Tuesday, May 4, 2010

Pengamal Perubatan Islam

Pada hakikat yang sebenar-benarnya perubatan Islam bukanlah hanya dengan doa dan ayat-ayat tertentu sahaja atau pun diamalkan dikalangan ustaz atau ‘ulama sahaja. Malahan segala amalan perubatan yang dibolehkan dalam Islam serta dipraktikkan oleh orang beriman dengan penuh taqwa maka mereka adalah juga pengamal perubatan Islam.

Seperti juga pengamal pemanduan Islam, tidak kiralah apa kenderaan sekali pun yang dinaiki asalkan seseorang itu menaikinya dengan penuh kehambaan. Tidaklah semestinya pemanduan Islam itu hanya dengan membaca doanya apabila menaiki kuda atau unta sahaja.

Seorang doktor pakar yang beriman serta taqwa kepada Allah dalam amalan hidupnya serta juga amalan perubatan (medical practice) yang dipelajarinya maka dia juga seorang pengamal perubatan Islam, asalkan segala adab sebagai pengamal perubatan dijaga sebagaimana yang ditetapkan Al-Quran dan Sunnah. Islam telah menggariskan kaedah yang jelas dan teratur dalam hal ini. Islam menerima segala apa yang baik, suci dan murni.

Namun begitu sesuatu perkara itu wajib diukur dengan penuh ketelitian dari kacamata Islam secara menyeluruh melalui bimbingan para ‘ulama solehin. Sememangnya kesembuhan yang utama itu adalah dengan Quran. Begitu juga dengan madu dan berbekam seperti yang dianjurkan Nabi (saw). Kesembuhan dengan Al-Quran itu terlalu amat luas skopnya dan ianya disebut sebagai kesembuhan dan rahmat serta petunjuk hanya bagi orang-orang yang beriman.

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ وَالَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ فِي آذَانِهِمْ وَقْرٌ وَهُوَ عَلَيْهِمْ عَمًى أُولَئِكَ يُنَادَوْنَ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ
“Katakanlah ia (Al-Quran) menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman (Al-Quran) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)." (Fussilat: 44)

Quran itu yang utamanya menjadi penyembuh penyakit roh, hati, jiwa, akal atau batin. Terutamanya menjadi penyembuh kegelapan dan kesesatan menuju keimanan. Ia juga menjadi penyembuh penyakit zahir atau fizikal sepertimana yang dikhabarkan dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dimana sahabat menggunakan Al-Fatihah sebagai penawar bisa sengatan binatang.

Malahan hadis itu dan hadis yang lain menerangkan juga kaedah yang digunakan. Hadis itu juga menjadi hujah membolehkan menerima ganjaran dari mengubati pesakit lebih-lebih lagi bagi perawat yang benar-benar memerlukan.

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلا خَسَارًا
“Dan Kami turunkan (berterusan dengan beransur-ansur) dari Al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang beriman; dan (sebaliknya) tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Isra’: 82)

Begitulah hebatnya Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad (saw) yang paling hebat. Ianya dipelihara oleh Allah (swt) akan kesucian dan kemurniaan. Tidak seperti Kitab-Kitab Allah yang sebelum ini yang tidak pula dijamin Allah Ta’ala akan keterpeliharaannya. Kiranya ada Kitab Allah yang boleh melakukan kehebatan yang amat besar maka ianya adalah Quran.

وَلَوْ أَنَّ قُرْآنًا سُيِّرَتْ بِهِ الْجِبَالُ أَوْ قُطِّعَتْ بِهِ الأرْضُ أَوْ كُلِّمَ بِهِ الْمَوْتَى بَلْ لِلَّهِ الأمْرُ جَمِيعًا
“Dan jika ada mana-mana Kitab suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al-Quran ialah Kitab suci yang mengandungi mukjizat (tetapi lahirnya segala sesuatu itu adalah menurut kehendak Allah) bahkan segala urusan tertentu bagi Allah.” (Ar-Ra’ad: 31)

Hadis Rasulullah (saw) banyak menyebut tentang kaedah dan khasiat kesembuhan yang ada pada sesuatu perkara atau makanan tertentu. Sistem kuarantin juga telah lama dianjurkan Nabi (saw) melalui wahyu dari Allah (swt). Sememangnya setiap perilaku walau sekecil manapun yang digerakkan oleh Kekasih Allah merupakan wahyu dariNya.

Begitu juga dengan khasiat buah tamar, susu, habbatus sauda, air zam-zam dan sebagainya. Malahan amalan Sunnah yang dianjurkan baginda semuanya demi untuk kesihatan jasad dan juga kesejahteraan roh, jasmani dan rohani.

Kesembuhan yang dianjurkan Nabi (saw) datangnya dari ilmu yang diwahyukan oleh Maha Pencipta yang mencipta segala-galanya. Ini menunjukkan bahawa ilmu kesembuhan itu adalah amat mendalam dan punca asal bagi penyakit tersebut diketahui baginda (saw).

Contohnya pengetahuan tentang kaedah merawat demam panas juga disebut dalam hadis riwayat Imam Bukhari. Hadis ini juga menyebut asal datangnya kepanasannya. Malah ada hadis mengingatkan tentang kewaspadaan terhadap keadaan yang terlampau panas atau sebaliknya serta asal-usulnya.

Al-Quran dan Sunnah juga menggariskan tentang perkara lain mengenai ilmu perubatan seperti kejadian bayi, perihal perut, penglihatan, otak dan sebagainya. Dari ilmu tentang perbidanan (gynecology), pemakanan (diet), kebersihan (hygiene), pergigian, pencegahan hinggalah kepada masalah tekanan mental dan jiwa (psychology) semuanya ada digariskan dalam Al-Quran dan Sunnah. Semua ini dapat dipelajari dan difahami melalui ilmu, kefahaman dan bimbingan para ‘ulama soleh. Panduan menggunakan ubat-ubatan juga dijelaskan dalam Islam.

Seorang yang mengamalkan perubatan yang bersesuaian dengan Islam sebenarnya mengamalkan salah satu Sunnah yang diamal dan amat digalakkan oleh Nabi (saw) sendiri. Baginda juga ada merawat pesakit, memberikan nasihat perubatan dan preskripsi ubat kepada para sahabat. Dalam pada itu baginda (saw) juga ada menasihatkan agar berjumpa pakar dalam hal perubatan tertentu.

Hakikat yang sebenr-benarnya segala apa jenis bidang perubatan sekali pun bukanlah sesuatu yang asing atau baru dalam Islam. Tidak kiralah ianya kesembuhan cara moden atau tradisional, timur atau barat. Selagimana ianya tidak bercanggah dengan perintah dan kehendak Allah (swt) maka ianya adalah dibolehkan.

No comments:

Post a Comment