Friday, June 25, 2010

Pertikaian Harta

Baru-baru ini ada pula pihak yang mempertikaikan tentang pembahagian harta dalam Islam. Dalam Islam harta dapat diperolehi dari terlalu banyak sumber. Dalam pembahagian harta memanglah secara umumnya anak lelaki mendapat lebih dari wanita. Perkara ini dipertikaikan kerana mereka berikan contoh atau bayangan tentang 2 beradik dari seorang ayah yang kaya raya, abangnya juga kaya raya manakala adik perempuannya pula miskin dan janda beranak ramai.

Fahamkah kita tentang status fakir dan miskin dalam Islam? Ini kerana bagi seorang janda yang miskin beranak ramai bukanlah hanya satu sumber sahaja baginya untuk mendapatkan harta. Malah jika benar abang dan ayahnya seorang yang kaya raya, besar pula kemungkinan janda itu sudah boleh hidup senang-lenang jika sekiranya tanggungjawab menunaikan sedekah wajib dan sunat dilaksanakan oleh ayah dan abangnya.

Bagi orang seperti janda tersebut terdapat sumber dari bayaran zakat (fitrah, harta, pendapatan, emas, perniagaan, penternakan dan sebagainya), fidyah dan kaffarah (puasa, sumpah dan sbgnya). Jika semua ini ditunaikan dengan penuh keimanan dan ketaqwaan oleh kesemua mereka yang diwajibkan menunaikannya maka akan jadi kayalah org yang fakir dan miskin, yakinlah! Apa pula yang nak kita sibukkan dengan hanya dari satu sumber sahaja. Malah dalam faraid pun wajib ada penunaian segala hutang wajib seperti zakat, fidyah dan kaffarah bagi simati.

Maka ianya wajib dilaksanakan dahulu dengan diberikan dahulu kepada anaknya yang miskin janda tersebut. Selepas itu barulah boleh dibahagikan harta tersebut kepada waris iaitu abangnya yang kaya dan janda miskin tersebut. Disini kita lihat janda tersebut dah dapat lebih dari sekadar pembahagian biasa bagi ahli waris kerana termasuk sekali dengan duit zakat, fidyah dan kaffarah kerana janda tadi dah jadi golongan asnaf. Malahan abangnya pula wajib pula tunaikan zakat dari hartanya sendiri dan juga dari mana-mana harta yang dia baru perolehi kepada janda tersebut. Nampaknya dapat duit lagilah janda tu ya.

Islam tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja, kena kaji dan mengaji habis dulu baru boleh nak cakap atau komen lebih-lebih. Bagi diri orang-orang jahil seperti kita ini maka perlulah kepada ilmu, kefahaman dan bimbingan ulama soleh yang menjadi panduan dan ikutan. Bila sebut tentang pemerolehan harta atau duit atau rezeki, kita tak boleh lihat pada harta pusaka atau sistem faraid sahaja.

Keadilan dalam Islam bukan dengan hanya melihat pada satu sudut atau satu hukum atau satu hal sahaja. Kena lihat, malah wajib diteliti dari semua sudut, segala penjuru dan segenap aspek hukum-hakam dalam Islam. Susun atur ketetapan perintah dan hukum Allah (SWT) itu dah cantik, lengkap dan terang lagi jelas. Terang benderang hingga bagi mata orang-orang jahil seperti kita ini jadi silau dan tak nampak dek kerana sinarannya yg terlampau terang benderang lagi terlalu amat menyilaukan mata.

Kita banyak dibutakan dengan kejahilan diri dan juga dengan tafsiran sendiri tentang Islam. Hingga dalam hal zakat, fidyah dan kaffarah pun kita buta lagi jahil. Nak senang punya pasal maka kita tabur aje bayaran zakat tu secara semberono kepada rumah anak yatim atau kepada ibu tunggal atau buat potong gaji melalui bank atau macam-macamlah lagi cara yang paling mudah dan malas.

Hinggakan pernah suatu ketika saya sendiri pernah bertemu dengan pihak rumah anak yatim yang terpaksa buang beras dan makanan lain kerana terlalu banyak terima sumbangan. Ada pula saya temui ibu tunggal yang mengeluh kerana nak cari orang lain yang boleh terima sedekah yang diberikan pada dia kerana hidup mereka dah senang dan mewah dengan gaji beliau serta wang pencen suaminya yang telah meninggal dunia.

Semua perkara nak senang dan nak mudah, main hentam sahaja hinggakan menunaikan perkara fardhu dalam Islam menjadi tidak terlaksana. Padahal ini bukanlah caranya yang dianjurkan Nabi Muhammad (SAW). Nak tunaikan kewajipan dalam Islam ada turutan keutamaan yg wajib kita penuhi kerana ianya wajib dilaksanakan dengan sifat kehambaan yang tinggi.

wAllahua’alam.

Tuesday, June 22, 2010

Silat & Sunnah

Sedarlah diri semua bahawa pada hakikatnya mempelajari seni beladiri yang tepat dan bersesuaian dengan Islam adalah merupakan salah satu usaha bagi mengamalkan sunnah. Pembelajaran seni beladiri terkandung aspek fizikal dan mental dan sudah tentunya rohani dan jasmani.
إن المؤمن يجاهد بسيفه ولسانه
"Sesungguhnya orang Mukmin itu berjuang dengan pedangnya dan juga dengan lisannya." (Riwayat Imam Ahmad)

Apa yang sepatutnya menjadi kunci utama dalam pendidikan sesuatu seni beladiri itu ialah warisan adab dan tertib dari Rasulullah (saw) yang diwarisi melalui hadis-hadis baginda (saw) melaui ilmu, kefahaman dan bimbingan ulama soleh. Adab dan akhlak Islam itulah yang sayugianya menjadi keutamaan, bukanlah penumbuk dan penendang, pukulan dan serangan atau yang sepertinya itu.

Sewaktu hayat baginda, Nabi (saw) pernah mempunyai beberapa bilah pedang dan senjata yang lain seperti panah dan ianya dijaga dan dihargai baginda (saw). Sayangnya kini kita lihat orang Jepun yang memiliki teknologi antara yang tercanggih didunia pula yang beriya-iya dengan tradisi pedang. Begitu juga dengan tradisi memanah. Negara maju matahari terbit itu masih berbangga dengan tradisi memanah mereka disamping terus mengamalkannya. Bagaimana pula dengan kita orang Islam di Malaysia?

Malahan tradisi memanah dan bermain pedang masih menjadi kebanggaan dan amalan secara meluas di negara yang boleh guna pistol dan dapat lesen pistol lebih mudah dari ambil lesen memandu di negara kita ini. Hakikatnya, dalam Islam, berpedang, memanah dan bersilat bukanlah untuk "katok", "pauk" atau “balun” orang tetapi ianya lebih mendalam dan terlalu jauh lebih bererti dari itu.

Adab dan tertib yang diajar oleh Nabi (saw) dan para sahabat (ra.hum) dalam melihat kegagahan dan kependekaran sebenar wajiblah menjadi intipati dalam melihat, menilai dan mempelajari seni beladiri. Tidak usahlah cepat melatah dengan nafsu dan emosi dalam menceburi apa jua bidang dalam kehidupan termasuklah bidang persilatan.
فَمَا تَعُدُّونَ الصُّرَعَةَ فِيكُمْ قَالَ قُلْنَا الَّذِي لَا يَصْرَعُهُ الرِّجَالُ قَالَ لَيْسَ بِذَلِكَ وَلَكِنَّهُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
“Nabi (saw) bertanya para sahabat (ra.hum): Apakah kamu fikir kekuatan itu (ukurannya) dalam gusti (berlawan)? Sahabat menjawab: (Ukuran kekuatan itu ialah apabila) Lelaki yang tidak mampu ditandingi dalam gusti (perlawanan). Nabi menjawab: Tidak sedemikian tetapi kekuatan yang sebenarnya adalah apabila seseorang itu mampu mengawal dirinya ketika sedang dalam keadaan marah." (Riwayat Imam Muslim)

“Orang silat” yang matang dan yang benar-benar layak digelar “pendekar” tidak akan terguris hati atau merasa marah kerana sesuatu perkara yang selain dari perkara tentang Islam kerana tiada yang lebih tinggi, lebih mulia dan lebih penting dari Islam. Itulah resmi sifat zahir dan batin seorang pendekar sebenar seperti yang telah ditunjukkan Nabi (saw):
ما خُيِّرَ رسول اللَّهِ بين أَمْرَيْنِ إلا أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا ما لم يَكُنْ إِثْمًا فَإِنْ كان إِثْمًا كان أَبْعَدَ الناس منه وما انْتَقَمَ رسول اللَّهِ لِنَفْسِهِ إلا أَنْ تُنْتَهَكَ حُرْمَةُ اللَّهِ فَيَنْتَقِمَ لِلَّهِ بها
“Tidaklah Rasulullah (SAW) dalam memilih antara dua perkara kecuali akan mengambil yang lebih mudah selagimana tidak tergolong dalam dosa. Namun jika ia tergolong dalam bab dosa maka Rasulullah (SAW) akan menjadi orang yang paling jauh darinya dan tiadalah Rasulullah (SAW) membalas dendam & marah atas sebab dirinya kecuali apabila dicemari dan dicabuli kehormatan Allah maka baginda akan bertindak (marah) bagi pihak (kerana) Allah (SWT).” (Riwayat Imam Bukhari)

Islam telah terlalu teruk dihina, dikeji dan diancam oleh golongan musuh Islam dengan secara terlalu terang, nyata dan terlalu amat teruk. Maka janganlah kita masih tengelam dan disibukkan dalam melayan emosi dan karenah kumpulan tertentu atau bangsa tertentu walau pun kumpulan dan bangsa sendiri kerana ianya bukanlah anjuran Islam. Gembiralah apabila Islam itu dimuliakan dan tergurislah apabila Islam dihina namun laksanakanlah ia dengan adab yang digariskan syari'at.

Tiadalah tujuan lain dalam kehidupan ini bagi mereka yang telah Islam dan telah beriman melainkan hidup dan mati semata-mata bagi agama Allah Ta'ala iaitu Islam. Tidaklah diciptakan pelbagai kelainan manusia samada perbezaan bangsa, warna kulit dan sebagainya melainkan untuk menunaikan perintah Allah (SWT). Kerana perintah Dia (SWT) maka kita bersilat.
وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu…” [Al-Anfal: 60]

Semoga kita semua bergerak diiringi dengan ayat Allah dalam lafaz dan perintah serta berbetulan pula dengan perjalanan para kekasihNya. Berjalan, bersilat, makan, minum dan segala yang kita lakukan diharap berbetulan dengan kehendak dan redhaNya selalu.

Islam Mulia Tiada Tandingan
Quran Dan Sunnah Tiada Bandingan
Usah Tenggelam Dek Perasaan
Nafsu Emosi Jangan Ikutkan

Apalah Yang Ada Pada Bangsa
Jika Tiada Taqwa Dan Iman
Sayangkan Kaum Biar Berpada
Paling Utama Islam Junjungan

Bangsa Binasa Kerap Berlaku
Pabila Engkar Sunnah Dan Quran
Hanyalah Islam Utuh Dan Jitu
Kekalnya Hingga Bertemu Tuhan

Wednesday, June 16, 2010

Pantun Beroleh Guru

Kaki Langit Disinari Mentari
Indahnya Menawan Mata Terpegun
Kepalang Indah Beroleh Murobbi
Dapat Bimbingan Ibadah Menekun

Friday, June 11, 2010

Wadah Pendidikan Diri

Dalam banyak seni Silat Melayu lama, latihan, ketelitian dan tumpuan ditekankan dalam semua aspek. Jika diperhatikan, turutan kaedah yang wujud di dalamnya hampir tidak memerlukan elemen lain untuk meningkatkan kemahiran, stamina dan sebagainya.

Dalam keadaan ini, banyak pesilat generasi baru merasakan generasi guru-guru tua seolah-olah menolak pembaharuan kerana guru-guru ini seakan menolak kaedah tambahan yang lain dalam meningkatkan diri seorang pesilat. Itulah bezanya pandangan seorang pakar dengan ilmu dan pengalamannya.

Kaedah regangan, senaman, kesihatan, tempur dan sebagainya dah lama sangat wujud dalam seni Silat Melayu lama, terlalu lama hingga dah tak nampak atau sentiasa terlepas pandang oleh mesyarakat Melayu sendiri.

Ada di kalangan pesilat suka benar belajar ikut suka hati, dah jarang ikut tertib, mana yang rasa hebat diambil, mana yang leceh, susah atau berbunga-bunga ditolak terus tanpa rasa ingin tahu untuk mencungkil rahsianya.

Ini juga terjadi asbab dari cara penyampaian yang terlalu sempit atau kolot. Kaedah yang lebih tepat ialah mengadakan pembaharuan atau nafas baru tanpa mencemar keaslian asalnya dan tidak pula melanggar kemurniaan ajaran Islam. Semua pihak dan pelbagai aspek mesti diteliti dalam mengembalikan kegemilangan seni silat warisan kita ini.

Apa yang canggihnya, terdapat terlalu banyak kaedah seni silat Melayu lama yang terlalu ringkas tapi dapat memberikan hasil yang ampuh. Itulah beza antara yang benar-benar ingin menghayati dan yang sekadar nak ambil tahu. Hakikatnya dalam semua aspek kehidupan kita diliputi sunnah Baginda (SAW) dalam semua aspek.

Seni mempertahankan diri merupakan salah satu kepakaran Junjungan Nabi (SAW) dan para Sahabat (ra). Malahan ianya merupakan satu tuntutan dalam Islam dan haruslah dipelajari.

Berjuang atau menjaga keselamatan bukan dalam peperangan semata-mata, dalam aman juga wajib kita pastikan keselamatan itu kekal dan bukan hanya sekadar keselamatan diri sendiri dan keluarga malahan keselamatan masyarakat juga merupakan tanggungjawab semua.

Di samping itu seni silat mampu menjadi alat dalam mencegah dari berlakunya kepincangan dalam masyarakat dengan pendidikan tradisi disiplinnya. Kepincangan masyarakat merupakan penyumbang utama dalam ancaman keselamatan. Dari sini timbulnya pelbagai jenayah atau perkara yang tidak diingini. Pendidikan disiplin yang berteraskan Islam sudah tentu dapat membantu dalam proses mencegahnya.

Dalam mempelajari seni silat, pesilat dapat menerokai kemampuan fizikal dan mental diri bila melalui pelbagai proses pendidikan di dalamnya. Pantang larang, syarat-syarat, adab tertib, adat istiadat dan pelbagai lagi yang mesti dihadapi dan difahami oleh pesilat. Bukan sekadar teknik fizikal sahaja. Keseluruhan proses pendidikan itu dapat mematangkan diri. Asas ukuran dari cara penerimaan segala yang tersebut tadi dan cara individu menghadapinya. Ini menggambarkan setakat mana asas kefahaman diri.

Kefahaman tentang ilmu yang bakal dipelajari sewaktu menyempurnakan tuntutan tersebut dan juga ketelitian dalam menjaga tertib agama apabila mengutamakan hukum dalam penerimaan segala sesuatu. Inilah antara yang paling asas dalam ukuran kematangan.

Individu yang tiada taat, tidak amanah, cuai atau tidak teliti, buruk sangka dan pelbagai sikap negatif yang lain akan merasakan proses pendidikan dalam sesuatu aliran itu melecehkan dan membebankan. Ukuran mudah tentang keikhlasan dan kesungguhan mentalnya untuk mewarisi ilmu tersebut sudah nampak sejak mula lagi di sini. Belum pun bermula proses pendidikan yang sebenar.

Teknik fizikal pula dapat mengukur di mana kemahiran sebenar atau kelebihan diri pesilat. Kebiasaannya seni silat Melayu tidak seperti beladiri asing yang sering cuba melampaui kemampuan tabii' diri.

Terdapat pelbagai aliran atau kaedah dalam seni silat Melayu yang sesuai untuk pelbagai ragam atau kemampuan individu dari aspek jantina, kurang upaya, sakit dan sebagainya. Di sini jelas betapa besarnya hikmah kepelbagaian dalam aliran silat Melayu.

Dengan bimbingan guru yang berwibawa, proses pendidikan ini sudah tentu dapat membentuk sikap yang positif. Dalam masa yang sama, kewujudannya dibimbing jelas oleh seorang guru, guru yang berwibawa.

Lain pula halnya jika guru sendiri sekadar mengajar tentang kehebatan dan dirinya sendiri asyik dengan kehebatan, malang sekali jika berlaku begini. Bimbingan guru berwibawa akan menghasilkan pesilat atau murid yang mungkin akan lebih berwibawa. Diri juga akan terus terbimbing dengan ilmu yang ada biarpun setelah lama tamat belajar.

Dalam hal mengenal diri ini, kita tidak boleh pula menokok tambah dengan ilmu rekaan nafsu sendiri yang kononnya berbentuk kesufian. Ilmu sufi memang wujud dalam pendidikan Islam. Memadailah kita mempelajarinya dengan tertib yang sedia ada yang telah dibentangkan oleh para ulama'. Kaedah ini jelas datangnya dari Nabi (SAW).

Jika diperhatikan kaedah-kaedah hebat dalam seni silat Melayu dapat membina kewibawaan diri, asalkan proses penyampaian pendidikannya ditapis dengan adab-adab Islam. Sekali lagi, Islam merupakan teras utama dalam membina individu dan masyarakat.

Akhir kata, letakkanlah Islam di hadapan dalam semua perkara dan jagalah tertib yang telah digariskan dalam ajaran Islam. Dalam apa jua keadaan jangan putus ilmu, jangan putus amal dan jangan putus guru.

Monday, June 7, 2010

Beyond Physical

Let all realize that Silat is not only about the physical of self. It is far beyond that. Let current generation see that Silat has so many other hidden aspects that are so important. Show to everyone the importance of it in not only in knowledge spread but in actions, not demonstration of strength or mystical ability.

Although it is hidden and beyond physical but it can be translate into obvious form of attitude. Silat is not only about kicking and punching. This is very important for everyone to understand in Silat.

If we realize on how to embrace simplicity and humility in life I am sure that we will find a proper way to attract them to what is so called the “unknown”. Yes, it is a complex knowledge and requires a lot of time to learn. That is why it is an exceptional knowledge.

To attract people to this knowledge, first let them know and love the real Silat Melayu, especially the Malay Muslim and Muslim people in general. Sadly those two groups of people have more skeptics towards Silat, especially because of the “kebatinan”.

Than let them know what the real “kebatinan” is. Don’t let them see “kebatinan” as only about special or mystical ability like comic superheroes, lightning coming out from the hand and strike enemy from far. Or do all Silat masters also see “kebatinan” that way?

There are many form of “kebatinan” in Silat alone. Sharpen mind, quick thinking and many other than kicking and striking ability from learning Silat is also a form of “kebatinan”. Anyone realize that? Even good behavior, high discipline and healthy body from practicing Silat also can be categorized as “kebatinan” from Silat. Isn’t Silat is for helping in physical, mental and spiritual elevation?

Silat is knowledge of utilizing mind over matter. Learning the skill to use mental power that is translated into many forms against physical strength, exploring the power of knowledge and seeking the wonder of wisdom, that is Silat.

When proper skill and understanding attained, we can utilize the teaching and philosophy of Silat as whole in our day to day life. Even the physical techniques can be utilizes in daily life. Isn’t that a special ability?

As Muslim we must not forget that Islam will always be the core of life. Islam will be the ultimate tool in elevating oneself physically, mentally and spiritually. We are blessed with so many other knowledge that can help and attract towards complete self elevation.

Tuesday, June 1, 2010

Persediaan

Sebagai seorang pengamal perubatan yang beragama Islam maka iman dan taqwa sudah semestinya wajib ada pada setiap masa dan keadaan. Ianya diterjemahkan dalam bentuk kehambaan zahir dan batin kepada Allah (swt). Syari’at atau feqah itu merupakan pancaran kehambaan diri. Dalam mengamalkan perubatan moden, seorang doktor wajib memastikan dirinya dilindungi sewaktu mengubati pesakit. Islam pula memastikan setiap diri wajib dilindungi dalam apa keadaan sekalipun lebih-lebih lagi sebagai perawat. Dilindungi dari segala bahaya yang nyata seperti kecederaan, kecuaian, salahlaku dan sebagainya; dan yang tidak nampak secara mata kasar seperti kuman, virus, iblis, nafsu, syaitan, fitnah dan sebagainya.

Kebersihan, keselamatan dan kelengkapan secukupnya bagi semua perkara adalah penting bagi memastikan semuanya bersesuaian dengan perintah dan kehendakNya. Perawat wajib mempunyai ilmu yang sepatutnya dalam melaksanakan bidang perubatan yang diamalkan. Rohani dan jasmani mestilah terbimbing dengan bimbingan keIslaman dari sumber yang tepat. Hakikatnya ilmu perubatan walau apa jenisnya sekali pun merupakan suatu ilmu yang diperintahkan oleh Allah (swt) agar mempelajari dan menguasainya iaitu fardhu kifayah. Apabila pengamal sesuatu ilmu tidak terpimpin oleh kehambaan sebenar maka akan berlaku kerosakan dan kebinasaan.

Ahli keluarga perawat juga mestilah memahami tanggungjawab mereka terutamanya keluarga terdekat. Mereka juga mestilah terbimbing serta mempunyai persediaan zahir dan batin bagi mengelakkan fitnah dan bahaya yang mungkin datang dari tanggungjawab salah seorang ahli keluarga mereka yang menjadi seorang perawat. Perawat dan keluarga mestilah menjaga aspek akhlak, keimanan dan mempunyai kekuatan yang bersumberkan dari ajaran Islam sebenar. Semuanya ini juga mesti ada pada diri pesakit yang hendak dirawat dan ahli keluarga terdekat pesakit.

Bagi pesakit dan keluarga mereka perlulah ada kefahaman tentang apa yang mesti dilakukan bagi membantu proses penyembuhan. Mereka mesti ikhlas dan rela dalam melaksanakan tugas dan bahagian masing-masing dalam menjayakan usaha tersebut. Ini semua hanya dapat diperolehi secara tepat melalui ajaran Al-Quran dan Sunnah. Disamping mendapatkan bimbingan menyeluruh dan tarbiyyah ruhiyyah dari sumber yang tepat, perawat juga sebaik-baiknya perlu ada keupayaan sekadar yang termampu untuk membimbing pesakit dan keluarganya. Terutama sekali dalam menghadapi situasi berkaitan penyakit yang dideritai.

Kesemua amalan wajib dan sunat, dari yang paling besar hinggalah yang paling kecil, menjadi pendinding dari pelbagai perkara yang tidak baik, sama ada perkara nyata atau pun yang ghaib, kecil atau besar. Al-Quran dan Sunnah telah lama menjelaskannya cuma orang Islam sendiri masih tidak mahu memahaminya melalui kaedah yang sepatutnya. Perbuatan berwudhu menghindari nafsu marah seperti diterangkan dalam hadis. Begitu juga penyakit fizikal. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar membasuh muka, kaki dan tangan sekurang-kurangnya 5 kali sehari bagi mencegah penyakit merbahaya.

Pakar gigi dari FDI (Fédération Dentaire Internationale) atau Pertubuhan Pergigian Sedunia menyarankan agar memberus gigi 2 kali sehari, Islam pula menggalakkan memberusnya setiap kali berwudhu. Nabi (saw) mengemari makanan yang mengandungi kandungan serat yang tinggi seperti roti, kurma dan juga manisan seperti madu. Susu kambing juga digemari Nabi (saw). Kajian saintifik kini menyedari kehebatan semua bahan tersebut serta bahan lain yang disebutkan dalam Quran dan hadis. Begitulah hebat perintah-perintah Allah (swt) yang dibawa oleh RasulNya Muhammad (saw).

Bayangkanlah dinding pertahanan rohani dan jasmani, fizikal dan mental, yang ada pada seseorang yang benar-benar menjaga amalan dari amalan yang paling besar hinggalah kepada amalan yang paling kecil. Hakikatnya pendinding yang paling ampuh ialah iman dan taqwa dari ilmu dan amalan kehambaan. Sebenarnya pendinding dalam Islam mempunyai erti, maksud dan fungsi yang amat luas.

Bagi mendapatkan kekuatan dan kemantapan jiwa serta menghindarkan diri daripada musibah yang menarik kepada kancah kekufuran, kesyirikan serta kejinan dan kezaliman, amalkan selawat dan istighfar sebanyak mungkin. Sekurang-kurangnya 20 kali setiap solah. Selawat yang disyorkan ialah Selaway Ummiyy manakala Istighfar yang disyorkan ialah amalan Nabi Yunus (as) yang disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad (saw) sebagai suatu zikir yang apabila berdoa dengannya akan diperkenan dan dimakbulkan Allah (swt).

Melazimilah dalam mengamalkan kedua-duanya hinggalah pada waktu-waktu yang selain dari selepas solah sekadar yang termampu. Sememangnya Allah menjanjikan kejayaan orang beriman itu adalah sejauh mana mereka dekat denganNya dan orang-orang yang banyak berzikir itu adalah orang-orang yang berjaya. Kedua-dua amalan ini penting bagi menghalang dari kalah dengan nafsu diri sendiri. Nafsu itu jugalah yang menjadi alat dan jambatan ampuh iblis serta kuncunya untuk menjahanamkan manusia.