Wednesday, November 9, 2011

Tujuan

Marilah bersama-sama merenung serta menghayati beberapa potong ayat Al-Quranulkarim yang menceritakan untuk tujuan apakah kita diciptakan dan dilahirkan di dunia yang fana’ ini. Semoga ianya memberi peringatan bagi yang lalai dan yang leka dan menjadi kekuatan bagi yang sentiasa berwaspada.

ما خلقت الجن والأنس الا ليعبدون
“Tidak aku ciptakan golongan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan mengabdikan diri kepadaKu.” (Az-Zariyat: 56)

Berkata Imam ibnu Juraij (r.a), ليعبدون boleh juga ditafsirkan dengan tafsiran ليعرفون maknanya: supaya kamu mencapai sepenuh-penuh pengenalan terhadap Allah Taala.

Di dalam ayat ini, Allah Taala telah menceritakan tujuan jin dan manusia diciptakan dan tujuan jin dan manusia dilahirkan di dunia ini, hanyalah untuk mengabdikan diri kepadaNya dan mengenalNya dengan sebenar-benar pengenalan.

Mengenal Dialah Allah Tuhan yang Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Pencipta, Maha Gagah Perkasa, Maha Bijaksana, Maha Pengampun, Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha segala Sifat Kesempurnaan. Manakala mengenal, mengakui dan menyedari tentang diri kita yang bersifat dengan sifat kelemahan, kejahilan, kebodohan, keburukan dan segala sifat kekurangan.

Di dalam ayat yang lain Al-Quran menjelaskan lagi:
يا أيها الناس انا خلقناكم من ذكر و أنثى و جعلناكم شعوبا و قبا ئل لتعارفوا ان أكرمكم عند الله أتقاكم
“Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan wanita, dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berbilang bangsa supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu ialah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Hujurat: 13)

Berkata sebahagian ahli tafsir لتعارفوا di dalam ayat tadi boleh juga ditafsirkan dengan makna ‘supaya kamu mencapai sepenuh-penuh pengenalan terhadap Pencipta kamu’. Ayat selepasnya mentakkidkan (menegaskan) bahawa orang yang paling mulia dan paling hampir di sisi Allah Taala ialah orang yang dapat menyempurnakan sepenuh-penuh pengenalan terhadap penciptanya iaitu dinamakan takwa.

(Oleh: Maulana Zahari Yusuf, MNI)

No comments:

Post a Comment