Saturday, November 6, 2010

Seni Silat Telapak Nusantara (Falsafah Kaedah Asas/Tapak)

Gerak dan langkah mesti dipelihara ketelitian dan keindahannya. Dalam banyak keadaan, pesilat bebas bergerak mengikut kesesuaian tetapi mestilah memelihara kemurniaan teknik asal seni silat ini. Sifat, sebab, akibat, asal dan usul mestilah difahami dengan mendalam sebelum menggunakan sebarang teknik.

Falsafah keamanan juga mestilah juga dijiwai. Terdapat tiga sifat utama yang mesti digarap menjadi satu dan diolah agar padu pada setiap masa dan keadaan:
1. Persediaan
2. Pertahanan
3. Serangan

Kesediaan mental dan fizikal, zahir dan batin menjadi pengukur potensi pendekar. Sedia menghadapi kemungkinan dalam setiap keadaan. Sikap ini mampu mengelakkan konfrontasi yang tidak diingini jika ianya mempunyai tenaga yang mencukupi.

Pertahanan menjadi pelindung dan mampu memusnahkan lawan. Pertahanan mestilah diwujudkan secara luaran dan dalaman dan mampu pula berfungsi menjadi satu bentuk serangan. Kombinasi luaran dan dalaman sebegini mewujudkan satu teknik serangan jitu. Diatur rapi tanpa dapat dibaca, luas sempadan terbatas ilat, ilat yang manfaat.

Serangan bukan dengan kekuatan semata-mata. Keberkesanannya bergantung kepada rasi, tepat dan hasil dari serangan tersebut. Serangan tidak semestinya dilancarkan dengan tumbuk sepak terajang tetapi boleh terhasil biarpun hanya bertahan. Kemahiran membezakan pantas, tepat dan kuat sesuatu gerak tidak kurang pentingnya.

Dalam medan perhatian mestilah diberikan terhadap apa yang ada pada diri, apa yang ada pada lawan dan apa yang ada di persekitaran. Ini penting dalam memilih tindakan yang sewajarnya mengikut situasi. Bertindak bijak mestilah menjadi sifat semulajadi seorang pendekar. Disini tidak disebut serangan sebaliknya disebut tindakan (bertindak) kerana serangan tidak semestinya menjadi penyelesaian.

Hakikatnya, keharmonian hendaklah sentiasa diwujudkan dalam setiap pertarungan. Keharmonian yang mewujudkan keserasian pada diri terhadap pertarungan tersebut. Ini dapat melahirkan fikiran yang tenang dan dapat mengatasi perasaan takut dengan keberanian yang datangnya dari taqwa seterusnya mampu mengawal medan.

No comments:

Post a Comment