Friday, June 11, 2010

Wadah Pendidikan Diri

Dalam banyak seni Silat Melayu lama, latihan, ketelitian dan tumpuan ditekankan dalam semua aspek. Jika diperhatikan, turutan kaedah yang wujud di dalamnya hampir tidak memerlukan elemen lain untuk meningkatkan kemahiran, stamina dan sebagainya.

Dalam keadaan ini, banyak pesilat generasi baru merasakan generasi guru-guru tua seolah-olah menolak pembaharuan kerana guru-guru ini seakan menolak kaedah tambahan yang lain dalam meningkatkan diri seorang pesilat. Itulah bezanya pandangan seorang pakar dengan ilmu dan pengalamannya.

Kaedah regangan, senaman, kesihatan, tempur dan sebagainya dah lama sangat wujud dalam seni Silat Melayu lama, terlalu lama hingga dah tak nampak atau sentiasa terlepas pandang oleh mesyarakat Melayu sendiri.

Ada di kalangan pesilat suka benar belajar ikut suka hati, dah jarang ikut tertib, mana yang rasa hebat diambil, mana yang leceh, susah atau berbunga-bunga ditolak terus tanpa rasa ingin tahu untuk mencungkil rahsianya.

Ini juga terjadi asbab dari cara penyampaian yang terlalu sempit atau kolot. Kaedah yang lebih tepat ialah mengadakan pembaharuan atau nafas baru tanpa mencemar keaslian asalnya dan tidak pula melanggar kemurniaan ajaran Islam. Semua pihak dan pelbagai aspek mesti diteliti dalam mengembalikan kegemilangan seni silat warisan kita ini.

Apa yang canggihnya, terdapat terlalu banyak kaedah seni silat Melayu lama yang terlalu ringkas tapi dapat memberikan hasil yang ampuh. Itulah beza antara yang benar-benar ingin menghayati dan yang sekadar nak ambil tahu. Hakikatnya dalam semua aspek kehidupan kita diliputi sunnah Baginda (SAW) dalam semua aspek.

Seni mempertahankan diri merupakan salah satu kepakaran Junjungan Nabi (SAW) dan para Sahabat (ra). Malahan ianya merupakan satu tuntutan dalam Islam dan haruslah dipelajari.

Berjuang atau menjaga keselamatan bukan dalam peperangan semata-mata, dalam aman juga wajib kita pastikan keselamatan itu kekal dan bukan hanya sekadar keselamatan diri sendiri dan keluarga malahan keselamatan masyarakat juga merupakan tanggungjawab semua.

Di samping itu seni silat mampu menjadi alat dalam mencegah dari berlakunya kepincangan dalam masyarakat dengan pendidikan tradisi disiplinnya. Kepincangan masyarakat merupakan penyumbang utama dalam ancaman keselamatan. Dari sini timbulnya pelbagai jenayah atau perkara yang tidak diingini. Pendidikan disiplin yang berteraskan Islam sudah tentu dapat membantu dalam proses mencegahnya.

Dalam mempelajari seni silat, pesilat dapat menerokai kemampuan fizikal dan mental diri bila melalui pelbagai proses pendidikan di dalamnya. Pantang larang, syarat-syarat, adab tertib, adat istiadat dan pelbagai lagi yang mesti dihadapi dan difahami oleh pesilat. Bukan sekadar teknik fizikal sahaja. Keseluruhan proses pendidikan itu dapat mematangkan diri. Asas ukuran dari cara penerimaan segala yang tersebut tadi dan cara individu menghadapinya. Ini menggambarkan setakat mana asas kefahaman diri.

Kefahaman tentang ilmu yang bakal dipelajari sewaktu menyempurnakan tuntutan tersebut dan juga ketelitian dalam menjaga tertib agama apabila mengutamakan hukum dalam penerimaan segala sesuatu. Inilah antara yang paling asas dalam ukuran kematangan.

Individu yang tiada taat, tidak amanah, cuai atau tidak teliti, buruk sangka dan pelbagai sikap negatif yang lain akan merasakan proses pendidikan dalam sesuatu aliran itu melecehkan dan membebankan. Ukuran mudah tentang keikhlasan dan kesungguhan mentalnya untuk mewarisi ilmu tersebut sudah nampak sejak mula lagi di sini. Belum pun bermula proses pendidikan yang sebenar.

Teknik fizikal pula dapat mengukur di mana kemahiran sebenar atau kelebihan diri pesilat. Kebiasaannya seni silat Melayu tidak seperti beladiri asing yang sering cuba melampaui kemampuan tabii' diri.

Terdapat pelbagai aliran atau kaedah dalam seni silat Melayu yang sesuai untuk pelbagai ragam atau kemampuan individu dari aspek jantina, kurang upaya, sakit dan sebagainya. Di sini jelas betapa besarnya hikmah kepelbagaian dalam aliran silat Melayu.

Dengan bimbingan guru yang berwibawa, proses pendidikan ini sudah tentu dapat membentuk sikap yang positif. Dalam masa yang sama, kewujudannya dibimbing jelas oleh seorang guru, guru yang berwibawa.

Lain pula halnya jika guru sendiri sekadar mengajar tentang kehebatan dan dirinya sendiri asyik dengan kehebatan, malang sekali jika berlaku begini. Bimbingan guru berwibawa akan menghasilkan pesilat atau murid yang mungkin akan lebih berwibawa. Diri juga akan terus terbimbing dengan ilmu yang ada biarpun setelah lama tamat belajar.

Dalam hal mengenal diri ini, kita tidak boleh pula menokok tambah dengan ilmu rekaan nafsu sendiri yang kononnya berbentuk kesufian. Ilmu sufi memang wujud dalam pendidikan Islam. Memadailah kita mempelajarinya dengan tertib yang sedia ada yang telah dibentangkan oleh para ulama'. Kaedah ini jelas datangnya dari Nabi (SAW).

Jika diperhatikan kaedah-kaedah hebat dalam seni silat Melayu dapat membina kewibawaan diri, asalkan proses penyampaian pendidikannya ditapis dengan adab-adab Islam. Sekali lagi, Islam merupakan teras utama dalam membina individu dan masyarakat.

Akhir kata, letakkanlah Islam di hadapan dalam semua perkara dan jagalah tertib yang telah digariskan dalam ajaran Islam. Dalam apa jua keadaan jangan putus ilmu, jangan putus amal dan jangan putus guru.

No comments:

Post a Comment