Saturday, August 21, 2010

Kemurniaan Sumber Ilmu (Bahagian Pertama)

Dalam usaha mencari ilmu, kepekaan dalam memastikan kemurniaan sumbernya menjadi kemestian. Belajar matematik dengan guru atau ahli matematik, komputer dengan pakarnya, belajar memandu dengan sekolah memandu serta jurulatihnya dan ilmu lain dengan ahlinya atau pakarnya yang berkelayakan.

Biasanya kita tidak tersilap dalam memilih pakar dalam hal-hal yang ingin dipelajari. Pelbagai panduan boleh dirujuk bagi memastikan pakar tersebut benar-benar ahli dalam bidang mereka dan ini penting supaya kita dapat mencapai matlamat mempelajari, memahami dan meningkatkan kemahiran dalam bidang yang tersebut.

Kenapa tidak gunakan kaedah yang mudah dan jelas ini dalam memilih guru untuk mengajar ilmu yang paling tinggi dan tiada lain mengatasinya! “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya”. “Sesungguhnya Ad-Din (ugama) disisi Allah adalah Islam......”. Kita sedia maklum bahawa ajaran, ilmu atau kehidupan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad (saw) adalah satu rahmat untuk sekalian alam.

Dimana hendak kita pelajari sesuatu yang teramat mulia dan terlalu tinggi nilainya ini? Tentulah dari seorang yang a’lim yang lazimnya dipanggil u’lama’ yang mana mereka ahli atau pakar dalam perihal ajaran Islam. “U’lama’ adalah pewaris kepada para nabi”. Tinggi benar ilmu Islam itu!

Islam tidak memerlukan terjemahan yang lain untuk menerangkannya. Islam tidak perlu dipelajari menggunakan kaedah silat, kaedah tambahan yang dangkal dan sebagainya. Islam juga tidak boleh difahami melalui silat atau melalui minda yang jahil.

Islam tidak memerlukan apa-apa untuk ditonjolkan. Memadai dengan ilmunya yang murni dan tersendiri. Memadai dengan pelbagai kaedah yang diajar oleh para a’lim u’lama’ melalui ijma dan qiyas. Memadai dengan peribadi yang ditunjukkan para sahabat. Memadai dengan sunnah Baginda Nabi Muhammad (saw). Mamadai dengan Kitab Allah Al-Quran Al-Karim.

Usahlah ditokok tambah apa yang telah lengkap dan terlalu suci. Ini hanya akan mencemar kefahaman umum terhadap Islam dan kefahaman kita sendiri juga akan tercemar. Islam tidak mungkin akan tercemar kerana ketinggian dan kemurniaannya, yang rugi adalah masyarakat yang bakal tersesat dan tersasar dari landasannya.

Sudah tiba masanya kita berhenti menggunakan logik dan sentimen hati dalam mentafsirkan Islam. Kembalilah kepada tradisi atau sunnah sebenar dalam mempelajari dan memahami Islam. Murnikanlah kembali cara atau sumber untuk kita benar-benar memahami Islam.

Sedarlah bahawa kita sudah terlalu banyak tersilap dalam mentafsirkan terlalu banyak perkara tentang Islam. Bersilat seharusnya dipelajari dari guru atau jurulatih silat, Islam sudah semestinya dipelajari dari ustaz atau para a’lim u’lama’ yang mewarisi ilmu agama. Ustaz yang a’lim atau benar-benar memahami tentang Islam, bukan ustaz silat atau mereka yang digelar ustaz kerana sebab yang selainnya. Ahli agama yang a’lim dan mempelajari Islam mengikut kaedah sunnah dan cara yang telah ditetapkan melalui silsilah para ‘ulama soleh yang muktabar.

Guru silat tidak semestinya a’lim dalam ugama dan seorang a’lim tidak semestinya guru silat begitu juga dengan seorang doktor atau pakar saintis dan sebagainya yang tidak semestinya ‘alim dalam selok-belok Islam. Jika ada kedua-dua kemahiran ilmu dunia dan ilmu Islam maka itu adalah satu taqdir dari rahmat Allah (swt).

Silat, sains, perguruan, kedoktoran dan sebagainya tidak mampu untuk mengajar tentang syari’at, fiqah, aqidah, tidak boleh menjadi saksi keIslaman, tidak pula boleh mengajar mengenal Allah (swt), para nabi, malaikat atau mengupas erti solah. Islam itu sungguh lengkap, terlalu sempurna, sangat tinggi dan suci murni.

Islam Ad-Din yang diturunkan Maha Pencipta dan ianya agama dari langit. Islam tidak seperti ajaran buddha, hindu, zen, taoism atau pelbagai ajaran lain yang dicipta kemudian oleh makhluk. Ajaran sebegini memerlukan pelbagai cara untuk mengukuhkan kedudukannya atau menonjolkan kehebatannya dan diantara yang menjadi kebiasaan adalah menggunakan pelbagai kaedah seni mempertahankan diri, silap mata, kaedah saintifik atau pelbagai amalan fizikal atau separa fizikal. Usahlah kita menjadi seperti mereka jika tidak kita juga akan tergolong dari kalangan mereka kerana telah menyerupai seperti mereka nauzubillah.

Islam sememangnya mencakupi semua aspek kehidupan, tetapi tidak pula memerlukan sesuatu yang baru atau yang asing untuk memahami, mempelajari atau mengamalkannya. Tidak mampu artikel ini untuk menerangkan atau mengajar para pembaca yang dihormati tentang Islam secara sebenar. Carilah guru atau ustaz yang a’lim dan mahir dalam selok-belok Islam.

Hentikanlah mentafsir Islam itu melalui silat atau melalui perkara lain yang tidak selayaknya. Usahlah kita sia-siakan Islam dengan cuba mamahaminya dengan ajaran seni silat, perkara lain yang tidak sepatutnya atau minda yang jahil. Islam tidak akan dan tidak mungkin tandus dengan pelbagai kaedah sunnah, ijma dan qiyas yang sedia ada untuk mempelajari dan menghayatinya.

Masih ramai ‘ulama berilmu Islam yang tinggi yang mempunyai kefahaman Islam sebenar yang amat mendalam yang mampu mendidik dan membimbing kita semua agar menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba. ‘Ulama ini mampu mengajar kita tentang Islam sebenar serta mempunyai ketokohan serta ijma dan qiyas yang soleh dan wara’. Mereka inilah pewaris Nabi (SAW) yang mampu memberikan ilmu dan bimbingan jika kita benar-benar inginkan panduan dan bimbingan.

No comments:

Post a Comment