Saturday, November 27, 2010

Seni Silat Telapak Nusantara (Perguruan)

Perguruan mengamalkan tradisi yang mampu diterima oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, fahaman dan keturunan. Biar pun Islam menjadi landasannya, prinsip universalnya dipraktikkan bagi membentuk sebuah masyarakat yang kaya dengan tradisi yang tinggi nilai murninya.

Falsafah perguruan mementingkan aspek rohani & jasmani sejahtera mampu mendidik ahli yang dapat menyumbang dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang dinamik. Pendidikan berteraskan pembinaan kewibawaan bukan mengejar kehebatan adalah satu konsep pendidikan yang terpuji dan terhormat.

Pembentukan disiplin diri yang tinggi berlaku disini. Perguruan bukan sekadar mengajar seni silat semata-mata malah mengajak masyarakat membina maruah diri. Melahirkan warganegara terhormat yang sentiasa bersedia menyumbang secara langsung atau tidak langsung.

Disamping itu dapat membantu mengekalkan dan memupuk keharmonian dikalangan segenap lapisan masyarakat. Tradisi sempit dan kuno yang tidak bermanfaat tiada langsung dalam kamus perguruan. Sifat berlapang dada dengan fikiran yang terbuka mestilah sentiasa menjadi kebiasaan.

Biar pun perguruan menyentuh pendidikan rohani dan jasmani, tidak pula ianya berfungsi sebagai sumber formal dalam mendidiknya, sekadar tambahan. Pendidikan Islam sumber yang hakiki. Perguruan menyentuh pendidikan zahir dan batin tetapi tidak sama sekali menerima perkara karut dan syirik, sekadar satu teknik menyeimbanginya secara yang lebih fizikal tetapi dibatasi adab dan tertib yang ketat berlandaskan Islam.

Dalil naqli digenggam terus sekuat-kuatnya, dalil aqli ditimbang tara berpandukan ahlinya. Dalam meningkatkan kemajuan diri, perguruan mementingkan keikhlasan dalam semua perkara. Ikhlas adalah tahap tertinggi dalam perguruan ini. Segala natijah darinya diterima dengan hati terbuka asalkan tidak bercanggah dengan Islam.

Dalam proses melahirkan ikhlas, proses itu sendiri mestilah murni dan suci dan menepati syarat ikhlas. Pelbagai kelebihan yang mungkin diperolehi individu atau mungkin tidak langsung diperolehi. Segalanya mestilah diterima dengan redha. Cubaan dan ujian yang terpaksa dihadapi mungkin datang dalam berbagai bentuk.

Usahlah terkesan dengannya, adakalanya lebih baik dielakkan dari dihadapi bagi mengelakkan fitnah. Berbekalkan pandai akal dan amalan taqwa, seorang pendekar mampu membuat keputusan yang terbaik.

Perguruan lebih suka mengambil kaedah sederhana dalam hampir kesemua perkara. Takut tidak dihadapi dengan berani tetapi dengan tenang, kuat tidak dengan keras tetapi lembut, lemah tidak digagah tetapi dengan kaedah, degil jangan dimarah tetapi dengan hikmah, hebat tidak dikejar tetapi wibawa tegar, fitnah usah didebat tetapi disekat, salah tidak dilaga benarnya tetapi dipimpin jalannya, aib jangan dicaci tetapi disuci dan pelbagai lagi falsafah sederhana yang menjadi prinsip perguruan.

Inilah antara bunga akal dan buah ikhtiar perguruan dalam memastikan keamanan terbela dan maruah terpelihara sejajar dengan misinya untuk mendidik masyarakat bermula dengan individu dan sistem kekeluargaan berpandukan kaedah tercanggih dan universal.

No comments:

Post a Comment