Saturday, September 4, 2010

Muslihat Tersembunyi (Bahagian Akhir)

Seperti yang kita maklum, terdapat aspek lain yang ada bersama dalam kesenian yang wujud dalam silat. Antaranya, kekayaan seni gerak yang tinggi. Zahirnya yang indah dan berkesan. Dalam pertandingan, seninya menonjol untuk tatapan umum tetapi teknik dan gerak seni beladirinya nampak realistik. Dalam pertarungan zahir, fizikalnya mampu menggoyahkan lawan terhadap gerak yang dipamerkan.

Walaupun begitu, keseniaannya tetap wujud dan dapat menggambarkan kefahaman yang tinggi terhadap ilmunya. Kesenian ini juga boleh melambangkan ketenangan serta fokus diri. Keberkesanan yang terzahir daripada gerak sebegini mampu ‘menyelesaikan’ medan dengan mudah. Disini elemen pemikiran (psychology) memainkan peranan dalam pertempuran.

Sikap yang tenang serta tumpuan yang tinggi yang ditonjolkan dapat menggoyah keyakinan lawan. Langkah yang diatur kemas serta penampilan penguasaan teknik yang tinggi dapat diperlihatkan. Adakalanya tidak memerlukan sebarang pertempuran atau pergaduhan. Musuh bisa mengundur diri dengan sukarela dek keyakinan diri sendiri yang pudar. Daripada gerak seni ini juga dapat diukur penguasaan pesilat di dalam medan.

Irama atau muzik dalam permainan gendang silat juga penting, di samping peralatan lain seperti senjata dan sebagainya. Pencak kebiasaannya akan diiringi irama tertentu. Inilah perbezaan antara seni pencak dan aspek yang lain dalam seni silat.

Namun begitu ianya menyamai aspek bunga tari atau tarian biasa. Gabungan pelbagai alat muzik tradisional mengiringi persembahan seni pencak dan digunakan dalam pertandingan serta acara kebudayaan. Antara peralatan yang digunakan ialah Gendang/Rebana, Tabla, Kompang, Nafiri dan Gong.

Alatan yang bercanggah dengan Islam sebaiknya dan semestinya dijauhi kerana ditakuti buruk akibatnya. Memadai dengan alatan tabuhan atau ketukan dengan bersyarat tertentu untuk menyuntik semangat yang sewajarnya kepada pesilat. Peralatan ini jelas teruji manfaat dan kesannya.

Irama yang mengiringi kebiasaannya unik mengikut negeri atau aliran seni silat dan mempunyai nilai keindahan dan tertib tersendiri. Keserasian gabungan bunyi yang dihasilkan menyuntik semangat pesilat dan para pendengar.

Kumpulan gendang silat yang berpengalaman mampu mengiringi gerakan pencak silat dengan tepat tanpa mengira aliran. Kerjasama tidak langsung harus wujud antara pesilat dan kumpulan gendang silat dalam persembahan bagi menampakkan kesepaduan antara rentak dan gerak. Ini dapat mewujudkan kepekaan yang tinggi dalam diri pesilat. Asas latihan sebegini dapat dimanfaatkan dalam pertempuran sebenar.

Dalam permainan seni pencak, rasa gerak yang mendalam antara yang paling penting. Hubungan antara akal dan badan mesti mempunyai tahap kesedaran yang tinggi. Kefahaman gerak yang mendalam mesti ada.

Guru-Guru Besar terdahulu mengatakan “biarlah roh (nyawa) dan jasad (badan) itu akrab dengan jambatan akal dan gerak terarah (dengan ilmu)”.

Ini susah dipelajari dan difahami serta memerlukan waktu yang lama untuk memperolehinya dan merupakan satu seni yang halus dalam seni pencak silat. Pesilat mestilah menguasai makna sebenar dan memahami tujuan yang tepat bagi setiap kaedah yang dipelajarinya.

Setiap kerlipan mata, tari tangan, angkatan kaki atau kelok badan kesemuanya ada erti dan manfaatnya. Ini harus difahami secara mendalam dan harus tinggi penghayatannya.

Di samping itu, pakaian juga memainkan peranan penting. Di Malaysia kebiasaannya baju melayu teluk belanga atau cekak musang dengan berseluar panjang agak besar agar selesa gerakannya digunakan pesilat. Pakaian khas bagi pesilat ini dipakai pada waktu persembahan, pertandingan, latihan, ujian, dan pada upacara tertentu.

Ada aliran memakai serba hitam atau serba putih dengan tengkolok, songkok atau ikat kepala. Bengkung, samping atau selempang menjadi pelengkap. Pakaian ini kini diubahsuai mengikut keadaan atau upacara. Tidak lagi sekadar hitam atau putih dan bengkung juga diubah mengikut tahap.

Terdapat aliran yang tidak menggunakan bengkung sebagai tanda tahap pembelajarannya, mereka menggunakan sematan lencana, lingkaran kain di kepala, jaluran warna di baju atau seluar dan berbagai lagi.

Biar apa sekalipun, apa yang penting ialah, biarlah sedapat mungkin kita memelihara kesenian warisan bangsa ini yang tinggi nilainya. Ini penting bagi diwarisi anak-anak Malaysia berikutnya. Dewasa ini, banyak inisiatif daripada pelbagai pihak yang memungkinkan kesinambungan warisan ini dapat dikecapi. Ini termasuk usaha daripada pihak kerajaan sendiri.

Dalam pada itu, sekali-kali janganlah kita lupa untuk memurnikan warisan bangsa yang ada ini agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Sememangnya warisan kebudayaan itu dapat meningkatkan jatidiri bangsa dan penting untuk diwarisi. Ianya boleh mendatangkan rasa cintakan bangsa dan tanahair.

Namun biarlah ianya murni dan suci daripada perkara yang membawa kemusnahan dunia lebih-lebih lagi akhirat. Islam wajib dijadikan panduan dalam apa jua keadaan. Jadikanlah ianya keutamaan mengatasi segala-galanya; tersingkap oleh pantun penuh bermakna.

Tari Silat Indah Bererti
Pencak Ampuh Penuh Muslihat
Budaya Membentuk Jatidiri
Islam Jaminan Dunia Akhirat

No comments:

Post a Comment