Sunday, November 27, 2011

Hijrah 1433

Permulaan kiraan tahun hijrah yang dikira bermula dari tahun hijrah Rasul (saw) hanyalah bermula pada zaman Saidina Umar (ra) sebagai khalifah iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga menyatakan ianya bermula pada tahun ke 16 hijrah. Sebelum itu sudah ada nama-nama bulan yang telah lama dipraktikkan masyarakat Arab tapi masih tiada tahun. Tahun hanya disandarkan kepada peristiwa besar yang berlaku pada tahun tersebut.

Banyak sebab mengapa Saidina Umar (ra) tentukan tahun, antaranya kerana hal persuratan, pentadbiran, harta dan sebagainya. Abu Musa Al-Asy’ari (ra) menyatakan masalah apabila menerima surat yang tiada tarikh. Ya’la bin Umayyah (ra) pula telah mula letak tarikh dalam surat beliau dan Umar (ra) anggap ianya sesuatu yang baik sekali. Maka Umar (ra) bermesyuarat dengan para sahabat untuk membincangkan penentuan tarikh yang lengkap.

Timbul 4 cadangan menentukan permulaan tahun Islam: Tarikh kelahiran baginda (saw); Tarikh keRasulan baginda (saw); Tarikh hijrah baginda (saw); Tarikh kewafatan bagindan (saw). Akhirnya sepakat menjadikan tahun hijrah Rasul (saw) sebagai asas permulaan tarikh Islam. Tidak digunakan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asasnya, kerana terdapat khilaf tentang bilakah tarikh sebenar kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Tarikh kewafatan baginda (saw) sekalipun jelas, namun tidak sesuai kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan.

Hijrahlah menjadi yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Ketika timbul pelbagai pendapat tentang asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh ini, Saidina Umar (ra) menyatakan dengan ungkapan kata-katanya yang masyhur;
الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها
“Hijrah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas (permulaan tarikh).”

Para sahabat (ra.hum) sebenarnya, mengambil asas ini sebagai permulaan tahun hijrah, antaranya adalah berdasarkan firman Allah (swt) dalam Surah At-Taubah:
لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ
“…Kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad) telah didirikan di atas dasar taqwa dari hari pertama adalah lebih patut engkau sembahyang padanya...” (At-Taubah: 108)

Hari pertama dalam ayat ini bukanlah hari pertama permulaan umur dunia atau permulaan waktu. Bahkan ianya ialah hari pertama disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut. Iaitu hari pertama bermulanya zaman kemenangan Islam dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman. Permulaan pembinaan sebuah masjid yang berlaku sewaktu perjalanan hijrah baginda (saw).

Sepakatlah para sahabat (ra.hum) memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi (saw) dan para sahabat (ra.hum) memasuki kota Madinah. Dari cadangan awal Usman (ra) diikuti Umar (ra) dan Ali (kw) maka dimulakan Muharram sebagai bulan pertama kerana ianya bulan suci dan tambahan pula para jemaah baru pulang dari ibadah haji.

Mungkin antara sebab yang tepat ialah kerana azam dan usaha permulaan bagi hijrah juga berlaku pada bulan Muharram. Hijrah pada hakikat sebenarnya adalah suatu pergerakan hijrah roh dan jasad menuju Allah (swt) secara bersama-sama berjemaah dengan ilmu, bimbingan dan kefahaman orang-orang kepercayaan Allah (swt).

No comments:

Post a Comment