Friday, April 15, 2011

Ilham

Ilham itu kadang-kadang terus daripada Allah Ta’ala dan kadang-kadang melalui para Malaikat yang dapat difahami daripadanya perintah, tegahan, memberi semangat dan memberi amaran bagi perkara yang bersesuaian dengan syariat.

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ
“Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.” (An-Nisa’: 79)

Imam Syarif Ar-Jurjani Rahimahullah: Kitab At-Ta’arifat - Pengertian ilham ialah apa yang dicampak di dalam hati dengan cara limpahan. Pendapat yang lain pula berkata satu ilmu yang tercetus di dalam hati dan menyeru supaya beramal dengan tanpa menggunakan ayat sebagai dalil dengan tanpa melihat kepada hujah.

Ilham daripada Allah Ta’ala sepertimana tersebut di dalam surah Maryam Ayat 25-26:
وَهُزِّي إِلَيْكِ بِجِذْعِ النَّخْلَةِ تُسَاقِطْ عَلَيْكِ رُطَبًا جَنِيًّا. فَكُلِي وَاشْرَبِي وَقَرِّي عَيْنًا فَإِمَّا تَرَيِنَّ مِنَ الْبَشَرِ أَحَدًا فَقُولِي إِنِّي نَذَرْتُ لِلرَّحْمَنِ صَوْمًا فَلَنْ أُكَلِّمَ الْيَوْمَ إِنْسِيًّا
“Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah; Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah Aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini".

Ilham daripada Malaikat daripada Hadis dari Imam At-Tirmizi yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Mas’ud r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Adapun lintasan atau ilham daripada Malaikat yang menjanjikan dengan kebaikan dan membenarkan akan kebenaran. Barangsiapa yang mendapati yang demikian itu maka hendaklah dia mengetahui bahawasanya ia daripada Allah maka hendaklah dia memuji Allah.”

Allah Ta’ala menegur hamba-hambanya yang soleh yang bersih hati mereka daripada kekotoran dunia dengan berbagai-bagai cara, ada yang Allah tegur dengan هاتف dan ada yang Allah Ta’ala tegur dengan فراسة dan ada yang Allah Ta’ala tegur mereka dengan خواطر dan ada yang Allah Ta’ala tegur mereka dengan melalui رؤية صالحة dan lain-lain lagi seperti mana yang telah ditulis oleh Imam Abu Bakar Al-Kilabazi di dalam kitab التعرف لمذهب اهل التصوف.

No comments:

Post a Comment