Monday, November 29, 2010

Seni Silat Telapak Nusantara (Syarat Berguru)

Sebagai permulaan, pesilat atau "anak bongsu" perlu menyediakan 3 syarat dari antara 5 syarat yang disenaraikan mengikut permintaan guru. Ini bagi menyempurnakan upacara simbolik 'serah diri' atau gambaran merelakan diri menjadi anak murid perguruan.

Antara persediannya (atau yang setara) yang menjadi kebiasaan ialah:
1. 3 biji limau purut
2. 1 batang jarum jahit/sepersalinan
3. RM7 tunai
4. Tempat bara kemenyan lengkap
5. Tepak sirih 3 kapur lengkap

Kebanyakan syarat-syarat di atas dipenuhi secara individu, tetapi ada juga yang disyaratkan agar dipenuhi secara berkumpulan, ianya adalah mengikut apa yang akan ditetapkan oleh guru. Syarat boleh disesuaikan mengikut keadaan. Sebagai guru, kefahaman disebalik simbolik yang tersirat disebalik syarat mesti benar-benar diarifi.

Dimasa dahulu pelbagai syarat yang ketat dikenakan. Limau ada jantan betinanya, dikutip dengan bersyarat. Jarum beli sebatang bawa sebatang atau sepersalinan guru dengan syarat tertentu. Duit berbilang tujuh. Tempat bara kemenyan Mekah atau yang terbaik. Tepak menyirih dengan sirih bersyarat selengkap mungkin dan pelbagai lagi syarat yang lain.

Songkok hitam 4 inci atau tudung hitam, baju melayu atau baju kurung putih dan seluar hitam menjadi pakaian seragam tradisi. Pakaian lain boleh juga digunakan asal sesuai, selesa dan sopan. Sebaik-baiknya biarlah seragam tanda sepakat. Pakai pakat seragam guru, langkah seerti disatu Bongsu.

Peralihan gelanggang bergantung kepada pencapaian keseluruhan. Gelanggang umum kebiasaannya dapat ditamatkan dalam tempoh 1-3 bulan bergantung kepada prestasi dan kekerapan, ada juga peringkat gelanggang yang mengambil masa sehingga 1 tahun. Gelanggang kemahiran ada yang mengambil masa 3-6 bulan, ada juga sehingga 1 tahun.

Gelanggang khusus bergantung kepada kemampuan rohani dan jasmani serta keputusan guru, kebiasaannya dalam tempoh 1-3 tahun untuk dikhatamkan, begitu juga dengan gelanggang akhir dan gelanggang ijazah. Kaedah gelanggang bongsu 7 bangsal juga merupakan antara cara ringkas dan padat (tetapi efektif) yang lain bagi memahami peringkat atau silat yang berikutnya dalam perguruan ini.

Tiada sebarang syarat atau pantang larang yang khusus dalam perguruan ini. Apa yang penting, sebagai seorang Islam, wajiblah sentiasa menjaga yang fardhu dan meninggalkan segala yang haram. Semua ahli harus sentiasa membina peribadi mulia serta berlapang dada terhadap semua makhluk. Seni silat ini bukan untuk orang Melayu Islam sahaja malahan terbuka untuk semua tanpa mengira fahaman, bangsa atau keturunan.

Pulut kuning ayam panggang golek seekor bulat untuk santapan guru disediakan dimajlis tutup gelanggang. Ini sebagai tanda penghormatan khusus buat guru yang telah mencurahkan ilmu. Putus silat memerlukan sekeping papan pengganti bersyarat. Sebilah keris atau pedang atau senjata yang sesuai mengikut ciri-ciri tertentu akan dihadiahkan kepada guru sewaktu putus silat keputusan pertama.

Jurus keputusan diajar pada setiap peringkat bila tiba masanya dan sebilah keris lok ganjil disediakan. Gelanggang berikut menjurus kepada pengkhususan jika perlu dan proses kematangan. Ijazah diberikan selepas berjaya menguasai kesemua peringkat serta benar-benar memenuhi segala syarat-syarat keta yang dikenakan. Serban dan songkok antaranya yang menjadi kebiasaan yang diperlukan dalam upacara ijazah.

No comments:

Post a Comment