Tuesday, April 26, 2011

Seni Silat Telapak Nusantara (Gelanggang Ketiga)

Dalam gelanggang ketiga kemahiran bergerak bebas dalam medan diajar disamping menggunakan segala teknik dalam pelbagai keadaan. Konsep lebih terbuka didedahkan dan segala kaedah tidak lagi digunakan secara bulat-bulat atau 100%.

Konsep 'jangan guna kaedah, ikut kaedah' dipupuk supaya dapat membentuk akal yang panjang. Setiap gerak walau sekecil mana akan dimanfaatkan awal, tengah, hujung dan diantaranya. Bunga mesti sentiasa dilatih bagi menajamkan kemahiran seterusnya meningkatkan kewaspadaan.

Pemusatan pancaindera yang lima belaku dalam proses ini. Latihan kawalan deria yang lebih sensitif dibentuk dengan pelbagai latihan yang mencakupi fizikal dan mental. Kupasan langkah sumbang mula diajar bagi persediaan yang lebih lengkap dalam menghadapi pelbagai situasi pertarungan. Keyakinan diri untuk diserang dan menyerang kini dibentuk lebih mantap.

Gelanggang tiga menjadi jambatan kepada satu kaedah persilatan yang lebih luas. Bolehlah dikatakan hampir kesemua kaedah Silat Bongsu terkupas dengan lengkap dan teratur kini. Gerak dalam langkah dan langkah dalam gerak wujud disini dan dapat menghasilkan pelbagai rangkaian teknik yang berkesan. Lanjutan disini dikaitkan secara terus dengan gelanggang pertama.

Kaitan ini penting bagi mendidik sikap tidak lupa diri dan mengemaskan pakaian pertempuran. Permainan bunga diolah dengan lebih cantik, teliti dan diulit dengan sikap tenang dalam ampuh. Penekanan dalam menjaga tertib zahir dan batin sudah mula ditekankan dengan lebih tegas dan mendalam.

No comments:

Post a Comment