Sunday, October 31, 2010

Monolog Kehambaan

Segala puji-pujian dan pemujaan yang tertinggi hanya tertentu bagi Allah (swt), Tuhan Maha Pencipta yang Maha Agung lagi Maha Perkasa yang telah menciptakan jin dan manusia hanya untuk satu matlamat; satu tujuan; iaitu bagi menjadi hambaNya yang sebenar-benar hamba. Kehambaan mutlak hanyalah tertentu kepadaNya dalam segala keadaan, pada setiap perbuatan dan laku, setiap saat dan waktu, tidur dan berjaga, janganlah dilalai dan usahlah dilupa.

Kesejahteraan dan keselamatan yang terbaik dan sempurna buat ikutan terbaik Rasulullah Muhammad (saw), kekasihNya yang telah mengorbankan seluruh hidup baginda bagi mensyiarkan kehambaan sempurna buat umatnya yang baginda kasihi. Patah gigi malah tertumpah darah baginda yang mulia serta tercedera jasad yang mulia dek kerana membawa risalah kehambaan bagi seluruh alam. Dia (saw) semulia-mulia insan ciptaan Tuhan.

Kesejahteraan dan keselamatan juga buat ahli keluarganya yang disucikan Allah (swt) dan para sahabat baginda yang menjadi kelompok terbaik dalam sejarah ketamadunan manusia dari kalangan orang-orang Allah. Ramai yang syahid mempertaruhkan nyawa dalam meneruskan syiar kehambaan yang dibawa oleh sebaik-baik manusia kekasih Allah dan cinta hati bagi mereka yang beriman dan bertaqwa; Nabi Muhammad (saw).

Selepas daripada itu perjuangan ini diteruskan pula oleh para pewaris Nabi dan insan terpilih dikalangan orang-orang Allah (swt) bermula dari tabi’in, tabi’it tabi’in, orang-orang Allah (swt), ulama yang soleh lagi wara’ dan seterusnya hingga ke hari ini ianya diwarisi dan diperjuangkan oleh mereka yang benar-benar ingin dan berusaha gigih bagi menjadi hamba Allah Ta’ala yang sebenar-benar hamba.

Tiadalah tujuan lain bagi seseorang itu mempelajari Islam melainkan bagi memahami secara jelas tentang kaedah sebenar untuk menjadi hamba Allah (swt) secara rohani dan jasmani, zahir dan batin, fizikal dan mental. Tidak kiralah ilmu itu feqah, usuluddin, tasauf, tajwid, hadis atau apa sahaja sekalipun. Tahap thanawiah, 'aliyah, diploma, ijazah, phd, tauliah atau apa kategorinya sekalipun. Kesemuanya hanya bertujuan agar sikap dan laku luaran dan dalaman bertepatan dengan prinsip dan kehendak kehambaan mutlak kepada Allah (swt).

Malah dalam mempelajari ilmu dunia juga tiadalah matlamatnya yang lain selain dari bagi menyempurnakan misi kehambaan dalam setiap aspek dan keadaan. Ilmu sains, matematik, bahasa, kejuruteraan dan kesemuanya tidak lain dan tidak bukan hanyalah bagi menyangga kehambaan. Hinggalah kepada ilmu pemanduan, persilatan, ketenteraan, kepolisian, pertukangan, kedoktoran dan semuanya serta segala-galanya hanya demi untuk kehambaan kepada Allah Ta’ala.

Mengajar fizik di sekolah, baiki komputer sebuah, melangkah dengan pukulan bahaya, bersyarah tentang budaya, mentadbir negara, mengkaji binatang, menguruskan kilang, berjual emas, berkedai barang kemas, memerangi musuh negara, menjaga hutan belantara, membuat jalan, menjaga keamanan; segala-galanya mempunyai hanya satu matlamat, cuma satu sahaja tujuan! Bagi menjadi dan menyatakan kehambaan! Kehambaan mutlak dan tidak berbelah bahagi hanya kepada Allah (swt).

Orang agama para ulama wajib faham dan laksana akan misi kehambaan ini. Orang politik para pemimpin wajib faham dan melaksanakannya. Raja para pembesar negara wajib faham dan melaksanakannya. Orang dunia para penggerak ekonomi dan sebagainya wajib juga faham dan melaksanakannya. Orang tua pencen bercucu para pemuda belia wajib faham dan laksanakannya. Guru pengajar para pegawai wajib faham dan laksanakan juga. Wajib bagi semua! Itulah hakikat dan kebenarannya! Selagi masih waras dan rasa masih ada akal maka wajiblah mempelajari, memahami dan melaksanakan misi kehambaan!

Hilang ilmu, tiada faham dan tanpa perlaksanaan kehambaan maka hancurlah segala-galanya! Segala urusan, malah seluruh ketamadunan manusia akan binasa tanpanya. Akhlak hancur, ekonomi lebur, minda rosak, rohani sesak, keluarga porak peranda, masyarakat penuh dosa dan nista. Maka teredarlah “kad undangan” khas bagi bala menimpa. Malah karpet merah gebu pula telah dengan bangganya dibentang bagi “mengalu-alukan” ketibaan siksa. Didunia akan menimpa, akhirat ditambah azab berlipat ganda!

“Demi Kebesaran dan KeagunganMu ya Allah! Aku pohonkan perlindungan dariMu ya Allah dari segala murka………”

No comments:

Post a Comment