Wednesday, November 16, 2011

Kasih, Cinta & Rindu

Pepatah mengatakan “tak kenal maka tak cinta”. Semakin kenal semakin pula asyik jadinya, asyik dengan cinta. Iman sebenarnya dan hakikatnya adalah kasih, cinta dan rindu kepada Allah dan Rasul. Iman tanpa semua itu, tidaklah boleh dianggap sebagai beriman. Bertambah kasih, cinta dan rindu maka akan bertambahlah Iman di dalam hati. Sejauh mana dalamnya, manisnya dan sebatinya Iman bergantung kepada sedalam mana kasih, kecintaan dan kerinduan tersebut.

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْن.َ
“Tidak beriman seseorang hamba melainkan sehingga aku adalah yang paling dikasihi berbanding bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” (Riwayat Imam Bukhari)

Allahu Ahad! Sebegitukah kasihnya kita kepada kekasih Allah ini? Bagaimana hendak timbul kasih jika tidak kenal baginda (saw)? Bagaimana hendak cinta jika tidak ingin diliputi batang tubuh dengan kegemaran dan kesukaan (sunnah) baginda (saw)? Malah sunnah pun tak mahu lagi dipelajari! Ada pula yang membenci golongan yang berusaha menghidupkan sunnah. Lebih parah lagi, ada yang membenci dan menghina sunnah baginda (saw), nauzubillahiminzalik!

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الاْءِيْماَنِ , مَنْ كاَنَ اللَّهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ,وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءُ لاَ يُحِبَّ اِلأَّ لِلَّهِ. وَأَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْقَذَهُ اللَّهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِى النَّارِ.
“Tiga perkara sesiapa yang mempunyainya akan didapati dengannya kemanisan Iman: Pertama, mereka yang adalah Allah dan Rasul paling dikasihinya berbanding perkara yang selain daripada keduanya. Kedua, bahawa seseorang yang tidak akan kasih kepada suatu perkara melainkan kasihnya adalah semata-mata kerana Allah. Ketiga, Sesiapa yang benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah lepaskannya (dari kekufuran), seperti benci dilemparkan kedalam api.” (Riwayat Imam Bukhari)

Bila ditanya tentang sunnah kepada anak-anak yang datang menghadiri kuliah, semuanya pakat terlopong... geleng kepala. Malah ayah dan ibu kepada anak-anak yang datang kuliah dewasa pun geleng kepala. Itulah jawapan lumrah bila disentuh tentang sunnah. Ada juga yang jawab dari andaian atau ada ilmu dengan cara "self-taught". Islam boleh pula "self-taught" ya? Bila "driving" wajib pula pergi ambil "sanad dan tertib" melalui "driving school". Hairan dan takjub sungguh! Bila tanya tentang artis, politik, duit, kereta dan bola, 99.9% akan tahu dengan keterangan dan fakta yang terperinci! Kanak-kanak pun boleh jawab dengan petah. Hebat sungguh "ketamadunan dan kemajuan" sekarang ya!

Untuk cintakan Allah (swt) dan Rasul (saw) wajiblah kenal Dia (swt) dan kenal Nabi (saw) serta wajib beramal dengan perintah Allah (swt) dengan cara yang dilaksanakan baginda (saw). Untuk kasihkan sesuatu kerana Allah (swt) wajiblah difahami akan caranya. Untuk keluar dari maksiat dan keengkaran (kekufuran) serta memelihara diri dari segalanya itu wajiblah diketahui akan kaedahnya. Segalanya ini dapat diperolehi hanyalah melalui ilmu, bimbingan dan kefahaman para ulama soleh lagi wara' yang menjadi pewaris para Nabi.

Allahu Ahad!

No comments:

Post a Comment