Sunday, December 25, 2011

Cinta & Nafsu

Tiadanya cinta kepada Nabi Muhammad (SAW) dan tewas dengan nafsu sendiri merupakan perkara paling utama yang mendorong manusia kearah kerosakan tanpa mengira sama ada mereka berpendidikan agama atau tidak.

Apabila wujud cinta kepada Nabi (SAW) maka akan bersinarlah rasa minat yang mendalam untuk mentaati perintah Allah (SWT).

Nafsu pula adalah alat yang paling ampuh dan mudah bagi iblis dan syaitan gunakan semula terhadap diri manusia. Nafsu memang sudah sedia wujud dalam diri manusia tetapi menjadi kewajipan semua untuk mengawal, mengatasi dan menundukkannya.

Asas yang paling utama bagi melakukannya ialah memperolehi cinta kepada Nabi Muhammad (SAW). Amalan selawat merupakan antara amalan yang mudah namun memberikan impak yang besar secara fizikal, mental dan spiritual.

Selawat dinyatakan dalam Quran dan hadis mempunyai keutamaan dan kelebihan yang banyak. Amalan ini mampu mendidik rohani untuk mewujudkan kecintaan kepada Islam secara menyeluruh.

Thursday, December 22, 2011

Anak & Keluarga

Tarbiyyah anak-anak bukanlah memadai dengan hanya menghantar mereka mengaji dan ke madrasah sahaja. Ada ramai yang dah mengaji agama tinggi-tinggi dan hafal Quran tetapi masih dikuasai nafsu dan diperkuda dek iblis dan syaitan dari golongan jin dan manusia.

Ini mestilah kita akui dan sedari. Kerana itulah tarbiyyah menyeluruh untuk semua tempat dan keadaan wajiblah dilaksanakan yang mencakupi ruh dan jasad serta rohani dan jasmani. Anak-anak pula apabila meningkat dewasa maka semakin payah untuk kita bentuk kerana diwaktu ini mereka lebih dipengaruhi oleh persekitaran dunia yang majoritinya memang menjurus kepada maksiat zahir dan batin.

Terkecualilah sekiranya memang telah kita latih mereka agar taat pada Allah (SWT) dan Nabi (SAW) serta ibubapa dari sejak dalam kandungan. Malahan pendidikan ini seharusnya bermula dari sebelum anak itu ada dalam kandungan yakni ianya bermula secara intensif dan menyeluruh terhadap diri kita sendiri.

Apabila anak telah dewasa maka cara kita terhadap mereka haruslah sama dengan cara kita terhadap orang dewasa yang lain yakni dinasihat dan ditegur dengan penuh hormat dan kasih sayang.

Namun perkara ini bukanlah mudah, malah jauh lebih payah lagi berbanding menegur dan menasihati orang dewasa yang lain. Didikan, nasihat, teguran, bimbingan dan panduan terhadap anak dan isteri khasnya, dan keluarga amnya merupakan perintah yang wajib dari Allah (SWT) terutama kepada para suami.

Cabaran mendidik anak yang mempunyai latarbelakang didikan agama pula ialah wujudnya sifat sombong dan bongkak didalam diri mereka kerana merasakan diri berilmu. Kerana itulah maka tarbiyyah ruhiyyah atau didikan rohani yang paling penting dan berkesan terhadap mereka.

Didikan ini adalah dengan mengajak mereka sama-sama menyempurnakan segala amalan ilmu kedalam segenap hidup fizikal, mental dan spiritual.

Ini mestilah dilakukan bersama dan terdapat kaedah yang tepat didalam melaksanakannya secara bersama. Buat permulaan, tanamkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad (SAW) dan ajaklah mereka menundukkan nafsu dengan amalan mudah dan ringkas secara bersama.

Monday, December 5, 2011

Berhijrahlah

Hijrah pada hakikat sebenarnya adalah suatu pergerakan hijrah roh dan jasad menuju Allah (swt) secara bersama-sama berjemaah dengan ilmu, bimbingan dan kefahaman orang-orang kepercayaan Allah (swt) iaitu para pewaris Nabi, ulama soleh lagi wara’.

المسلمُ مَن سلِم الْمسلمونَ مِن لسانِهِ ويدِهِ، والمهاجرُ مَن هجرَ ما نهى الله عنهُ
“Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (Riwayat Bukhari)

Selepas dari peristiwa pembukaan Makkah, apabila ada sahabat yang ingin berikrar atas hijrah kepada Nabi (saw) maka baginda (saw) bersabda:
إنَّ الهِجرةَ قَدْ مَضَتْ لِأَهْلِهَا. ولكن على الإسلامِ والجهادِ والخيرِ
“Sesungguhnya hijrah telah berlalu bagi ahlinya. Tetapi ikrar atas Islam, jihad dan kebaikan masih terus berlaku.” (Riwayat Muslim)

لا هجرةَ بعدَ فتحِ مكَّةَ، ولكن أُبَايِعُهُ على الإسلام
“Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah tetapi bolehlah berjanji setia atas Islam.” (Riwayat Bukhari)

Penegasan tiada lagi hijrah selepas Makkah juga diikuti dengan perintah Nabi (saw) agar kekal duduk di negeri masing-masing selagimana boleh ditegakkan Islam, meneruskan mengerjakan kebaikan, menjaga niat dan berbuat baik kepada ibubapa. Ini disabdakan baginda (saw) dalam beberapa hadis yang lain.