Tuesday, June 22, 2010

Silat & Sunnah

Sedarlah diri semua bahawa pada hakikatnya mempelajari seni beladiri yang tepat dan bersesuaian dengan Islam adalah merupakan salah satu usaha bagi mengamalkan sunnah. Pembelajaran seni beladiri terkandung aspek fizikal dan mental dan sudah tentunya rohani dan jasmani.
إن المؤمن يجاهد بسيفه ولسانه
"Sesungguhnya orang Mukmin itu berjuang dengan pedangnya dan juga dengan lisannya." (Riwayat Imam Ahmad)

Apa yang sepatutnya menjadi kunci utama dalam pendidikan sesuatu seni beladiri itu ialah warisan adab dan tertib dari Rasulullah (saw) yang diwarisi melalui hadis-hadis baginda (saw) melaui ilmu, kefahaman dan bimbingan ulama soleh. Adab dan akhlak Islam itulah yang sayugianya menjadi keutamaan, bukanlah penumbuk dan penendang, pukulan dan serangan atau yang sepertinya itu.

Sewaktu hayat baginda, Nabi (saw) pernah mempunyai beberapa bilah pedang dan senjata yang lain seperti panah dan ianya dijaga dan dihargai baginda (saw). Sayangnya kini kita lihat orang Jepun yang memiliki teknologi antara yang tercanggih didunia pula yang beriya-iya dengan tradisi pedang. Begitu juga dengan tradisi memanah. Negara maju matahari terbit itu masih berbangga dengan tradisi memanah mereka disamping terus mengamalkannya. Bagaimana pula dengan kita orang Islam di Malaysia?

Malahan tradisi memanah dan bermain pedang masih menjadi kebanggaan dan amalan secara meluas di negara yang boleh guna pistol dan dapat lesen pistol lebih mudah dari ambil lesen memandu di negara kita ini. Hakikatnya, dalam Islam, berpedang, memanah dan bersilat bukanlah untuk "katok", "pauk" atau “balun” orang tetapi ianya lebih mendalam dan terlalu jauh lebih bererti dari itu.

Adab dan tertib yang diajar oleh Nabi (saw) dan para sahabat (ra.hum) dalam melihat kegagahan dan kependekaran sebenar wajiblah menjadi intipati dalam melihat, menilai dan mempelajari seni beladiri. Tidak usahlah cepat melatah dengan nafsu dan emosi dalam menceburi apa jua bidang dalam kehidupan termasuklah bidang persilatan.
فَمَا تَعُدُّونَ الصُّرَعَةَ فِيكُمْ قَالَ قُلْنَا الَّذِي لَا يَصْرَعُهُ الرِّجَالُ قَالَ لَيْسَ بِذَلِكَ وَلَكِنَّهُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
“Nabi (saw) bertanya para sahabat (ra.hum): Apakah kamu fikir kekuatan itu (ukurannya) dalam gusti (berlawan)? Sahabat menjawab: (Ukuran kekuatan itu ialah apabila) Lelaki yang tidak mampu ditandingi dalam gusti (perlawanan). Nabi menjawab: Tidak sedemikian tetapi kekuatan yang sebenarnya adalah apabila seseorang itu mampu mengawal dirinya ketika sedang dalam keadaan marah." (Riwayat Imam Muslim)

“Orang silat” yang matang dan yang benar-benar layak digelar “pendekar” tidak akan terguris hati atau merasa marah kerana sesuatu perkara yang selain dari perkara tentang Islam kerana tiada yang lebih tinggi, lebih mulia dan lebih penting dari Islam. Itulah resmi sifat zahir dan batin seorang pendekar sebenar seperti yang telah ditunjukkan Nabi (saw):
ما خُيِّرَ رسول اللَّهِ بين أَمْرَيْنِ إلا أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا ما لم يَكُنْ إِثْمًا فَإِنْ كان إِثْمًا كان أَبْعَدَ الناس منه وما انْتَقَمَ رسول اللَّهِ لِنَفْسِهِ إلا أَنْ تُنْتَهَكَ حُرْمَةُ اللَّهِ فَيَنْتَقِمَ لِلَّهِ بها
“Tidaklah Rasulullah (SAW) dalam memilih antara dua perkara kecuali akan mengambil yang lebih mudah selagimana tidak tergolong dalam dosa. Namun jika ia tergolong dalam bab dosa maka Rasulullah (SAW) akan menjadi orang yang paling jauh darinya dan tiadalah Rasulullah (SAW) membalas dendam & marah atas sebab dirinya kecuali apabila dicemari dan dicabuli kehormatan Allah maka baginda akan bertindak (marah) bagi pihak (kerana) Allah (SWT).” (Riwayat Imam Bukhari)

Islam telah terlalu teruk dihina, dikeji dan diancam oleh golongan musuh Islam dengan secara terlalu terang, nyata dan terlalu amat teruk. Maka janganlah kita masih tengelam dan disibukkan dalam melayan emosi dan karenah kumpulan tertentu atau bangsa tertentu walau pun kumpulan dan bangsa sendiri kerana ianya bukanlah anjuran Islam. Gembiralah apabila Islam itu dimuliakan dan tergurislah apabila Islam dihina namun laksanakanlah ia dengan adab yang digariskan syari'at.

Tiadalah tujuan lain dalam kehidupan ini bagi mereka yang telah Islam dan telah beriman melainkan hidup dan mati semata-mata bagi agama Allah Ta'ala iaitu Islam. Tidaklah diciptakan pelbagai kelainan manusia samada perbezaan bangsa, warna kulit dan sebagainya melainkan untuk menunaikan perintah Allah (SWT). Kerana perintah Dia (SWT) maka kita bersilat.
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu…” [Al-Anfal: 60]

Semoga kita semua bergerak diiringi dengan ayat Allah dalam lafaz dan perintah serta berbetulan pula dengan perjalanan para kekasihNya. Berjalan, bersilat, makan, minum dan segala yang kita lakukan diharap berbetulan dengan kehendak dan redhaNya selalu.

Islam Mulia Tiada Tandingan
Quran Dan Sunnah Tiada Bandingan
Usah Tenggelam Dek Perasaan
Nafsu Emosi Jangan Ikutkan

Apalah Yang Ada Pada Bangsa
Jika Tiada Taqwa Dan Iman
Sayangkan Kaum Biar Berpada
Paling Utama Islam Junjungan

Bangsa Binasa Kerap Berlaku
Pabila Engkar Sunnah Dan Quran
Hanyalah Islam Utuh Dan Jitu
Kekalnya Hingga Bertemu Tuhan

No comments:

Post a Comment