Wednesday, June 1, 2011

Seni Silat Telapak Nusantara (Gelanggang Keempat)

Terdapat 5 gaya bermedan (laku tempur/medan) diperkenalkan kepada pesilat bagi menajamkan kemahiran. Kaedah tersebut ialah 'minta bersambut', 'terancang', 'serang berbalas', 'gumpal gelut' dan 'rangkai'. Sebahagian dari gaya silat lama atau silat tua banyak dipraktikkan diwaktu ini. Kaedah dalam menggunakan beberapa jenis senjata utama perguruan diajar agar dapat menjinakkan senjata dengan baik.

Pesilat perlu membiasakan diri dengan melatih para pesilat yang lain. Ini penting bagi menajamkan lagi kemahiran dan meningkatkan kefahaman. Cara yang lebih mudah, padat, tenang, ringkas dan mantap dalam bermedan akan berterusan diajar dan dilatih. Pengkhususan bakal bermula disini. Ketetapannya diukur mengikut prestasi individu dan faktor-faktor lain yang difikirkan sesuai.

Pesilat digalakkan mempelajari dan memahirkan diri dengan kesemua kaedah langkah dan gerak dari kesemua gelanggang tetapi lebih menjurus kepada apa yang telah dikhususkan. Adakalanya pengkhususan tidak akan berlaku sekiranya tidak perlu. Gerak dalam diam, langkah dalam diam dan gerak langkah dalam diam akan mula dikupas disini secara asas jika pesilat memenuhi dan mematuhi segala syarat dan peraturannya.

Permainan keris dan ceritanya serta beberapa langkah senjata bersifat universal juga diajar. Latihan ini bagi membentuk kemahiran diri menjinakkan senjata-senjata walau pun senjata tersebut belum pernah di pegang sekali pun. Pelbagai kaedah yang diperkenalkan diwaktu ini adalah bagi mendidik pesilat agar lebih tenang dan kurang menggunakan tenaga fizikal. Pesilat didedahkan kepada pelbagai asas kaedah guru dan teknik hasilan keadaan.