Tuesday, June 1, 2010

Persediaan

Sebagai seorang pengamal perubatan yang beragama Islam maka iman dan taqwa sudah semestinya wajib ada pada setiap masa dan keadaan. Ianya diterjemahkan dalam bentuk kehambaan zahir dan batin kepada Allah (swt). Syari’at atau feqah itu merupakan pancaran kehambaan diri. Dalam mengamalkan perubatan moden, seorang doktor wajib memastikan dirinya dilindungi sewaktu mengubati pesakit. Islam pula memastikan setiap diri wajib dilindungi dalam apa keadaan sekalipun lebih-lebih lagi sebagai perawat. Dilindungi dari segala bahaya yang nyata seperti kecederaan, kecuaian, salahlaku dan sebagainya; dan yang tidak nampak secara mata kasar seperti kuman, virus, iblis, nafsu, syaitan, fitnah dan sebagainya.

Kebersihan, keselamatan dan kelengkapan secukupnya bagi semua perkara adalah penting bagi memastikan semuanya bersesuaian dengan perintah dan kehendakNya. Perawat wajib mempunyai ilmu yang sepatutnya dalam melaksanakan bidang perubatan yang diamalkan. Rohani dan jasmani mestilah terbimbing dengan bimbingan keIslaman dari sumber yang tepat. Hakikatnya ilmu perubatan walau apa jenisnya sekali pun merupakan suatu ilmu yang diperintahkan oleh Allah (swt) agar mempelajari dan menguasainya iaitu fardhu kifayah. Apabila pengamal sesuatu ilmu tidak terpimpin oleh kehambaan sebenar maka akan berlaku kerosakan dan kebinasaan.

Ahli keluarga perawat juga mestilah memahami tanggungjawab mereka terutamanya keluarga terdekat. Mereka juga mestilah terbimbing serta mempunyai persediaan zahir dan batin bagi mengelakkan fitnah dan bahaya yang mungkin datang dari tanggungjawab salah seorang ahli keluarga mereka yang menjadi seorang perawat. Perawat dan keluarga mestilah menjaga aspek akhlak, keimanan dan mempunyai kekuatan yang bersumberkan dari ajaran Islam sebenar. Semuanya ini juga mesti ada pada diri pesakit yang hendak dirawat dan ahli keluarga terdekat pesakit.

Bagi pesakit dan keluarga mereka perlulah ada kefahaman tentang apa yang mesti dilakukan bagi membantu proses penyembuhan. Mereka mesti ikhlas dan rela dalam melaksanakan tugas dan bahagian masing-masing dalam menjayakan usaha tersebut. Ini semua hanya dapat diperolehi secara tepat melalui ajaran Al-Quran dan Sunnah. Disamping mendapatkan bimbingan menyeluruh dan tarbiyyah ruhiyyah dari sumber yang tepat, perawat juga sebaik-baiknya perlu ada keupayaan sekadar yang termampu untuk membimbing pesakit dan keluarganya. Terutama sekali dalam menghadapi situasi berkaitan penyakit yang dideritai.

Kesemua amalan wajib dan sunat, dari yang paling besar hinggalah yang paling kecil, menjadi pendinding dari pelbagai perkara yang tidak baik, sama ada perkara nyata atau pun yang ghaib, kecil atau besar. Al-Quran dan Sunnah telah lama menjelaskannya cuma orang Islam sendiri masih tidak mahu memahaminya melalui kaedah yang sepatutnya. Perbuatan berwudhu menghindari nafsu marah seperti diterangkan dalam hadis. Begitu juga penyakit fizikal. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar membasuh muka, kaki dan tangan sekurang-kurangnya 5 kali sehari bagi mencegah penyakit merbahaya.

Pakar gigi dari FDI (Fédération Dentaire Internationale) atau Pertubuhan Pergigian Sedunia menyarankan agar memberus gigi 2 kali sehari, Islam pula menggalakkan memberusnya setiap kali berwudhu. Nabi (saw) mengemari makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi seperti roti, kurma dan juga manisan seperti madu. Susu kambing juga digemari Nabi (saw). Kajian saintifik kini menyedari kehebatan semua bahan tersebut serta bahan lain yang disebutkan dalam Quran dan hadis. Begitulah hebat perintah-perintah Allah (swt) yang dibawa oleh RasulNya Muhammad (saw).

Bayangkanlah dinding pertahanan rohani dan jasmani, fizikal dan mental, yang ada pada seseorang yang benar-benar menjaga amalan dari amalan yang paling besar hinggalah kepada amalan yang paling kecil. Hakikatnya pendinding yang paling ampuh ialah iman dan taqwa dari ilmu dan amalan kehambaan. Sebenarnya pendinding dalam Islam mempunyai erti, maksud dan fungsi yang amat luas.

Bagi mendapatkan kekuatan dan kemantapan jiwa serta menghindarkan diri daripada musibah yang menarik kepada kancah kekufuran, kesyirikan serta kejinan dan kezaliman, amalkan selawat dan istighfar sebanyak mungkin. Sekurang-kurangnya 20 kali setiap solah. Selawat yang disyorkan ialah Selaway Ummiyy manakala Istighfar yang disyorkan ialah amalan Nabi Yunus (as) yang disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad (saw) sebagai suatu zikir yang apabila berdoa dengannya akan diperkenan dan dimakbulkan Allah (swt).

Melazimilah dalam mengamalkan kedua-duanya hinggalah pada waktu-waktu yang selain dari selepas solah sekadar yang termampu. Sememangnya Allah menjanjikan kejayaan orang beriman itu adalah sejauh mana mereka dekat denganNya dan orang-orang yang banyak berzikir itu adalah orang-orang yang berjaya. Kedua-dua amalan ini penting bagi menghalang dari kalah dengan nafsu diri sendiri. Nafsu itu jugalah yang menjadi alat dan jambatan ampuh iblis serta kuncunya untuk menjahanamkan manusia.

No comments:

Post a Comment