Friday, October 29, 2010

Seni Silat Telapak Nusantara (Falsafah Utama)

Keamanan dan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat; luaran dan dalaman, suasana dan keadaan; kawasan setempat dan negara akan sentiasa menjadi keutamaan. Tidak dapat dinafikan bahawa pada hakikatnya seni ini diilhamkan, dipelajari dan dikuasai sebagai suatu usaha dalam mempertahankannya; keamanan dan kesejahteraan. Teknik yang diajar adalah untuk memupuk sabar, tabah dan ketahanan diri; fizikal dan mental.

4 elemen penting perlu di selaraskan dalam diri dan langkah peribadi, dipupuk, dibaja dan dijiwai sebaik mungkin serta sebati dalam diri:
1. Rohani sejahtera
2. Jasmani sempurna
3. Zahir berkesan
4. Batin kuat
Ini bagi membentuk peribadi bijaksana atau pandai akal (pendekar). Untuk mendapat kesempurnaan mutlak adalah mustahil, tetapi kesempurnaan itu sentiasalah menjadi matlamat diri, kesempurnaan sebagai seorang hamba Allah Ta'ala.

Rohani yang sejahtera bermaksud memelihara perasaan dalaman dari penyakit hati. Asasnya adalah iman. Islam membentuk kesejahteraan rohani yang tinggi. Suci dari sifat mazmumah dan hanya mengabdikan diri kepada Allah mengikut landasan sunnah Nabi Muhammad (saw). Kemurniaan rohani dapat melahirkan jasmani sempurna. Kesempurnaan yang indah dan hebat dari segi akhlak dan pergerakan.

Ini mendorong menzahirkan sifat atau gerak yang memberikan hasil atau kesan yang mendalam. Zahir yang dapat dimanfaatkan disamping mampu menggoyahkan lawan, lebih-lebih lagi dengan sinar kewibawaan. Kombinasi semua keadaan atau sifat-sifat di atas dapat pula membantu membentuk peribadi pendekar dengan kebatinan yang ampuh. Pendekar diibaratkan kosong tanpanya.

Kita bebas untuk memilih pelbagai jalan dalam mencapai kekuatan kebatinan. Kaedah yang menyalahi ajaran Islam menjurus kepada kebinasaan dunia dan akhirat. Mungkin caranya mudah tetapi menjahanamkan dan tetap akan kalah dengan yang haq. Proses mencapai kekuatan kebatinan berpandukan petunjuk Ilahi dengan amalan yang diajar Rasulullah (saw) memerlukan keikhlasan dan kesabaran tetapi natijahnya adalah yang terbaik dan paling ampuh.

No comments:

Post a Comment