Saturday, January 22, 2011

Seni Silat Telapak Nusantara (Gelanggang Kedua)

Ini merupakan peringkat permulaan dalam proses mengupas pengertian Seni Silat Bongsu. Kupasan ini akan diajar dengan kaedah buah satu persatu atau boleh juga secara berangkai atau berbentuk bunga. Kaedah satu persatu lebih mantap dan mampu menghasilkan kefahaman inti gerak yang tinggi. Setelah benar-benar mahir barulah diajar kombinasi bunga sebagai satu kaedah latihan.

Langkah dalam langkah dan gerak dalam gerak dikupas disini untuk dikuasai. Tidak berlaku pengasingan buah dan bunga dalam perguruan ini. Kedua-duanya penting dan kesinambungannya mestilah dipelihara menjadi satu. Ianya saling lengkap melengkapi. Kupasan Silat Pengantin atau/dan Bunga Bongsu yang indah pada namanya dan lembut pada geraknya menjadi satu kaedah seni silat yang ampuh.

Kupasan langkah dan buah Seni Silat Bongsu memakan masa tetapi kupasan bagi Bunga Bongsu lebih memerlukan masa yang panjang. Bunga Bongsu atau/dan Silat Pengantin seolah-olah menjadi satu gelanggang perguruan seni silat lain yang berbeza jika dibandingkan dengan langkah dan buah pertama hinggalah yang terakhir sejak dalam Seni Silat Bongsu lagi. Diwaktu ini kelainan itu seolah-olah tampak lebih ketara.

Hasil kupasan dari yang tersirat dalam Seni Silat Bongsu maka lahirlah Bunga Tua. Sikap tempur yang lebih kompleks diajar dalam Bunga Tua bagi memberi gambaran kepada pesilat suasana pertempuran. Bongsu tidak lagi perlu ditepati, sekadar dihayati sebagai panduan. Walau bagaimana pun, segala asas mestilah terus dilatih berulang-ulang disamping latih tubi berkumpulan.

Falsafah "kupasan (di) amalan (kan), asas (menjadi) pakaian" mesti menjadi laziman. Tempur mula diperkenalkan tetapi kaedah aman ditekankan. Pilihan sikap tunggu dahulu dan tempur dahulu diberikan dan didedahkan sebab dan akibatnya. Minda pendekar mula dibuka dan dilatih membuat pelbagai keputusan bermula dari yang asas dalam bermedan. Pesilat kini mula didedahkan dengan pelbagai muslihat dan kaedah tua.

No comments:

Post a Comment