Wednesday, November 17, 2010

Seni Silat Telapak Nusantara (Falsafah Gerak & Langkah)

Gerak dan langkah mestilah sentiasa kemas, tangkas dan rapi serta berkesinambungan. Sikap terburu-buru mengundang jahanam. Sikap berhati-hati serta tumpuan yang tinggi amat diutamakan. Bidalan guru, ‘langkah sulung bersopan, gerak bongsu bersantun, gerak sulung berpadan, langkah bongsu berpantun’ antara asas yang ditekankan dalam teknik perguruan ini. Maksudnya secara kasar, langkah sulung indah seninya tetapi buruk padahnya, bongsu lurus sifatnya tetapi berbalas sambutnya.

Secara umumnya, setiap pemula gerak atau pergerakan serangan atau “penghantar” atau “pelontar” mestilah sentiasa diiringi dengan kemas akan tiga syarat yang berikut:
1. Umpan
2. Pecah
3. Silat

Umpan dapat membaca gerak langkah lawan. Sekurang-kurang hasilan umpan umpama tuba. Kesinambungan umpanan terhasillah pecah bagi mengelirukan lawan seterusnya memusnahkan teknik, pertahanan dan lawan itu sendiri jika perlu. Teknik silat mempunyai pelbagai kaedah menyusul. Teknik ini bersifat menyeluruh terdiri dari pelbagai kaedah, gerak dan langkah.

Ketiga-tiga kaedah di atas, mampu melahirkan pelbagai teknik pertahanan dan serangan yang berkesan. Penamat pertarungan atau habuan lawan tidak semestinya tumbuk sepak terajang. Kaedah di atas dapat menghasilkan penamat yang serasi dan berkesan.

Disamping memanfaatkan setiap yang datang dari pihak lawan, serangan yang disambut mestilah diiringi falsafah 'tepat sipi, sipi lepas', prinsip asas dalam menghadapi dan mengatasi serangan. Kemudian baru disusuli dengan tindakan sewajarnya. Letakkan penamat pada lawan dalam awal pertarungan, inilah asas dalam kawalan. Penamat disini membawa maksud dapat menyelesaikan lawan dengan kaedah yang tepat.

Gerak langkah tiada hujungnya. Dikunci lepas, diserang tertangkis dan menyerang tiada batas, bertindak dalam apa jua keadaan dengan bijak. Berusahalah mengelakkan pertumpahan darah atau kecederaan. Kemaafan lebih utama dan keamanan adalah kemenangan ulung. Hakikat seni ini lahir bagi mewujudkan keamanan tidak dapat dinafikan. Bertindak sejajar dengan prinsip pandai akal. Jika terpaksa bertarung, adab tertib mesti dijaga dan akal menjadi senjata utama.

Setiap teknik berkelok langkahan. Gerak badan fleksibel mampu mengelak, menangkis dan menyerang pada ketika yang sesuai. Bergeraklah mengikut tabi'i semulajadi manusia. Perguruan tidak menggunakan gerak yang menghina peribadi manusia seperti pergerakan kebinatangan atau teknik dicedok dari sumber yang tidak sesuai seperti pergerakan ibadah dan sebagainya.

Jangan kita aibkan diri dan menghina sesuatu kemuliaan. Jangan pula kita seperti pencuri, mengambil kaedah silat lain secara tidak sah kemudian merendah-rendahkan hak orang lain. Manfaatkanlah setiap gerak dan langkah biarpun ianya kurang maupun sumbang. Sumbang pada mata lawan, kurang pada perhitungan musuh tapi umpan pada mata kita. Kurang ada lebihnya, lebih ada kurangnya dan sumbang ada indahnya. Manfaatkan dan perbaikilah.

Setiap teknik mestilah benar-benar dikuasai. Sebab dan akibatnya mesti difahami. Seni silat bukan sekadar mementingkan kuat, cantik atau indah sesuatu gerak dan langkah tetapi juga menitikberatkan keberkesanan. Lembut menawan pada pandangan dan adakalanya tampak sumbang tetapi hakikatnya benteng pertahanan dan serangan yang ampuh. Kemahiran yang tinggi dapat mengelakkan dari gerak dan yang pincang atau pengkar.

No comments:

Post a Comment