Saturday, May 15, 2010

Beberapa Isu

Pelbagai isu lama dan baru yang timbul dari permasalahan mengenai perubatan dan kesihatan. Sama ada dalam bidang perubatan moden, alternatif dan juga tradisional. Bagi bidang perubatan moden, masalah tentang pendermaan organ, penggunaan ubat, pembedahan, teknik perubatan terkini dan sebagainya antara yang menjadi kekeliruan umum. Hakikatnya tidak semua yang kita nampak elok dan baik itu dibolehkan dalam Islam. Allah Ta’ala yang lebih Mengetahui apa yang baik dan apa yang buruk bagi segala apa yang diciptaNya. Dia yang Maha Pencipta lagi Maha Mengetahui.

Begitu juga tidak semua yang kita nampak tidak elok dan buruk itu tidak dibolehkan dalam Islam. Islam tidak mengukur sesuatu itu dengan secara ambil mudah. Banyak salah faham yang timbul dikalangan orang awam kerana mereka tiada ilmu dan kefahaman secukupnya tentang Islam dan juga tentang ilmu sains perubatan. Pakar perubatan dalam pelbagai bidang yang beriman wajiblah sentiasa merujuk kepada para ‘ulama yang soleh agar dapat dijelaskan dengan terang akan sesuatu isu yang timbul.

Dalam perubatan tradisional terutamanya perubatan Melayu, tidak kurang juga bertimbun isu lapuk terutamanya dan beberapa isu baru yang menimbulkan kekeliruan. Kekeliruan ini kerapkali membabitkan akidah yakni keimanan seseorang. Antaranya masih ada golongan ini yang semberono membolehkan penggunaan jin sebagai khadam atau dampingan mereka. Mereka juga menggunakan ayat suci Al-Quran, zikir dan doa-doa secara melulu dan menyalahi syari’at. Mereka membuat “fatwa” mereka sendiri bagi membolehkan apa yang dilarang dalam Islam.

Perkara beriman kepada yang ghaib menjadi seperti mainan kepada mereka. Tafsiran bagi perkara ghaib hanya mengikut andaian fikiran mereka. Padahal Islam telah dengan jelas menerangkan tentang segala bentuk perkara ghaib. Siapakah yang lebih arif tentang pekara ghaib selain dari Nabi Muhammad (saw)? Siapakah pula pewaris kepada baginda (saw) mengikut rantaian silsilah? Banyak sungguh amaran keras dari Quran dan Hadis tentang perbuatan golongan ini.

Apa yang mereka lakukan telah beribu tahun terpaksa dihadapi oleh para Nabi dan Rasul utusan Allah bagi menghancurkannya. Bagi sesetengah masyarakat umum serta golongan ini amalan mereka dibolehkan malah mereka berhujah dengan kejahilan mereka. Amalan berteraskan Islam diamalkan para ‘ulama dan awliya dianggap sesat dan tidak betul. Padahal mereka tiada hujah untuk menyesatkan para ‘ulama dan awliya tersebut. Padahal hujah kesesatan mereka terlalu jelas sekiranya mereka ingin melihatnya dengan akal yang beriman.

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُمْ مِنَ الإنْسِ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُمْ مِنَ الإنْسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
“Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (jin), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha mengetahui.” (Al-An’am: 128)

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الإنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” (Al-Jin: 6)

Golongan jin yang terdiri dari pelbagai jenis memang sentiasa menjadi ujian kepada manusia dan ada diantaranya sentiasa berusaha merosakkan manusia dengan pelbagai cara. Mereka bekerja secara amat tersusun. Dengan dipimpin iblis laktanullah mereka menyediakan pengkhususan bagi setiap golongan dalam melaksanakan kerja-kerja yang tertentu dengan hanya satu tujuan, merosakkan manusia. Mereka mampu menyelinap masuk hingga melalui pembuluh darah manusia disamping bisikan yang tidak didengari oleh telinga yang zahir.

Nabi (saw) dan ahli keluarga baginda sendiri pernah diganggu oleh jin dan terkena juga sihir dan gangguan lain yang seperti itu. Begitu juga dengan ramai para sahabat yang lain. Banyak hadis yang mengisahkan akan perkara ini antaranya:
إِنَّ عفريتًا من الجن تفلَّت الْبَارِحَةَ لِيَقْطَعَ عَليَّ صَلاتي
“Sesungguhnya ada satu ifrit dari golongan jin mencuba ke atasku malam tadi untuk menggoda agar sembahyangku putus.”

عن عائشة أن النبي صلعم سحر حتى كان يُخَيَّلُ إليه أنه صنع شيأ ولم يصْنعْهُ
“Dari ‘Aisyah sesungguhnya Nabi (saw) pernah disihir sehingga baginda menghayalkan mengerjakan sesuatu padahal baginda tidak melakukannya.”

Dalam hadis yang lain ada menggambarkan keadaan cucu Rasulullah (saw) dan juga para sahabat terkena gangguan. Hinggakan ada sahabat yang menemui ajal dek kerananya. Gangguan sebegini kerap terjadi walau pun mereka kita diketahui mempunyai keimanan dan ketaqwaan yang tiada tolok bandingnya. Masakan mereka tidak diuji kerana mereka orang-orang pilihan Allah (swt) dan hidup dan mati mereka hanya untukNya. Nabi (saw) mengajar terlalu banyak bacaan dan kaedah dalam menghadapi perkara-perkara seperti ini.

‘Ulama mengqiaskan kaedah baru yang lain yang diperlukan mengikut kesesuaian keadaan semasa berdasarkan keteguhan ilmu, amalan dan kefahaman Al-Quran dan Sunnah. ‘Ulama berbeza pendapat tentang hukum berubat namun Nabi (saw) sendiri menunjukkan bahawa menjaga kesihatan itu adalah suatu syari’at atau perintah Allah Ta’ala. Baginda berbekam apabila sakit kepala walau pun sedang ihram, menyapu dirinya dengan tiupan ayat-ayat suci Al-Quran apabila sakit, menyapu atau memukul untuk mengubati orang lain dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment