Monday, August 9, 2010

Unsur Tenaga Dalam (Kebatinan: Bahagian Pertama)

Masyarakat sudah sedia maklum bahawa hakikatnya tenaga dalam atau ilmu kebatinan adalah mustahil untuk dipisahkan dengan dunia Melayu. Wujudnya unsur ini dipengaruhi dengan pelbagai ajaran yang pernah dianuti masyarakat nusantara.

Unsur tenaga dalam ini menjadi intipati penting dalam amalan tradisi setempat seperti perubatan, petua, persilatan dan berbagai lagi amalan hatta perkara seharian sekali pun.

Dalam konteks persilatan, unsur kebatinan menjadi satu aspek yang hampir tidak dapat dielakkan sehingga pesilat yang tidak mempelajarinya dianggap sebagai seorang yang kosong jiwanya. Terdapat segelintir masyarakat langsung tidak mempedulikan akan kepentingannya malah terus menolaknya mentah-mentah.

Satu golongan lagi langsung tidak mempedulikan salah dan betulnya ilmu yang dipelajari dan mengenepikan kebenaran demi memperolehi kehebatan sementara yang menjahanamkan. Terlalu menurut kata hati, golongan ini sanggup melanggar tabi’i malah menyimpang dari ajaran Islam, samada dalam sedar atau tidak.

Unsur kebatinan dalam silat merupakan satu elemen penting yang tidak dapat dinafikan sumbangannya kepada kesinambungan dunia persilatan dalam alam Melayu. Di Malaysia terdapat banyak aliran kebatinan, samada aliran itu semata-mata mengamalkan kebatinan atau unsur tersebut digarap dengan kaedah fizikal seperti buah dan langkah.

Perkembangan dan pengembangan dunia kebatinan nampaknya semakin pesat dizaman serba canggih dan berteknologi tinggi ini, situasi ini adalah diluar jangkaan. Terdapat beberapa cara atau kaedah kebatinan atau kerohanian dalam dunia persilatan yang kebiasaannya menjadi amalan:
1. Sebutan jampi, serapah atau zikir tertentu
2. Amalan bertapa, patigeni atau mandi yang tertentu
3. Pergerakan buah, langkah, bunga yang dipanggil gerak jurus

Kebanyakan pakar dan golongan ulama berpendapat sebutan yang jelas maksud dan tujuannya yang tidak bersalahan dengan ajaran Islam adalah dibolehkan, biar pun ianya berbentuk jampi serapah.

Bagi sebutan zikir atau ayat-ayat suci ianya mestilah diajar oleh seorang guru yang benar-benar berkelayakan. Jampi serapah kebiasaannya kabur maksud dan sebutannya serta menyeru kepada sesuatu. Sebutan sebegini yang mesti dielakkan.

Bagi zikir atau ayat suci pula terdapat ramai guru tenaga dalam yang langsung tidak berkelayakan dalam mengajarnya. Sebutannya diubahsuai atau tidak menepati sebutan sebenar serta lari dari makna dan maksudnya.

Malahan mereka tidak mengetahui dari mana sumber ayat tersebut, tiada sanadnya dan tiada ijazah yang sepatutnya diperolehi dari ahlinya. Jampi serapah dan zikir sebegini keadaannya masih mampu menghasilkan kehebatan atau kelebihan luarbiasa yang diinginkan.

Amalan bertapa pula pada lumrahnya akan mengakibatkan pengamalnya meninggalkan kewajipan harian seperti solah, pekerjaan, rumahtangga dan sebagainya. Ianya dilakukan dilokasi seperti kubur, gua, gunung atau kawasan menyeramkan bertujuan menimbulkan semangat atau keberanian, mendapatkan sesuatu kelebihan atau bertemu dengan sesuatu unsur untuk tujuan tertentu.

Para ulama soleh berpendapat bahawa berkhalwat atau bersendirian untuk menumpukan diri kepada Allah (swt) dengan syarat tertentu adakalanya dibolehkan tetapi tidak pertapaan untuk sesuatu yang lain.

Patigeni pada kebiasaannya diamalkan dengan cara berlapar secara berterusan tanpa makan dan minum untuk satu jangkamasa yang pendek atau dipanjangkan tempohnya dengan hanya dibolehkan memakan makanan tertentu pada waktu yang ditetapkan.

Mandian bersyarat atau berlangir pula menggunakan bunga, limau, air embun dan sebagainya. Banyak diantara amalan di atas dipengaruhi ajaran hindu atau anamisma. Amalan di atas diamalkan secara berasingan atau dikombinasikan bersama dan mempunyai tahap-tahap tertentu.

Tenaga dalam atau kebatinan boleh juga diperolehi dalam bentuk gerak langkah, buah atau bunga dengan diiringi bentuk amalan yang tertentu. Terdapat kaedah yang langsung tidak mempunyai pergerakan fizikal, sekadar niat atau digelar gerak batin atau mempunyai gerak fizikal yang amat sedikit, sekadar sebagai gerak syarat.

Gerak jurus ini boleh terhasil dari amalan-amalan yang disebut terdahulu atau kaedahnya diajar terus untuk diamalkan bagi mendapatkan hasilnya. Gerakan atau jurus ini secara amnya dipanggil dengan nama gerak keputusan, jurus kebatinan, ibu jurus atau gayong dan pelbagai nama-nama lain mengikut aliran.

Hasil dari jurus kebatinan ini sememangnya hebat dan adakalanya jauh mengatasi zahir usaha atau geraknya. Aliran jurus tersebut akan mendakwa beroleh pertolongan yang hak atau menganggap apa yang diperolehi tidak menyalahi. Memang mengejutkan kerana banyak terdapat pergerakan yang nampak terlalu mudah dan biasa tetapi mampu menghasilkan sesuatu yang hebat menjangkau lojik akal.

No comments:

Post a Comment