Tuesday, July 13, 2010

Nafsu & Kejinan

Saya tidak layak untuk mengkritik atau memberi pandangan terhadap seseorang. Namun dalam amanah memelihara Islam agar murni dan tepat dengan perjalanan sunnah maka bersama-samalah kita memandang segala sesuatu itu dengan kehambaan dan menentang segala bentuk kezaliman dan kejahilan nafsu. Saya kongsikan disini pandangan dari kelemahan dan kejahilan saya yang sentiasa mengharapkan rahmat Allah (SWT) dan ilmu serta bimbingan guru.

Dalam segala hal wajiblah kita mengenepikan runtunan dan gesaan nafsu kita yang liar dan mengelodak walau pun dalam menegakkan kebenaran. Untuk tujuan apa dilakukan sesuatu perkara tersebut dan bagaimana ianya dilakukan merupakan 2 perkara yang satu jika dilihat dari perspektif Islam. Sudah tentunya wajib kita melihat segala inci kehidupan itu dari sudut syariat. Jika benar sesuatu ilmu itu dari Nabi (SAW) maka ianya akan melahirkan jundullah yang sebenar yang hanya takutkan Allah (SWT), taqwa dengan sebenar-benar taqwa.

Orang begini cintakan syahid dan tidak takut mati malahan zuhud terhadap dunia dan segala apa yang berkaitan dengan dunia. Inikan pula dunia yang inginkan kehebatan dan seolah-olah berusaha untuk tidak mahu dan bencikan kematian. Para sahabat (RA), tabi’in, tabi’ut tabi’in, para ulama dan awliya merupakan suatu kesinambungan dari ilmu dan cara sunnah Nabi (SAW). Apa yang mereka bawa adalah suatu gagasan kehidupan syumul yang menuju kepada kehambaan kepada Allah (SWT) dalam segala keadaan. Hanya redha Allah (SWT) dengan kerendahan diri dan hati yang terhasil dari ilmu yang datangnya dari Nabi (SAW).

Bukannya kehebatan dan sifat ujub, riya’ dan takabbur yang lahir yang mana sebagai makhluk dihukumkan haram berpakaian atau bersifat yang sebegini yang menjadi milik mutlak Allah (SWT). Jika terzahir kehebatan dari sesuatu amalan yang dibuat hanya kerana kehambaan maka kehebatan itu akan menzahirkan kebesaran Allah (SWT) bukannya kehebatan diri. Mungkin semua persoalan yang anda tanya dapat terjawab dengan artikel di atas dan dengan beberapa artikel lain yang telah saya tuliskan sebelum ini.

Sememangnya biasa dan banyak terjadi perkara kehebatan dari jin biar pun dari amalan zikir, ayat-ayat Quran, doa dan sebagainya jika ianya dibuat atas landasan nafsu dan tiada pula bimbingan yang tepat dan sepatutnya. Bezanya cuma sama ada ianya jin Islam atau jin kafir. Namun tetaplah juga jin dan ianya adalah dilarang dalam Islam kerana beramal untuk kehebatan dan jin. Ini membawa kepada syirik serta kebinasaan dunia dan akhirat.

Perjalanan Nabi (SAW) yang dibawa sahabat (RA) dan diteruskan oleh tabi’in, tabi’ut tabi’in, para ulama dan awliya bukanlah atas landasan nafsu yang inginkan kehebatan dan perkara yang sepertinya. Mereka membawa perjalanan yang penuh kehambaan pada Allah (SWT) dengan pengabdian mutlak, tunduk sujud dan dekat hanya kepada Allah (SWT). Mereka menyebut sebarang bentuk zikir dan beramal dengan amalan rohani dan jasmani bagi tujuan yang telah dinyatakan dalam terlalu banyak ayat-ayat Quran dan Hadis.

Malangnya orang jahil dan sombong suka berlaku biadap pada Allah (SWT) dan Nabi (SAW) serta gemar menukilkan dengan pelbagai kiasan dari minda nafsu mereka agar dibolehkan sesuatu yang dilarang dan dibenci Islam. Wajiblah kita dibimbing dalam segala perkara oleh seorang ‘ulama sebenar yang soleh dan wara’. Ilmu dan bimbingan Islam itu wajiblah pula membawa kepada kehambaan, taat, taqwa, ikhlas dan tumpuan hanya kepada Allah (SWT). Jadikanlah tujuan bagi menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba dalam segala keadaan sebagai matlamat hidup seorang Islam. Hanya Allah (SWT) yang Maha Hebat.

No comments:

Post a Comment