Thursday, October 21, 2010

Seni Silat Telapak Nusantara (Sejarah & Muqaddimah)

Mengikut cerita yang diturunkan dari generasi ke generasi, seni silat ini diasaskan oleh seorang pendakwah yang a’lim, soleh lagi wara’ pada waktu sebelum datangnya penjajah di Nusantara ini. Beliau dikatakan berasal dari Parsi dan dipercayai Islam baru sahaja bertapak di beberapa gugusan kepulauan Nusantara Melayu pada waktu itu. Disamping mendidik masyarakat, beliau mengajar kaedah persilatan dari ilham beliau. Ilham ini wujud secara spontan atau dalam keadaan tertentu hasil dari keperluan untuk mempertahankan diri yang mendesak diwaktu itu.

Terdapat beberapa perkembangan besar dalam kaedah persilatan beliau yang kini mewujudkan 7 tahap dalam perguruan ini. Setiap gelanggang terdapat perbezaan kaedah dan falsafah yang agak ketara. Kelainan ini berlaku disebabkan pewaris berikutnya, masing-masing menguasai atau diajar cuma sebahagian dari kaedah persilatan beliau. Beliau hanya sekadar menjadikan ilham ilmu persilatan sebagai keperluan biasa tetapi amat mengutamakan pendidikan Islam dan dakwah.

Apa yang pasti dari sejarah lisan guru-guru terdahulu, tahap terakhir dinamakan Silat Bongsu yang bersifat ringkas dan padat. Ia menjadi kesimpulan dalam perguruan ini serta berfungsi sebagai kunci gerak yang juga dikenali sebagai Ibu Silat. Terdapat juga tahap-tahap lain yang agak berbeza perincian kaedahnya. Ianya menjadi keterangan dan kupasan kepada Silat Bongsu.

Berikut antara guru-guru pewaris bagi seni silat ini:
1. Guru Qodim
2. Katik Pasok
3. Muhammad Soleh
4. Malim Siroh
5. Pendekar Rohim
6. Bapak Buyung (Abdullah)
7. Haji Husin
8. Haji Ibrahim
9. Pak Nik
10. Abang Deris
11. Ustaz Solehin
Selepas dari nama-nama di atas, ianya diwarisi pula oleh generasi berikutnya. Namun hanya segelintir sahaja yang benar-benar terpilih untuk menjadi pewaris amanah dan Guru.

Ada diantara nama yang tersenarai di atas telah lama meninggal dunia dan ada yang tidak lagi mengajar. Ada juga guru-guru lain yang tidak sempat disenaraikan. Kini, kebanyakan individu mewarisi hanya sebahagian dari seni silat ini disebabkan perubahan zaman dan gaya hidup.

Bagi menguasai kesemua tahap mengambil masa tidak kurang dari 7 tahun jika dipelajari setiap hari. Untuk kemahiran bersilat atau bermedan memadailah sekadar mempelajari setakat 3 tahap yang pertama. Dalam perguruan ini tidak terdapat pengaruh besar dari mana-mana keturunan atau bangsa Melayu.

Kaedah yang wujud dalam perguruan ini bersifat muhibbah sejak dari mula ia diperturunkan di zaman permulaannya dahulu. Tidak dapat dipastikan secara jelas bangsa keturunan pelopor atau pemegang asal bagi silat ini. Ini berlaku kerana usia perguruan yang sudah melebihi seribu tahun dan kurangnya pemeliharaan sejarah dari orang terdahulu.

Terdapat juga faktor lain yang tidak dapat dielakkan. Apa yang pasti dari sejarahnya, guru besar utama dalam perguruan ini terdiri dari hampir kesemua bangsa keturunan utama yang terdapat dalam alam nusantara Melayu. Seni silat ini telah lama tersebar secara cebisan dan tidak digabungkan seperti asal menjadi satu.

Semua kaedah dan langkah tersebut kini diperhalusi, dimantapkan dan dikombinasikan secara teratur dan sistematik dalam perguruan ini. Setiap peringkat perkembangan seni silat ini adalah unik dan tersendiri biar pun dari sumber yang sama. Kepelbagaian ini menyumbang kepada lahirnya berbagai nama perguruan yang berbeza.

Kadangkala nama baru terpaksa diberikan kerana peringkat tersebut asalnya tidak bernama. Diantara nama-nama tersebut ialah:
1. Silat Bongsu
2. Seni Silat Natar
3. Silek Natar Tuo
4. Seni Silat Syeikh Ali
5. Seni Silat Telapak Natar
6. Gayong Mendahiling
7. Silat Minang Syeikh Ali
8. Silek Tuo
9. Seni Silat Sobok
Seni Silat Bongsu menjadi nama khusus bagi versi terakhir seni silat ini dan diajar dahulu dalam perguruan ini sebagai satu tradisi yang unik dan penuh bermakna.

Pertubuhan kini berusaha untuk menyatukan kembali kesemua kaedah persilatan dari rumpun yang sama tanpa ingin mencemar akan keasliannya. Tokok tambah gerak dan langkah yang diambil dari seni lain tidak langsung digalakkan. Usaha memperhalusi dan memantapkan perguruan mestilah dengan adab dan tertib.

Setiap kelebihan dan kekurangan yang ada dalam perguruan ini haruslah diterima, dimanfaatkan dan jika perlu, ianya terus diperbaiki secara tersendiri. Sifat terbuka dan berlapang dada diamalkan dalam setiap keadaan dan dengan semua lapisan masyarakat. Sikap menerima kekurangan diri adalah satu asas dalam mencari kesempurnaan yang indah, itulah matlamatnya biar pun payah.

No comments:

Post a Comment