Sunday, November 27, 2011

Hijrah 1433

Permulaan kiraan tahun hijrah yang dikira bermula dari tahun hijrah Rasul (saw) hanyalah bermula pada zaman Saidina Umar (ra) sebagai khalifah iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga menyatakan ianya bermula pada tahun ke 16 hijrah. Sebelum itu sudah ada nama-nama bulan yang telah lama dipraktikkan masyarakat Arab tapi masih tiada tahun. Tahun hanya disandarkan kepada peristiwa besar yang berlaku pada tahun tersebut.

Banyak sebab mengapa Saidina Umar (ra) tentukan tahun, antaranya kerana hal persuratan, pentadbiran, harta dan sebagainya. Abu Musa Al-Asy’ari (ra) menyatakan masalah apabila menerima surat yang tiada tarikh. Ya’la bin Umayyah (ra) pula telah mula letak tarikh dalam surat beliau dan Umar (ra) anggap ianya sesuatu yang baik sekali. Maka Umar (ra) bermesyuarat dengan para sahabat untuk membincangkan penentuan tarikh yang lengkap.

Timbul 4 cadangan menentukan permulaan tahun Islam: Tarikh kelahiran baginda (saw); Tarikh keRasulan baginda (saw); Tarikh hijrah baginda (saw); Tarikh kewafatan bagindan (saw). Akhirnya sepakat menjadikan tahun hijrah Rasul (saw) sebagai asas permulaan tarikh Islam. Tidak digunakan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asasnya, kerana terdapat khilaf tentang bilakah tarikh sebenar kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Tarikh kewafatan baginda (saw) sekalipun jelas, namun tidak sesuai kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan.

Hijrahlah menjadi yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Ketika timbul pelbagai pendapat tentang asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh ini, Saidina Umar (ra) menyatakan dengan ungkapan kata-katanya yang masyhur;
الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها
“Hijrah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas (permulaan tarikh).”

Para sahabat (ra.hum) sebenarnya, mengambil asas ini sebagai permulaan tahun hijrah, antaranya adalah berdasarkan firman Allah (swt) dalam Surah At-Taubah:
لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ
“…Kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad) telah didirikan di atas dasar taqwa dari hari pertama adalah lebih patut engkau sembahyang padanya...” (At-Taubah: 108)

Hari pertama dalam ayat ini bukanlah hari pertama permulaan umur dunia atau permulaan waktu. Bahkan ianya ialah hari pertama disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut. Iaitu hari pertama bermulanya zaman kemenangan Islam dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman. Permulaan pembinaan sebuah masjid yang berlaku sewaktu perjalanan hijrah baginda (saw).

Sepakatlah para sahabat (ra.hum) memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi (saw) dan para sahabat (ra.hum) memasuki kota Madinah. Dari cadangan awal Usman (ra) diikuti Umar (ra) dan Ali (kw) maka dimulakan Muharram sebagai bulan pertama kerana ianya bulan suci dan tambahan pula para jemaah baru pulang dari ibadah haji.

Mungkin antara sebab yang tepat ialah kerana azam dan usaha permulaan bagi hijrah juga berlaku pada bulan Muharram. Hijrah pada hakikat sebenarnya adalah suatu pergerakan hijrah roh dan jasad menuju Allah (swt) secara bersama-sama berjemaah dengan ilmu, bimbingan dan kefahaman orang-orang kepercayaan Allah (swt).

Wednesday, November 16, 2011

Kasih, Cinta & Rindu

Pepatah mengatakan “tak kenal maka tak cinta”. Semakin kenal semakin pula asyik jadinya, asyik dengan cinta. Iman sebenarnya dan hakikatnya adalah kasih, cinta dan rindu kepada Allah dan Rasul. Iman tanpa semua itu, tidaklah boleh dianggap sebagai beriman. Bertambah kasih, cinta dan rindu maka akan bertambahlah Iman di dalam hati. Sejauh mana dalamnya, manisnya dan sebatinya Iman bergantung kepada sedalam mana kasih, kecintaan dan kerinduan tersebut.

لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ اِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْن.َ
“Tidak beriman seseorang hamba melainkan sehingga aku adalah yang paling dikasihi berbanding bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” (Riwayat Imam Bukhari)

Allahu Ahad! Sebegitukah kasihnya kita kepada kekasih Allah ini? Bagaimana hendak timbul kasih jika tidak kenal baginda (saw)? Bagaimana hendak cinta jika tidak ingin diliputi batang tubuh dengan kegemaran dan kesukaan (sunnah) baginda (saw)? Malah sunnah pun tak mahu lagi dipelajari! Ada pula yang membenci golongan yang berusaha menghidupkan sunnah. Lebih parah lagi, ada yang membenci dan menghina sunnah baginda (saw), nauzubillahiminzalik!

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ بِهِنَّ حَلاَوَةَ الاْءِيْماَنِ , مَنْ كاَنَ اللَّهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ اِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ,وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءُ لاَ يُحِبَّ اِلأَّ لِلَّهِ. وَأَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْقَذَهُ اللَّهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُلْقَى فِى النَّارِ.
“Tiga perkara sesiapa yang mempunyainya akan didapati dengannya kemanisan Iman: Pertama, mereka yang adalah Allah dan Rasul paling dikasihinya berbanding perkara yang selain daripada keduanya. Kedua, bahawa seseorang yang tidak akan kasih kepada suatu perkara melainkan kasihnya adalah semata-mata kerana Allah. Ketiga, Sesiapa yang benci untuk kembali kepada kekufuran selepas Allah lepaskannya (dari kekufuran), seperti benci dilemparkan kedalam api.” (Riwayat Imam Bukhari)

Bila ditanya tentang sunnah kepada anak-anak yang datang menghadiri kuliah, semuanya pakat terlopong... geleng kepala. Malah ayah dan ibu kepada anak-anak yang datang kuliah dewasa pun geleng kepala. Itulah jawapan lumrah bila disentuh tentang sunnah. Ada juga yang jawab dari andaian atau ada ilmu dengan cara "self-taught". Islam boleh pula "self-taught" ya? Bila "driving" wajib pula pergi ambil "sanad dan tertib" melalui "driving school". Hairan dan takjub sungguh! Bila tanya tentang artis, politik, duit, kereta dan bola, 99.9% akan tahu dengan keterangan dan fakta yang terperinci! Kanak-kanak pun boleh jawab dengan petah. Hebat sungguh "ketamadunan dan kemajuan" sekarang ya!

Untuk cintakan Allah (swt) dan Rasul (saw) wajiblah kenal Dia (swt) dan kenal Nabi (saw) serta wajib beramal dengan perintah Allah (swt) dengan cara yang dilaksanakan baginda (saw). Untuk kasihkan sesuatu kerana Allah (swt) wajiblah difahami akan caranya. Untuk keluar dari maksiat dan keengkaran (kekufuran) serta memelihara diri dari segalanya itu wajiblah diketahui akan kaedahnya. Segalanya ini dapat diperolehi hanyalah melalui ilmu, bimbingan dan kefahaman para ulama soleh lagi wara' yang menjadi pewaris para Nabi.

Allahu Ahad!

Friday, November 11, 2011

Asal Kejadian

Kita dikehendaki mengenal Allah Taala seperti mana kita kenaliNya di alam arwah seperti mana firman Allah Taala kepada sekalian arwah yang tersebut di dalam Al-Quran, Surah Al-A’araf ayat 172:

واذ أخذ ربك من بني أدم من ظهورهم وذريتهم و أثهدهم على أنفسهم ألست بربكم قالوا بلى شهدنا أن تقولوا يوم القيامة انا كنا عن هذا غافلين
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat Adam dari belakang mereka dan Ia jadikan saksi terhadapa diri mereka sendiri. (Sambil Ia bertanya dengan firmanNya) Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab, (bahkan) benarlah (Engkaulah Tuhan kami) yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak, sesungguhnya kami adalah lalai tentang ini.”

Namun apabila roh dipakaikan dengan jasad maka roh terpaksa mengikut asal kejadian jasad selagi mana jasad itu tidak dibersihkan daripada asal kejadiannya. Anasir ataupun asal kejadian manusia itu ada dua bahagian:
(1) Asal kejadian Adam (a.s) daripada tanah yang mengandungi 3 unsur yang lain iaitu air, api dan angin. Daripada asal kejadian dan unsur inilah wujudnya sifat-sifat mazmumah seperti bakhil, sombong, pemarah, hasad, dengki, ria’ dan sum‘ah dan lain-lain lagi sifat mazmumah.
(2) Asal kejadian manusia yang lain selain Adam (a.s) iaitu diciptakan daripada air yang hina, firman Allah Taala:
الذي أحسن كل شيئ خلقه و بدأ خلق الأنسان من طين ثم جعل نسله من سلالة من ماء مهين
“Allah mencipta setiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakan kejadian manusia berasal daripada tanah, kemudian Ia jadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, daripada air yang hina." (As-Sajdah: 7-8)

Apabila yang Maha Pencipta mengatakan bahawa ciptaanNya daripada air yang hina maka sudah tentulah banyak kekurangan, keburukan, kekejian, kecelaan yang ada padanya dariapada sifat mazmumah asal kejadian tanah, air, api dan angin serta sifat mazmumah asal kejadian ماء مهين (air yang hina) inilah wujudnya satu jisim yang tersangat halus dinamakan nafsu.

(Oleh: Maulana Zahari Yusuf, MNI)

Wednesday, November 9, 2011

Tujuan

Marilah bersama-sama merenung serta menghayati beberapa potong ayat Al-Quranulkarim yang menceritakan untuk tujuan apakah kita diciptakan dan dilahirkan di dunia yang fana’ ini. Semoga ianya memberi peringatan bagi yang lalai dan yang leka dan menjadi kekuatan bagi yang sentiasa berwaspada.

ما خلقت الجن والأنس الا ليعبدون
“Tidak aku ciptakan golongan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan mengabdikan diri kepadaKu.” (Az-Zariyat: 56)

Berkata Imam ibnu Juraij (r.a), ليعبدون boleh juga ditafsirkan dengan tafsiran ليعرفون maknanya: supaya kamu mencapai sepenuh-penuh pengenalan terhadap Allah Taala.

Di dalam ayat ini, Allah Taala telah menceritakan tujuan jin dan manusia diciptakan dan tujuan jin dan manusia dilahirkan di dunia ini, hanyalah untuk mengabdikan diri kepadaNya dan mengenalNya dengan sebenar-benar pengenalan.

Mengenal Dialah Allah Tuhan yang Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Pencipta, Maha Gagah Perkasa, Maha Bijaksana, Maha Pengampun, Maha Pemurah, Maha Penyayang dan Maha segala Sifat Kesempurnaan. Manakala mengenal, mengakui dan menyedari tentang diri kita yang bersifat dengan sifat kelemahan, kejahilan, kebodohan, keburukan dan segala sifat kekurangan.

Di dalam ayat yang lain Al-Quran menjelaskan lagi:
يا أيها الناس انا خلقناكم من ذكر و أنثى و جعلناكم شعوبا و قبا ئل لتعارفوا ان أكرمكم عند الله أتقاكم
“Wahai manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan wanita, dan kami jadikan kamu berpuak-puak dan berbilang bangsa supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu ialah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Hujurat: 13)

Berkata sebahagian ahli tafsir لتعارفوا di dalam ayat tadi boleh juga ditafsirkan dengan makna ‘supaya kamu mencapai sepenuh-penuh pengenalan terhadap Pencipta kamu’. Ayat selepasnya mentakkidkan (menegaskan) bahawa orang yang paling mulia dan paling hampir di sisi Allah Taala ialah orang yang dapat menyempurnakan sepenuh-penuh pengenalan terhadap penciptanya iaitu dinamakan takwa.

(Oleh: Maulana Zahari Yusuf, MNI)