Monday, October 4, 2010

Kerjasama & Pembaharuan

Memang tidak molek jika dinafikan kepelbagaian yang ada dalam bidang persilatan Nusantara Melayu. Kepelbagaian ini amat bagus dan banyak manfaat yang dapat lahir daripadanya. Apa yang penting dan mesti dimanfaatkan disini adalah sebanyak mungkin perguruan silat yang berbagai ini menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama sihat dalam melaksanakan proses pendidikan terhadap masyarakat, inilah merupakan satu perkara yang amat bagus dan mesti diberikan keutamaan.

Usaha sebegini cuma dapat dilaksanakan dengan kesatuan hati. Malangnya ramai yang sekadar inginkan kehebatan, pangkat atau keuntungan semata-mata. Dalam satu organisasi yang sama pun kerap berlaku kepincangan dan perpecahan berpunca dari sikap negatif sebegini. Jika ini yang menjadi keinginan masing-masing, adalah mustahil untuk semua dapat sama-sama bergabung ke arah kegemilangan warisan dan watan.

Semua pihak mestilah bersatu tekad dan usaha agar silat kembali utuh dengan garapan ilmu moden dari orang baru dan ilmu tradisi dari orang lama. Ada dikalangan generasi baru apabila telah menguasai ilmu moden, mereka menganggap ilmu seperti silat ini sudah lapuk dan tidak lagi diperlukan. Ilmu orang lama ini sudah dilabelkan tidak canggih dan membuang masa serta sudah tidak relevan lagi dengan zaman sekarang. Itulah kenyataan yang amat menyedihkan.

Padahal ianya warisan nenek moyang mereka sendiri. Bagi yang mewarisi ilmu lama ini pula, tidak mampu atau tidak mahu lagi berusaha mempelajari ilmu moden sebegini. Jalinan kerjasama dan ilmu antara kedua-dua bidang itu merupakan satu kemestian yang perlu diwujudkan. Semua pihak sudah semestinya akan mendapat manfaat yang amat besar daripadanya.

Dalam tradisi penyampaian ilmu pula, guru-guru besar terdahulu dan tok-tok guru kita sekarang yang dari kalangan orang lama pada hakikatnya bukanlah menyembunyikan ilmu mereka. Cuma tiada yang benar-benar layak nak mewarisinya hinggakan ianya hilang bersama pemergian mereka. Tidak usahlah kita sekadar memandang kepada mereka yang telah tiada ini sahaja bagi menuding jari dalam hal terputusnya warisan ilmu mereka yang amat tinggi nilainya.

Memang ada segelintir dari mereka yang mengamalkan tradisi menyembunyikan ilmu dengan alasan-alasan lemah atau yang tidak tepat. Jika ianya ilmu yang elok dan bagus, ini merupakan satu kerugian yang terlalu besar bukan sahaja pada generasi berikutnya malahan pada pemiliknya sendiri yang telah pergi. Ilmu manfaat merupakan satu sumber rahmat dan pahala yang mengalir seperti sungai biar pun setelah seseorang itu telah tiada.

Para pewaris ilmu lama mestilah yakin dan menghargai ilmu yang diamanahkan. Ini dapat dicapai antaranya dengan mewarisi ilmu tersebut dengan sempurna dan menjaga amanahnya. Orang dulu walaupun ilmu mereka cuma sekadarnya tetapi sifat tanggungjawab, menjaga amanah, penguasaan kemahiran dan keyakinan mereka terhadap ilmu yang diperolehi amat tinggi.

Semua ini merupakan ciri-ciri kecemerlangan. Kerana itu mereka dilihat hebat dan unggul dalam bidang mereka. Sehingga kini mereka ini terbilang dengan kegemilangan mereka di kalangan generasi sekarang. Begitulah moleknya kita contohi. Sebenarnya tertib seorang guru dan tertib seorang murid mesti sentiasa dijaga. Kedua-dua pihak mesti mengutamakan ini. Tertib juga membawa maksud kepada akhlak atau adab.

Bagi seorang Islam, ini amatlah penting dan Allah (SWT) ada berfirman mengatakan bahawa diutuskan Nabi Muhammad (SAW) bagi menyempurnakan akhlak yang mulia. Apabila semua kembali kepada keadaan yang sebegini maka akan harmonilah proses pendidikan walau dalam apa jua pembelajarannya.

Dalam hal pembaharuan yang wujud bagi melaksanakan kesinambungan ilmu silat, ianya satu usaha kreatif yang bagus dan mulia. Cuma rasanya biarlah individu diberi pilihan untuk mungkin memilih kaedah lama atau purba yang mampu dihadapinya. Sebagai guru, semestinya ingin melahirkan seorang pesilat yang ampuh dan mempunyai ketajaman pemikiran yang tinggi serta kefahaman yang mendalam. Ini dapat dicapai oleh orang terdahulu dengan melalui proses-proses lama atau purba yang didapati agak rumit.

Harapnya biarlah ada pewaris kaedah lama ini agar ianya dapat diwarisi generasi berikutnya. Akan timbul satu masa kaedah sebegini bakal menjadi keperluan. Ditakuti ianya sekadar akan jadi kajian sejarah semata-mata. Dalam pada itu, tunjang segala ilmu itu biarlah Islam sebagai satu-satunya keutamaannya. Jangan pula meneruskan kesinambungan ilmu lama yang sekadar merosakkan Islam dalam diri atau masyarakat. Ilmu baru, moden atau yang diperbaharui juga tidak boleh mengenepikan Islam sebagai teras dan tunjangnya.

No comments:

Post a Comment