Thursday, September 16, 2010

Silat & Islam

Telah dimaktubkan dalam banyak kitab-kitab karangan ulama muktabar terdahulu tentang salah satu tanggungjawab penting ibubapa, wali atau penjaga adalah memastikan anak mereka tahu mempertahankan diri, seterusnya dapat mempertahankan Islam & negara. Itulah pandangan yang sepatutnya kita lemparkan terhadap seni silat warisan kita.

Ulama terdahulu nampak akan peri pentingnya pendidikan menyeluruh terhadap individu Muslim. Tidak sekadar berbentuk kerohanian tetapi kejasmanian juga penting. Kerana itu kita dapat lihat dalam sejarah Islam dan sejarah perjuangan Melayu terdahulu perjuangan dalam peperangan diketuai orang-orang alim yang tinggi taqwa, kesolehan dan kefahaman Islamnya.

Mereka ini mampu berjuang di barisan hadapan dan mempunyai ilmu serta kemahiran beladiri yang tinggi. Semua telah maklum akan kehebatan Rasulullah (SAW) dan para Sahabat (ra.hum) dalam teknik peperangan atau beladiri seperti bermain pedang, memanah, beladiri tangan kosong atau berkuda. Ada di antaranya kini sekadar dianggap sukan rekreasi.

Namun hakikatnya, ianya sunnah yang juga telah dimanfaatkan dalam menegakkan syiar Islam. Ia juga merupakan satu kaedah yang berjaya mempertahankan diri daripada serangan musuh. Apa yang dipertahankan adalah Islam itu sendiri, maruah, keluarga, bangsa dan negara. Ini merupakan fungsi beladiri yang harus kita pandang.

Dalam Islam sendiri perlu ada kesihatan badan untuk melaksanakan ibadah yang sempurna. Ini dapat diperolehi dengan bantuan dari beladiri, khususnya di negara kita, Silat Melayu. Pihak berwajib seperti polis dan tentera yang ada pelbagai senjata canggih sekali pun masih amat memerlukan pada seni beladiri dalam melaksanakan tugas mereka. Inikan pula kita orang awam yang memang langsung tiada sebarang senjata canggih.

Dalam menilai seni silat warisan kita, sememangnya ada perguruan bermasalah yang mencemar nama silat. Tapi, tak usahlah kita jadikan mereka seperti seekor kerbau yang membawa lumpur habis semua terpalit. Ubahlah persepsi diri dan masyarakat agar kembali murni pandangan terhadap seni warisan ini.

Dalam apa jua perkara memang ada salah dan betulnya. Hatta dalam cara berdakwah atau menegakkan Islam itu sendiri adakalanya individu tersilap langkah tidak mengikut tertib yang sepatutnya. Bukan dakwah atau Islam itu yang tak betul tetapi diri yang tersilap dan bersalah.

Dari pandangan Islam, beladiri asing juga terdapat banyak perkara yang jelas salahnya dari sudut hukum. Contoh seperti cara hormat yang melampau pada guru, teknik yang bersikap tidak sopan, pakaian yang mendedahkan aurat, cara pergaulan yang bebas dan pelbagai lagi. Ada yang hingga menyentuh permasalahan akidah dan akhlak. Tetapi masih boleh diterima oleh masyarakat Melayu Islam. Ada yang terima segala yang salah ini bulat-bulat atau diubah caranya agar elok dan bertepatan dengan Islam.

Apa kata kita bersikap lapang dada memolekkan keadaan dan kita terapkan dalam cara penerimaan kita terhadap seni silat. Tolak yang salah, tolak terus, atau betulkan. Ambil yang elok kita sebarkan. Buang yang keruh ambil yang jernih.

Sedarlah bahawa kini penting dan lebih penting lagi dari zaman dahulu untuk kita menyiapkan anak bangsa dengan jatidiri yang lebih ampuh. Bangsa asing kini sudah nampak akan kelebihan warisan kita. Takkan kita masih buta dan sekadar berputih mata.

Cuma kita tidak dapat mengelak daripada menghadapi persepsi yang pelbagai, bukan sahaja daripada para ulama malahan rakan-rakan sendiri atau masyarakat umumnya. Tidak dapat kita nafikan bahawa antara penyumbang terbesar dalam pandangan negatif terhadap seni silat adalah para pengamal atau pendukungnya sendiri.

Kalau dahulu kita maklum ramai para ulama dan pendakwah sendiri yang mewarisi dan menjadi guru besar utama banyak aliran seni silat. Malahan menjadi pemula mencipta seni silat yang tertentu. Seni silat banyak menjadi alat dakwah dan penyebaran Islam di Nusantara Melayu. Setelah seni silat diajar dan terdapat pula generasi guru yang berikutnya di kalangan orang awam yang bukan ulama atau pendakwah, maka terjadilah satu perubahan yang amat besar dalam aliran seni silat Melayu.

Tambahan pula terdapat ramai di kalangan mereka yang bergelar guru ini asyik dengan ilmu silat mereka sehingga ada yang mengenepikan Islam. Ini berlaku pada banyak aliran seni silat Melayu. Guru-guru tersebut tidak lagi merasakan mendampingi ulama atau menumpukan kepada ajaran dan amalan Islam sebenar itu relevan dengan diri atau aliran mereka. Kini, satu cara atau konsep sudah jadi tradisi kebanyakan masyarakat umum iaitu mengasingkan Islam dengan pelbagai aspek kehidupan atau urusan keduniaan.

Ramai yang tidak suka pada kongkongan ulama kerana banyak perkara yang mesti diambil kira. Sehingga ada ilmu-ilmu yang hebat-hebat terpaksa ditinggalkan kerana ianya bersalahan dari segi syariat. Sedangkan pada sesetengah aliran, ilmu yang hebat inilah menjadi kebanggaan. Bukan kewibawaan tetapi kehebatan, malang sekali.

Sebenarnya saya bertemu dengan agak ramai juga golongan alim ulama yang pandai bersilat. Cuma mereka ini memikul tanggungjawab dakwah yang amat besar. Dengan komitmen yang begitu besar dan berat hinggakan cuma ada amat sedikit masa peribadi mereka. Tambahan pula penglibatan mereka dalam silat tidaklah begitu mendalam. Kebanyakan aliran juga tidak merasakan perlu lagi untuk meletakkan golongan ini sebagai teras kepimpinan. Agak malang kerana ini juga merupakan situasi yang sering berlaku.

Dewasa ini pula, keadaan individu tertentu yang gemar menggunakan gelaran ustaz memang merupakan satu keadaan yang mendukacitakan. Mereka ini menggunakan pelbagai alasan untuk membolehkan mereka menggunakan gelaran ustaz. Tujuannya pula ada bermacam-macam. Ingin dihormati, dipandang tinggi, ditaati dan macam-macamlah lagi.

Perbuatan mereka akan menyumbang fitnah dan buruk sangka terhadap golongan ahli agama yang sebenar. Umum juga akan tersalah faham dan merujuk serta mempelajari Islam dengan golongan ini. Sedangkan mereka ini ustaz silat bukan ustaz yang sebagaimana difahami umum. Maka rosaklah kefahaman umum tentang Islam itu sendiri. Keadaan ini jelas bila timbul pertanyaan apakah bezanya antara ajaran dan amalan ustaz silat dengan ustaz yang benar-benar belajar tentang Islam.

Timbul pula macam-macam fahaman sempit dan dangkal tentang Islam sehingga boleh menyesatkan yang direka golongan ini. Perkara sebegini tidak hanya wujud dalam aliran silat. Malahan dalam perkara atau golongan kumpulan yang lain juga ada yang sebegini. Tidak terhad pula pada golongan lelaki sahaja. Golongan wanita juga ada bersikap yang sebegini, ingin sangat digelar ustazah. Inilah kenyataan menyedihkan yang kini berleluasa berlaku.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum. Walaupun comment anda telah di padamkan tetapi salinannya telah saya terima melalui emel. Memang saya & kami tidak sama sekali menerima apa jua bentuk kebatinan yang anda sebutkan. Kehambaan kepada Allah sahaja maksud & matlamat.

      Delete