Wednesday, January 12, 2011

Seni Silat Telapak Nusantara (Gelanggang Pertama)

Peringkat pertama menggunakan Seni Silat Bongsu yang berfungsi sebagai kayu pengukur utama bagi keseluruhan perguruan. Ianya menjadi kunci bagi setiap peringkat gelanggang dan mestilah dikuasai dan dijadikan pakaian diri, kebiasaan atau tabiat semulajadi ketika bersilat. Ini penting dalam menghayati kaedah lanjutan yang lebih halus dan rumit diperingkat yang berikutnya.

Pada peringkat ini, langkah dan buah masih telus dan lurus biar pun hakikatnya nama langkah bukan menunjukkan kaedah. Keserasian langkah kanan dan kiri diasah dari awal untuk melazimkannya dalam semua langkah, buah dan keadaan. Terdapat dua teknik amalan langkah disini, kaedah bongsu yang ringkas dan kaedah tua yang lebih rumit dan terperinci.

Pada permulaannya kaedah asal Seni Silat Bongsu akan digunakan dan sampingannya nanti kaedah tua akan diajar. Kaedah tua dikampilkan dengan pelbagai teknik halus seperti pernafasan, gerak halus, penumpuan dan beberapa teknik seni halus yang lain. Tapak, langkah, buah dan bunga ditahap ini merupakan latihan asas dalam membentuk diri dan minda seorang pesilat.

Silat Pengantin dan Bunga Bongsu pada peringkat ini berperanan melatih kreativiti dalam masa yang sama mematuhi asas-asasnya. Ianya mendidik pesilat agar tidak mati akal, pemula mendidik fikir pendekar; tidak mati arah, tindakan menepati matlamat; tidak mati langkah, rapi tidak sumbang pada sembah; tidak mati gerak, kepelbagaian cara berkesinambungan dan tidak mati gaya, indah tari tampak bersungguh.

No comments:

Post a Comment