Saturday, December 18, 2010

Seni Silat Telapak Nusantara (Gelanggang Perguruan)

Dalam kaedah gelanggang secara tradisi, terdapat 1 gelanggang umum, 2 gelanggang kemahiran, 2 gelanggang khusus, 1 gelanggang akhir dan 1 gelanggang ijazah. Gelanggang 1 memanfaatkan Seni Silat Bongsu yang berfungsi sebagai pemula yang mengandungi asas latihan membentuk fizikal dan mental sebagai persediaan membentuk jatidiri seorang pesilat. Geraknya membentuk sabar dan asas fleksibiliti diri untuk peringkat seterusnya.

Apabila telah mencapai tahap kemahiran yang sepatutnya, kaedah-kaedahnya boleh dipraktikkan tanpa kekuda, tetapi mestilah dipelajari sebagai menurut bidalan bayi, menyusur badan, merangkak dahulu, bertatih, berjalan lurus dan berlari terus. Seni Silat Bongsu sebagai asas yang mesti dipelajari (learn), dikuasai/mahir (master) dan dirasai (feel). Rasa membawa maksud mempunyai kefahaman, kepekaan dan ketelitian yang tinggi.

Sebagai gelanggang permulaan perguruan, kaedah yang terdapat dalam seni silat ini bersifat sebagai kiasan buah sebenar dan juga menjadi satu bentuk senaman asas persediaan zahir dan batin pesilat. Natijah yang berbeza diperolehi dari gerak yang sama dalam Seni Silat Bongsu apabila dipraktikkan dan dikupas mengikut cara berlainan seperti menggunakan cara kaedah asas, kaedah tua, kaedah bersenjata dan sebagainya.

Dari segi sejarah perkembangan gerak, susunan tahap gelanggang dalam pertubuhan seolah-olah kini telah diterbalikkan dengan didahului Seni Silat Bongsu sebagai asas pertama dan utama. Sedangkan ianya dikatakan sebagai kaedah terakhir yang diilhamkan oleh pengasasnya.. Konsep susunan gelanggang ini mengikut falsafah ‘sulung beralah (dikemudiankan), bongsu ketengah (diutamakan/didahulukan)’ sebabnya ‘sulungnya (kaedahnya) berpadah, bongsunya (kaedahnya) berhelah (lembut)’. Sifat semulajadi tahap, gelanggang atau silat bagi setiap bangsal yang unik dan tersendiri sebeginilah yang mempengaruhi sistem pembelajaran dan pendidikan yang kini telah disusun.

Langkah terawal (mengikut sejarah) dalam rumpun seni silat ini adalah dianggap sebagai kaedah-kaedah sulung yang mana ianya bersifat lebih keras dan terus (direct/straight forward). Manakala Seni Silat Bongsu adalah versi yang terakhir (mengikut sejarah) dan bersifat asas, padat, lembut dan tersorok keampuhannya. Namun tidak dapat dinafikan sifat kebatinannya yang memberi kekuatan fizikal dan mental kepada pesilat setiap kali dipraktikkan.

No comments:

Post a Comment