Thursday, August 26, 2010

Kemurniaan Sumber Ilmu (Bahagian Akhir)

Sayang sekali kita lebih gemar sekadar membaca buku bagi mempelajari Islam dan dengan biadapnya menjadikan para ‘ulama sekadar bahan rujukan kita sedangkan merekalah yang menjadi guru dan buku hanyalah sebagai bahan rujukan. Membaca buku Islam sendiri, terasa ‘alim sendiri, jawab soalan tentang Islam sendiri, perasan sendiri dan terciptalah pula seorang “ulama” generasi baru zaman kini iaitu ‘ulama bertaraf profesional lantikan sendiri.

Selepas itu akan terciptalah pelbagai wajah ajaran baru yang kononnya dilabelkan dengan Islam sebenar oleh terlalu ramai “ulama” yang diiktiraf oleh diri sendiri yang merasa dirinya lebih ‘alim dari sekalian ‘ulama tradisi yang ada. ‘Ulama sebenar dilabelkan sebagai jumud, bida’ah dan pelbagai lagi label kehinaan yang dilemparkan kepada para ‘ulama sebenar ini.

Apakah sebegitu mudah untuk kita menjadi seorang ‘ulama atau seorang ‘alim yang mahir dalam selok-belok Islam? Adakah lebih mudah dari mempelajari ilmu kedoktoran, ilmu kejuruteraan, ilmu penerbangan, ilmu sains, ilmu perubatan dan ilmu dunia yang lain? Para ‘ulama menghabiskan keseluruhan hidup mereka mempelajari, memahami dan mengamalkan ilmu Islam selepas itu barulah mereka diiktiraf sebagai ‘ulama.

Mereka juga menghabiskan masa yang ada bagi menyampaikan dan membimbing kita semua yang jahil tentang Islam. Mereka mempelajari Islam bukan bagi menjadi ‘ulama atau bagi tujuan berdebat menghentam orang lain tetapi bagi menjadikan diri mereka hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba serta mendidik dan membimbing kita bagi menjadi hamba Allah (SWT) yang terbaik.

Itulah sebenarnya tujuan segala ilmu Islam yang bersumberkan dari Quran dan Hadis seterusnya dari ijma dan qiyas para ‘ulama sebenar yang soleh dan wara’. Bukan bagi tujuan lain yang hanya akan mengabui mata dan hati manusia seperti ingin menjadi ‘alim dan sebagainya.

Berjaga-jagalah agar kita tidak sesat dalam kebutaan dan hasilnya kita jahil murokkab atau bodoh buta yang bertimpa-timpa. Ini akan menjauhkan lagi kita dari kebenaran, nauzubillah. Sememangnya ada pendapat yang sahih mengatakan mempelajari seni mempertahankan diri itu adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam tetapi tidak pula ada hujjah dalil mengatakan Islam boleh dicari dan dipelajari melalui silat atau seni mempertahankan diri.

Letakkan atau masukkan sesuatu dan segala-galanya dalam Islam bukannya letakkan Islam dalam sesuatu. Kita boleh mengIslamkan silat atau individu tetapi jangan sekali-kali mensilatkan Islam! Kaedah menggunakan dalil nas Quran dan hadis serta dalil akal yang kemudiannya berpandukan pendapat dan pandangan para u’lama’ soleh lagi wara’ mestilah menjadi satu-satunya cara untuk mengukur tentang Islam dan segala sesuatu. Bukan sekadar guna akal sendiri yang liar dan jahil.

Ada diantara kita pengamal seni silat yang tidak lagi mengetahui makna dan tuntutan ayat Al-Quran yang diamalkan dan menjadikan ayat Al-Quran Kalam Yang Maha Tinggi itu sebagai alat untuk sesuatu kepentingan dan terus tidak mengendahkan fungsi sebenarnya. Hinggakan ayat itu dipanggil dengan pelbagai nama dan tidak lagi diketahui surah mana dan ayat yang keberapa dalam Al-Quran, apatah lagi makna dan maksudnya.

Tidakkah kita takut murka Allah Azza wa Jalla? Adakah kita lupa untuk apa kita dijadikan dan fungsi apakah ayat-ayat Al-Quran, Hadis dan Zikir tersebut? Ingatlah bahawa Al-Quran itu Kalam Allah (swt) Maha Agong Maha Besar Maha Pencipta yang menjadi sumber, tunggak, sangga, panduan, rujukan dan pegangan utama kita dalam menjalani kehidupan sebagai seorang manusia amnya dan muslim khususnya.

Islam itu mengajar kita tentang akhlak, adab dan tertib terhadap yang Maha Berkuasa Allah (swt), terhadap diri kita, terhadap sekalian makhluk yang lain dengan mengikut cara sunnah Nabi Muhammad (saw). Sebagai pendekar atau seorang yang pandai akal, kita sekadar menjadi kuli dalam membantu mendidik disiplin masyarakat.

Jika Islam sentiasa kita jadikan keutamaan, sekurang-kurangnya dapat menarik minat umum kepada Islam dengan menggunakan cara-cara yang betul. Walau bagaimana pun, kita mestilah berdamping dan merujuk kepada yang memahami tentang Islam, kecuali kalau ada antara tuan yang sememangnya seorang yang ustaz yang a’lim.

Bagi yang jahil seperti saya, marilah kita bawa anak-anak murid kita kepada yang benar-benar ahli, terutama sekali apabila menyentuh tentang Islam. Sedarlah betapa jahilnya kita. Usahlah rasa diri tahu segala sedangkan jahil bertimpa-timpa. Sudah tiba masanya kita berhenti dari mencemar Islam dengan pelbagai tafsiran asing yang janggal dan dangkal.

Sudah tiba masanya kita berhenti dari mengisi minda umum dengan ilmu pelik dan syirik. Sudah tiba masanya kita benar-benar menjadikan Rasulullah (saw) sebagai satu-satunya tauladan dalam segenap aspek kehidupan. Seorang manusia agung yang luka bila dilukai dan maktub hayatnya untuk Ilahi. Baginda (saw) tidak kebal, sahabat (ra) juga tidak kebal, berjalan diatas tanah bukan air, tidak sakit-menyakiti dan tiada pula ilmu pelik yang sentiasa menjadi.

Tidak pernahkah kita hayati sirah dan hadis sebagai panduan? Kenapa jadikan sesuatu yang lain sebagai contoh tauladan? “Demi sesungguhnya dalam diri Rasulullah wujud contoh tauladan yang terbaik....”. Janganlah cedok apa yang kita rasa sesuai dengan nafsu serakah semata-mata. Perkotak-katikkan Islam untuk kepentingan diri dan untuk matlamat hina. Dalam Islam 5 ditolak 1 jadinya kosong. Tidak boleh diterimanya yang ini dan ditolak pula yang itu.

Konsep sebegini tiada dalam Islam dan sebagai muslim kita dilarang bertindak sebegini. “Apakah kamu beriman dengan sebahagian dari Kitab (Al-Quran) dan engkar sebahagian darinya.....”. Gunakanlah kaedah suci yang sedia ada dalam memahami Islam. “Janganlah kamu mencampurkan yang haq dan yang batil......”.

Yang benar itu jelas, yang salah itu jelas. Ilmu dan kefahamanlah yang dapat menjelaskannya sejelas-jelasnya. Usah kita ghairah menunjuk kepandaian hingga lupa betapa jahilnya diri. Kefahaman hanyalah diperolehi dengan ilmu. Ilmu dituntut dengan ahlinya. Bataskanlah diri kita dengan ilmu yang menghasilkan iman dan taqwa serta membuahkan akhlak terpuji. Islam itu bukan sekadar sebutan, ayat atau ibadah khusus semata-mata.

Ianya merupakan satu kehidupan sejahtera, bebas dari syirik, maksiat dan noda, kebebasan jasmani dan rohani. Selamat juga dari murka Allah (swt) mengikut cara Nabi Muhammad Rasulullah (saw). Jangan terjemahkan Islam dengan tafsir nista dari kejahilan diri. Ijma’ dan qias u’lama’ yang ada sudah berpada. Jangan sibuk tengok buruk orang semata-mata, hodoh diri tidak kita sedari, bermuhasabahlah selalu.

Masih belum terlambat untuk kita mengakui hakikat kesilapan diri, insyaAllah. Yang penting kita mesti benar-benar ikhlas dan tunduk pada kebenaran. Mendabik dada mengundang rugi. Bukalah fikiran dan sejahterakan rohani. Berlapang dada, didik jasmani dengan akhlak terpuji. Usah ghairah untuk terus menggapai jauh dilangit gelita, natijahnya hanya sesat teraba-raba. Mulakan dari bawah, ikut kaedah, amati sunnah. Bertatih dulu, berjalan lurus dan barulah boleh berlari terus.

“Dan orang-orang yang kafir (engkar) pula, amalan mereka umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangka air bagi yang dahaga, (pergi ia kearahnya) apabila ke tempat itu, tiada apa yang disangkanya; (tiada faedah amalan sebagaimana yang disangka) dan yang ada cuma hukum Allah di sisi amalnya, lalu Dia menyempurnakan hitung amalnya (serta balasan); dan Allah Amat segera hitungan hisabNya”. Ingatlah! Matlamat tidak sekali-kali dapat menghalalkan cara!

No comments:

Post a Comment