuatan hinggalah kepada sebesar-besar perkara yang zahir dan batin, rohani dan jasmani. Begitulah kesempurnaan susunan ilmu kefahaman (fiqh) kehambaan yang diwahyukan kepada Sayyidul ‘Abidin (s.a.w).


وَاللهُ وَرَسُوْلُهُ وَأَوْلِيَاءُهُ أَعْلَمُ

Thursday, April 5, 2012

Kegagahan, Persilatan & Pertandingan

عن سعيد بن جبير قال: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم بالبطحاء فأتى عليه يزيد بن ركانة أو ركانة بن يزيد ومعه عير له فقال له: يا محمد هل لك أن تصارعني؟ فقال ما تسبقني أي ما تجعله لى من السبق قال: شاة من غنمي، فصارعه فصرعه فأخذ الشاة، فقال ركانة: هل لك في العود؟ ففعل ذلك مرارا، فقال يا محمد ما وضع جنبى أحد إلى الارض، وما أنت بالذى تصرعنى فأسلم ورد النبي صلى الله عليه وسلم عليه غنمه

“Daripada Said bin Jubair (r.a) kata beliau: Adalah Nabi (s.a.w) berada di Batha’ lalu datang kepada baginda Yazid bin Rukanah atau Rukanah bin Yazid bersama dengannya sekumpulan ternakan/kambing/keldainya lalu berkata: “Wahai Muhammad, adakah mahu engkau berlawan denganku? Maka berkata Nabi (s.a.w): Apakah yang hendak kamu jadikan sebagai ganjaran pertandingan? Jawabnya: Seekor kambing betina daripada milik/hartaku ini. Maka mereka pun berlawan lalu baginda Nabi (s.a.w) berjaya mengalahkannya dan mengambil kambing betina itu. Berkata Rukanah: Mahukah engkau ulang lagi (perlawanan)? Maka mereka pun bergusti beberapa kali lalu dia (Rukanah) berkata: Wahai Muhammad, tidak pernah ada sesiapa yang pernah mengalahkan aku dan engkau sebenarnya (dari segi luaran) bukanlah lawanku lalu dia memeluk Islam dan Nabi (s.a.w) mengembalikan ternakan/kambing milikannya.”

Kalimah تصارعني (berlawan denganku) atau صراع (pergaduhan) berasal dari kalimah صرع yang bermaksud lawan, banting, tumbangkan atau dalam terjemahan bahasa negara jiran kita ianya juga dikatakan sebagai gusti secara amnya dari sudut bahasa bagi umum. Manakala kalimah السبق atau مسابقة atau سبق bermaksud bertanding. Disini ianya merujuk kepada pertandingan perlawanan beradu tenaga. Hadis ini adalah hadis mursal riwayat Imam Abu Daud. Imam Baihaqi menyusun hadis ini dalam Bab Pertandingan. Ulama hadis ada menyatakan ianya adalah hadis yang sahih tetapi ada yang berpendapat ianya adalah hadis dhaif.

Iktibar yang paling agung disini ialah, betapa fizikal Nabi (s.a.w) yang zuhud itu dapat memenangi perlawanan dengan seorang yang memang terkenal dan terbukti hebat dalam ilmu dan bidang tersebut. Itulah antara mukjizat Nabi (s.a.w). Ianya juga iktibar betapa kekukuhan iman itulah gagah dan menang yang sebenar. Terlampau banyak lagi sebenar yang dapat kita ambil iktibar dari hadis ini jika kita mahu mengaji, belajar, bersohbah, berdamping dan tumpu kepada ilmu, bimbingan dan kefahaman para ulama sebenar.

Walau pun hadis mursal tentang Yazid bin Rukanah/Rukanah bin Yazid ini didhaifkan oleh segolongan ulama hadis, namun memang boleh kita mengambilnya sebagai pengajaran. Cuma kita wajiblah menjaga disiplin Ulumul Hadis dalam kita menyebut, membaca, mempelajari, menterjemah dan menafsir semua bentuk hadis. Wajib secara qot'ie (tetap/putus/muktamad) kita menjaga adab dalam menyentuh mana-mana hadis dan riwayat agar ianya tidak menjadi suatu tafsiran yang menyalahi disiplin Ulumul Hadis. Ini akan menjadi suatu bentuk pendustaan yang terlalu besar dosanya disisi Allah (s.w.t).

Terdapat juga riwayat yang lain yang berkisar tentang adab dalam seni pertandingan seperti ini. Riwayat itu ada dalam bentuk hadis dari Nabi (s.a.w) sendiri dan juga dari para sahabat (r.a.hum). Ini wajiblah kita perhati dan teliti apakah sebenarnya bentuk riwayat tersebut. Suatu kepalsuan dan dosa kesalahan yang terlampau amat besar kiranya kita mengatakan riwayat para sahabat (mauquf) sebagai hadis dari Nabi (s.a.w) atau sebaliknya.

Terdapat juga riwayat yang masyhur dari para tabi’in (maqthu’) dan pendapat para ulama muktabar berkisar tentang perkara seni pertahanan ini. Pendapat ini terkenal hingga ada yang disalah erti oleh kalangan awam yang mengatakan ianya hadis Nabi (s.a.w). Ada juga yang mengatakan pendapat ulama tersebut sebagai riwayat dari para sahabat (r.a.hum). Wajib secara muktamad bagi semua agar menjaga perkataan supaya tidak terjerumus dalam membuat dakwaan yang menyalahi atau palsu dalam perkara sebegini.

Memang banyak terdapat hadis Nabi (s.a.w) yang menampakkan anjuran permainan senjata seperti tombak dan memanah. Malahan Nabi (s.a.w) dan para sahabat (r.a.hum) sudah mahir dengan permainan pedang sejak usia yang agak awal lagi. Ada juga hadis yang menunjukkan Nabi (s.a.w) menganjurkan pertandingan lain yang memang berkait rapat dengan seni pertahanan diri seperti menunggang kuda dan berlari. Banyak juga terdapat hadis Nabi (s.a.w) yang menekankan adab dalam menangani dan menggunakan (handling) senjata.

Namun hakikatnya, hadis-hadis ini mempunyai suatu anjuran dan iktibar yang terlalu jauh lebih besar dari sekadar pertandingan, ilmu mempertahankan diri atau senjata. Ini dapat kita lihat dari hadis-hadis yang selainnya yang wurud mengikuti selepas dari hadis yang menceritakan tentang perkara sebegini. Malahan dalam hadis yang tertentu itu sendiri terkandung iktibar yang amat besar. Semoga dapat saya memeluk sepenuhnya segala anjuran dalam apa yang diajar oleh Nabi (s.a.w), para sahabat (r.a.hum) dan para ahlullah (r.hum).

والله ورسوله وأولياءه أعلم

Monday, January 9, 2012

Undang-Undang Perjalanan

1. Wirid-wirid biasa hendaklah diamalkan. Sekiranya bersolah di tempat orang ramai maka hendaklah wirid berseorangan dan perlahankan seboleh-boleh yang dapat. Lebih afdhal lagi dibuat di rumah sendiri.
2. Kebebasan bergaul selagi tidak melanggar hukum syarak.
3. Berbuat baik sesama manusia lebih-lebih lagi dengan orang yang jahil (maksud jahil di sini ialah jahil dalam erti kesufian).
4. Memberi salam kepada sesiapa sahaja yang beragama Islam.
5. Jangan sekali-kali suka ambil tahu rahsia orang lain dan jangan ambil tahu akan kesalahan orang lain. Carilah kesalahan diri sendiri.
6. Kuat bekerja mencari nafkah yang halal. Jangan berdiam diri seperti burung malas.
7. Setiap orang mestilah berdakwah sekurang-kurangnya kepada ahli sendiri.
8. Berkekalan menuntut ilmu di mana jua.
9. Sentiasa menolong orang yang dalam kesempitan.
10. Bersedekah kepada fakir miskin dan pada jalan keredhaan Allah (SWT).
11. Lazimkan menziarah orang-orang yang sakit dan yang meninggal dunia.
12. Sentiasa melazimkan sunnah Nabi Muhammad (SAW) dalam segenap urusan.
13. Jangan berjauhan daripada majlis agama.
14. Banyakkan berdoa bagi orang Muslimin.
15. Buatlah semua ini hanya semata-mata mencari keredhaan Allah (SWT).

والسلام على من أتبع الهدى