Tuesday, August 31, 2010

Muslihat Tersembunyi (Bahagian Pertama)

Budaya warisan nusantara Melayu di Malaysia banyak dihiasi kelembutan dan unsur-unsur alam yang melambangkan keharmonian. Sehingga dalam seni beladiri atau silat juga tidak dapat dipisahkan dengan falsafah ini.

Seperti sedia maklum, bunga atau seni menjadi salah satu aspek yang penting dalam persilatan, tidak kira sama ada ianya bunga tari atau bunga pencak. Masyarakat Malaysia tidak dapat mengelak daripada mengaitkan seni silat dengan negara jiran Indonesia walau pun hakikatnya hanya segelintir sahaja aliran yang benar-benar berasal dari sana.

Terdapat juga seni silat dari tanah seberang yang berasal dari negara-negara lain seperti dari Timur Tengah, India, China dan sebagainya. Keadaan ini juga berlaku di Malaysia.

Tidak dapat dinafikan bahawa seni silat pada asalnya lahir kerana keperluan untuk mempertahankan diri. Seni tarinya dan bunga pencak pula lahir selepas itu. Antaranya bertujuan bagi menyembunyikan sudut beladiri dalam tekniknya di samping untuk tujuan-tujuan tertentu yang lain.

Seni pencak tidak boleh disamakan dengan bunga tari silat atau silat pengantin untuk persembahan. Bunga pencak lebih mendalam ertinya berbanding bunga tari. Beladiri menjadi intipati dalam keseniannya.

Bunga tari, silat pengantin atau bunga sembah lebih ditekankan pada keindahan gerak yang tiada langsung atau hampir tidak ada unsur beladiri, mirip seperti tarian biasa. Perbezaan keduanya amat ketara sekali daripada banyak perspektif. Kaedah beladiri sudah tentu tujuan utamanya bagi menumpaskan lawan. Kaedah ini wujud dalam seni pencak.

Terdapat juga kaedah buah atau teknik ringkas menjurus kepada kaedah meregang urat (stretching) atau senaman tetapi juga berfungsi untuk menutup kaedah beladiri di dalamnya.

Apa yang menarik, fungsi gerakan ini sebagai senaman amat efektif dan mempunyai kesan (therapeutic) yang mendalam. Antara penyebab utama wujudnya cara sebegini atau mungkin kaedah yang lain dengan tujuan yang sama disebabkan oleh faktor budaya, politik, persaingan dan pelbagai lagi.

Faktor budaya bilamana berlakunya usaha untuk menghapuskan identiti sesuatu bangsa termasuk segala pengaruh kebudayaan yang wujud bersama bangsa tersebut. Faktor politik apabila terjadinya pertukaran pemerintahan sama ada dalam bentuk penjajahan orang luar atau yang selainnya. Pemerintah merasa gentar akan keampuhan seni beladiri yang wujud dalam masyarakat setempat kerana ianya dapat membantu jika masyarakat ingin menjatuhkan pemerintah.

Faktor persaingan pula mungkin berlaku apabila terjadi pertembungan yang tidak sihat antara dua aliran seni beladiri yang cuba mengatasi serta menjatuhkan pesaingnya. Keadaan sebegini memang ada berlaku pada suatu ketika dahulu. Kesemua ini merupakan antara contoh kenapa perlunya berlaku satu evolusi perubahan yang baru dalam pendidikan terdahulu bagi meneruskan warisan ilmu sesuatu aliran seni beladiri.

Di sinilah letaknya kebijaksanaan Guru-Guru Besar terdahulu dalam memelihara proses kesinambungan warisannya daripada generasi ke generasi. Seni silat telah melalui pelbagai ancaman daripada bermacam-macam unsur namun masih banyak yang dapat bertahan sehingga mencapai ratusan dan ribuan tahun. Pihak-pihak yang cuba menggangu ini merasa terancam dengan keampuhan masyarakat setempat dengan seni silat warisan mereka.

Ada yang bersikap biadab, tidak menghormati budaya setempat atau tidak senang dengan pelbagai perkara yang ada. Ini antara keadaan yang mengancam kewujudannya. Dengan kematangan ilmu Guru-Guru terdahulu, pelbagai kaedah digarap sehingga mampu menyembunyikan fungsinya yang sebenar.

Inilah ketinggian ilmu pendekar, imam perang atau tok-tok guru dahulu untuk memastikan pewarisannya. Biarpun seninya indah dan lembut tetapi apabila perhatikan dengan teliti, tersembunyi kaedah beladiri yang ampuh.

Di Malaysia, seni tari silat secara umumnya digelar bunga silat. Kebiasaannya dengan nama khas seperti silat pulut, bunga sembah (gerak untuk persembahan), silat pengantin atau nama lain yang unik mengikut aliran seni silat.

Seni tari silat ini hampir menyamai tarian biasa walau pun adakalanya pada hakikatnya tidak sedemikian. Terdapat juga kaedah beladiri yang dipanggil buah, langkah atau tapak dengan kombinasi gerakan serangan dan pertahanan. Seperti yang dinyatakan tadi, bagi seni beladiri yang berseni dikenali dengan bunga pencak.

Aliran seni silat lama kebiasaanya kaya dengan pelbagai seni, baik dari sudut tari, pencak, istiadat, peralatan hinggalah kepada pakaian. Istiadat atau tradisi lama dalam seni silat juga berseni daripada aspek perlaksanaan serta falsafahnya.

Setiap aspek sesuatu amalan ada erti yang mendalam. Begitu juga dalam pakaian silat. Warna seperti merah lazimnya melambangkan keberanian, hitam kebiasaannya simbol semangat pendekar, putih lambang kesucian dan warna-warna lain yang diterjemahkan sebagai satu simbol mengikut falsafah aliran tersebut.

Jenis-jenis pakaian seperti tanjak dengan cara ikatan yang berbeza-beza sebagai lambang maruah atau darjat, selempang sebagai menunjukkan tahap atau penerimaan kurniaan, bengkung boleh menggambarkan status diri atau ilmu seseorang dan pakaian lain yang juga menjadi gambaran pelbagai perkara tentang diri sipemakai.

Alatan yang digunakan seperti limau purut untuk mandi atau berlangir menggambarkan sikap membersihkan diri dari elemen-elemen negatif, sirih yang lengkap dengan tepaknya sebagai lambang sifat kesopanan apabila mengunjungi guru, papan sekeping bagi upacara tamat gelanggang sebagai satu simbol kemahiran diri menghadapi situasi tempur yang rumit dan kelengkapan lain yang berbeza-beza mengikut ketetapan sesuatu aliran.

Terdapat juga senjata yang unik mengikut aliran persilatan. Terjemahan pengertiannya juga berbeza-beza. Namun begitu masih mempunyai erti yang mendalam yang mesti dihayati oleh pengamalnya. Senjata seperti tongkat melambangkan kematangan ilmu yang tinggi, keris lambang maruah dan keampuhan pendekar Melayu dan pelbagai senjata lain yang mempunyai kelebihan berbeza serta falsafah yang berlainan. Kesemuanya mempunyai kesenian yang tinggi disamping pengertian yang mendalam. Ini semua dapat membentuk keazaman dan jatidiri pewaris ilmu tersebut.

Bunga pencak penting dimainkan dengan penuh kesenian tetapi berjaya menzahirkan suasana tempur yang unik. Ini memerlukan kemahiran yang tinggi dalam keseluruhan teknik seni silat. Baik teknik buah, langkah tari dan sebagainya.

Terdapat aliran yang tiada pengasingan khusus dalam bunga tari dan pencaknya. Kesemuanya digarap cantik sehingga tidak langsung diyakini akan aspek beladirinya malah dianggap tari semata-mata kecuali bagi yang benar-benar arif.

Terdapat aliran yang ada hanya tari atau bunga tetapi tiada langsung unsur pencak. Tidak dapat dijelaskan secara tepat kenapa wujudnya yang sebegini. Namun sememangnya unsur tari ini penting dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan di nusantara Melayu khususnya di Malaysia.

Ianya dipersembahkan dalam pelbagai majlis-majlis penting seperti kenduri, sambutan perayaan, meraikan orang-orang tertentu, persembahan kebudayaan dan sebagainya.

Apa yang uniknya, jika diamat-amati, masih terdapat unsur pencak tersembunyi jauh dalam indah tarinya. Ini hampir tidak dapat dinafikan apabila dilihat dengan pandangan halus ilmuan silat yang berpengalaman.

Sebagai seorang pendekar semestinya mampu memanfaatkan setiap gerak hatta kerlipan mata sekalipun. Keunikan ini juga ada dalam pelbagai tarian Melayu yang lain. Ada juga tarian-tarian dari negara lain yang mempunyai ciri-ciri beladiri contohnya tarian asli masyarakat di Russia.

No comments:

Post a Comment