Thursday, December 22, 2011

Anak & Keluarga

Tarbiyyah anak-anak bukanlah memadai dengan hanya menghantar mereka mengaji dan ke madrasah sahaja. Ada ramai yang dah mengaji agama tinggi-tinggi dan hafal Quran tetapi masih dikuasai nafsu dan diperkuda dek iblis dan syaitan dari golongan jin dan manusia.

Ini mestilah kita akui dan sedari. Kerana itulah tarbiyyah menyeluruh untuk semua tempat dan keadaan wajiblah dilaksanakan yang mencakupi ruh dan jasad serta rohani dan jasmani. Anak-anak pula apabila meningkat dewasa maka semakin payah untuk kita bentuk kerana diwaktu ini mereka lebih dipengaruhi oleh persekitaran dunia yang majoritinya memang menjurus kepada maksiat zahir dan batin.

Terkecualilah sekiranya memang telah kita latih mereka agar taat pada Allah (SWT) dan Nabi (SAW) serta ibubapa dari sejak dalam kandungan. Malahan pendidikan ini seharusnya bermula dari sebelum anak itu ada dalam kandungan yakni ianya bermula secara intensif dan menyeluruh terhadap diri kita sendiri.

Apabila anak telah dewasa maka cara kita terhadap mereka haruslah sama dengan cara kita terhadap orang dewasa yang lain yakni dinasihat dan ditegur dengan penuh hormat dan kasih sayang.

Namun perkara ini bukanlah mudah, malah jauh lebih payah lagi berbanding menegur dan menasihati orang dewasa yang lain. Didikan, nasihat, teguran, bimbingan dan panduan terhadap anak dan isteri khasnya, dan keluarga amnya merupakan perintah yang wajib dari Allah (SWT) terutama kepada para suami.

Cabaran mendidik anak yang mempunyai latarbelakang didikan agama pula ialah wujudnya sifat sombong dan bongkak didalam diri mereka kerana merasakan diri berilmu. Kerana itulah maka tarbiyyah ruhiyyah atau didikan rohani yang paling penting dan berkesan terhadap mereka.

Didikan ini adalah dengan mengajak mereka sama-sama menyempurnakan segala amalan ilmu kedalam segenap hidup fizikal, mental dan spiritual.

Ini mestilah dilakukan bersama dan terdapat kaedah yang tepat didalam melaksanakannya secara bersama. Buat permulaan, tanamkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad (SAW) dan ajaklah mereka menundukkan nafsu dengan amalan mudah dan ringkas secara bersama.

No comments:

Post a Comment