Sunday, August 15, 2010

Unsur Tenaga Dalam (Kebatinan: Bahagian Akhir)

Disamping amalan-amalan yang telah disebutkan dalam artikel yang sebelumnya tadi, terdapat juga amalan lain yang lebih khusus yang menjadi sumber bagi menghidupkan unsur tenaga dalam seperti:
1. Pernafasan
2. Tabiat pemakanan
3. Perbuatan tertentu atau yang agak pelik

Kaedah pernafasan antara yang paling kerap diamalkan. Dari segi saintifik terdapat banyak manfaat dari pernafasan tersebut kerana sudah tentu memberikan bekalan oksijen yang cukup dan konsisten kepada tubuh badan.

Sistem yang diamalkan memberikan kesan positif yang berbeza terhadap tubuh badan mengikut kaedahnya. Sewaktu mempraktikkannya, pengamal kebiasaannya akan memberikan tumpuan pada satu-satu perkara samada berbentuk nyata atau bayangan.

Tabiat pemakanan yang agak unik seperti memakan anggota haiwan atau bahagian tumbuhan tertentu juga wujud. Terdapat pengamal yang sanggup memakan perkara yang keji dan tidak masuk akal bagi memperolehi tenaga dalam.

Perbuatan yang pelik juga berlaku dalam proses mendapatkan kekuatan kebatinan. Sehingga kesatu tahap perbuatan tersebut diluar dari tabii manusia dan jauh melampaui batas.

Bagi amalan yang jelas kesalahannya adalah mudah untuk dijauhi dan dikenalpasti untuk dicegah, itu pun kalau masih ditimbang dengan kewarasan fikiran. Bagi memastikan kemurniaan fikiran dan kesucian akidah terjaga, perkara halus seperti amalan tenaga dalam hendaklah dirujuk kepada ahlinya terutama para alim ulama.

Unsur tenaga dalam atau ilmu kebatinan ini adalah satu seni halus yang rumit dalam dunia persilatan dan memerlukan kefahaman serta penumpuan yang amat tinggi untuk menghayatinya.

Dalam hal memilih kaedah yang tepat bagi memperolehi kekuatan tenaga dalam, sebaiknya dipilih jalan yang paling selamat. Zikir atau ayat yang digunakan harus jelas asal-usul dan maksudnya. Begitu juga dengan jampi serapah, jika ada. Sebaik-baiknya elakkan dari menggunakan jampi dan serapah.

Terdapat banyak amalan zikir atau ayat-ayat tertentu amalan Junjungan Nabi Muhammad (saw), para sahabat (ra.hum) dan ulama soleh yang telah teruji dan dimaklumi khasiat dan kehebatannya.

Amalan berpuasa sememangnya bentuk amalan yang dapat menyumbang banyak manfaat terhadap tubuh badan manusia, bukan sekadar aspek kesihatan malahan aspek pembentukan kekuatan rohani, secara tidak langsung terbentuklah kekuatan tenaga dalam.

Berpuasa hampir menyamai amalan patigeni malahan kesannya jauh lebih bagus jika dipraktikkan dengan cara Nabi Muhammad (saw). Semua amalan-amalan ini biarlah berpandukan sunnah agar ia tidak menjadi sia-sia.

Amalan sunnah mampu menjauhkan individu dari pengaruh unsur yang salah atau tidak hak, amalan sebeginilah yang mesti diberikan tumpuan. Bukan pula amalan untuk beroleh kehebatan tertentu atau bagi tujuan yang salah. Kelebihan yang zahir pada individu hakikatnya adalah kurniaan Allah (swt). Biarlah ianya demi membina kewibawaan bukan sekadar kehebatan sementara sahaja.

Gerak atau langkah tenaga dalam atau jurus kebatinan fungsinya yang lebih tepat adalah untuk menyelaraskan tumpuan zahir dan batin. Pergerakan sebegini dapat memberikan kefahaman betapa sukarnya untuk fokus secara total terhadap sesuatu perbuatan yang dilakukan.

Apabila fizikal dan mental selari, kita sendiri akan kagum dengan hasilnya. Memadailah ini sebagai fungsi sebenarnya. Rentetan dari keselarasan ini terzahirlah kesan paling maksimum yang mampu dihasilkan tubuh badan manusia. Untuk mencapai ketahap ini, pengamal mestilah menguasai gerak diri terlebih dahulu sehingga gerak itu tepat walau pun secara spontan dilakukan.

Penguasaan fikiran yang mampu mengawal perasaan merupakan tahap yang seterusnya. Tahap pertama dalam kombinasi penguasaan kedua-dua elemen fizikal dan mental ini adalah penguasaan medan atau persekitaran. Setelah itu kematangan gerak fizikal dan penguasaan mental perlulah diperolehi dan ditingkatkan.

Disini keberkesanan gerak zahir dan keupayaan batin akan menonjol. Sekiranya terjadi perkara yang digelar mencarik adat hasil dari sesuatu kaedah kebatinan, ianya tidak boleh dijadikan matlamat dan jika terhasil juga, wajib dipastikan akan kesan dan kemurniaannya.

Satu-satu natijah dari satu-satu usaha itu bukan semestinya konsisten, berterusan atau sentiasa menjadi. Allah (swt) Maha Berkuasa, Maha Perkasa dan berhak untuk mengurniakan hambaNya apa yang Dia inginkan tetapi tidak semestinya apa yang hambaNya inginkan. Ukuran sesuatu perkara itu biarlah ditimbang dengan dalil naqli dan aqli disamping ijma, qias serta pendapat orang alim.

Sebelum melalui semua proses-proses di atas, pengamal mestilah memurnikan rohani terlebih dahulu dengan kesejahteraan akidah dan menyihatkan jasmani dari penyakit, bukan penyakit fizikal tetapi penyakit akhlak, akhlak terhadap Penciptanya, manusia dan diri, selepas itu barulah boleh diambil gerak zahir.

Apabila dirintis tertib perjalanan yang sebegini, gerak zahir itu akan terserlah keberkesanannya. Disini secara tidak langsung akan berlaku peningkatan kekuatan dalaman sehingga kadang-kadang tidak lagi perlu melalui proses tradisi dalam memperolehi kekuatan tenaga dalam.

Gerak zahir adalah penting bagi menjaga tertib tawakal. Ini tidak bermakna selepas itu kita boleh sewenang-wenangnya untuk memilih aliran atau kaedah kebatinan yang pelik atau mencarik adat tanpa ditimbang salah benarnya.

Dizaman para anbia (as), Nabi Muhammad (saw), sahabat dan tabien perkara yang dipanggil mencarik adat ini sudah dimaklumi ada berlaku terhadap diri mereka sendiri atau orang-orang soleh dizaman tersebut.

Sejarah, kisah atau teladan yang sebegini lebih elok dijadikan panduan. Golongan yang dimuliakan ini tidak pula menjadikan perkara yang mencarik adat itu sebagai matlamat atau pokok perbincangan dalam amalan atau terniat untuk yang sebegitu berlaku keatas mereka.

Menyebut tentang mencarik adat, syariat itu sendiri sifatnya mencarik adat kerana kaedah dan perintahnya adakalanya tidak selaras dengan kebiasaan adat atau tidak mampu dijangkau oleh kefahaman fikiran manusia.

Biar pun begitu ketaatan terhadap syariat adalah satu kemestian dan hikmah dari natijahnya sudah pasti terlalu indah dan agung. Penumpuan kepada perkara mencarik adat yang sebegini lebih utama dari menyibukkan diri untuk sesuatu kaedah yang pada kebiasaannya dipenuhi dengan ketidakpastian, penipuan dan adakalanya kerapkali membawa kepada kerosakan.

No comments:

Post a Comment