Friday, April 30, 2010

Beberapa Persoalan

Memang benar diantara amalan yang Nabi (SAW) amalkan untuk menyatakan kehambaan pada Allah (SWT) bagi memohon kesembuhan dariNya adalah dari Surah Al-Falaq dan An-Nas mengikut riwayat Bukhari dari Aisyah (RA). Namun tiada salahnya kita menambah dengan Surah Al-Kafirun dan Al-Ikhlas. Inilah apa yang diamalkan oleh para ulama muktabar terdahulu dan sekarang.

Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi keimanan serta panduan kehambaan. Namun Quran juga sebagai suatu ubat dan rahmat bagi orang-orang beriman. Ubat bagi pelbagai penyakit rohani dan jasmani, fizikal dan mental. Rahmat bagi pelbagai tujuan agar segala aspek dan keperluan hidup dan mati dilengkapi dan dicukupkan dengan rahmatNya serta redhaNya.

Ada banyak juga hadis mengatakan perkara yang sama. Ada banyak disebutkan dalam hadis-hadis Nabi (SAW) dimana para sahabat (RA) memanfaatkan ayat Quran sebagai ubat bagi pelbagai penyakit. Begitu juga dengan pelbagai hadis yang benyebut tentang kelebihan Quran, zikir dan doa sebagai persediaan bagi tujuan yang lain seperti untuk peperangan, melembutkan hati, pendinding dan sebagainya.

Disebutkan dalam pelbagai ayat Quran tentang ianya sebagai kesembuhan yakni ubat bagi penyakit rohani dan jasmani, fizikal dan mental. Disebutkan juga ianya sebagai rahmat bagi orang beriman dan sebagai suatu kerugian dan bencana bagi orang yang tidak beriman atau musuh Islam atau musuh Allah (SWT) dan Rasul (SAW).

Quran juga ada menyebutkan bahawa hati orang beriman itu akan tenang bila berzikir dalam apa jua bentuk yang bertepatan dengan syari’at. Doa juga merupakan zikir dan zikir ini merupakan amalan orang beriman. Kita boleh berzikir dan berdoa dalam pelbagai bahasa dan tidaklah menjadi kesalahan.

Cuma terdapat keutamaan dalam penggunaan bahasa Arab dalam pelbagai ibadah. Bahasa Arab juga ada disebut-sebut di dalam hadis Nabi (SAW). Quran itu sendiri didalam bahasa Arab.

Semua ilmu Islam wajiblah datangnya dari sanad yang sahih dari Nabi (SAW). Salasilah itu bukanlah semestinya dengan jalan pendekatan Tariqat atau yang sebegitu. Jangan kita menyempitkan fikiran kita dalam hal memastikan bahawa ilmu itu datangnya dari Nabi (SAW) dan dalam memastikan bahawa proses mempelajarinya menurut sunnah.

Antara yang menjadi masalah besar ialah apabila terdapat guru silat yang tak tahu atau tak mahir membaca Quran dengan betul dan menyampaikan ayat Quran secara salah dan menyalahi dari landasan Islam. Ayat itu lari dari ayat asalnya, maksudnya dan tujuan sebenarnya, hinggakan bunyi dan ejaannya juga telah berubah.

Bagi mereka ini, berzikir itu bukan untuk ingat Allah (SWT) atau bagi menyatakan kehambaan pada Allah (SWT) tapi untuk gagah, hebat dan macam-macam lagi yang merosakkan. Rosak kerana datangnya sifat ujub, riak dan takabbur yang boleh sampai tahap yang lebih dahsyat dan teruk dari iblis laknat.

Amalan puasa sepatutnya melahirkan taqwa tetapi ada guru silat jadikannya sebagai teknik untuk hebatkan ilmu. Amalan berkhalwat sepatutnya melahirkan kehambaan pada Allah (SWT) dan keinsafan yang tinggi tetapi dijadikan untuk dapat dampingan atau kehebatan.

Mandi sepatutnya melahirkan jasmani dan rohani yang bersih dari segala kotoran kerana mandi itu perintah Allah (SWT) dan hadis banyak menyebut tentang kepentingan mandi biasa (bukan sekadar mandi wajib) bagi membersihkan diri tetapi menjadi ritual untuk dapat kuasa yang hebat.

Semua ilmu Islam itu wajib datangnya dari sumber yang tepat dari Nabi (SAW) dengan cara yang telah ditetapkan oleh sunnah dalam mempelajari, mengamalkan dan memahaminya. Bila ianya datang dari seorang ‘alim atau orang yang sememangnya mempelajari Islam secara yang digariskan oleh sunnah maka bermakna ilmu itu diperolehi dengan cara yang betul dan salasilahnya dari segi ketulinan sumber dan tertib mempelajarinya adalah dari Nabi (SAW).

Dewasa ini kita boleh belajar Islam dari pelbagai sumber termasuklah internet, dari orang kafir sama ada yahudi dan sebagainya, dari buku-buku pelbagai bahasa yang adakalanya dikeluarkan oleh orang yang tidak sepatutnya, dari CD dan pelbagailah lagi sumber lain yang terdapat dewasa ini. Maka disini telah berlaku keraguan dalam ketulinan sumber dan ketertiban ilmu Islam tersebut.

Kita tidak mampu memahami Quran dan hadis dengan cara membacanya terus secara sendiri dari buku-buku terjemahan Quran dan hadis. Bila kita melakukan begitu maka kita akan perasan merasakan yang kita dah ‘alim dan tertipu pula kita dengan perasaan pandai dari nafsu dan hasutan iblis. Kerana sikap suka baca sendiri, belajar sendiri, faham dan amal sendiri ikut kefahaman sendiri maka lahirlah macam-macam cara yang dilabelkan Islam kononnya.

Percayalah bahawa tidak mampu kita nak memahami secara sendiri akan kalimah Allah (SWT) dan juga hadis Nabi (SAW). Kerana itu banyak ilmu yang diperlukan dalam memahami Quran (Ulumul Quran) dan begitu juga dalam memahami hadis (Ulumul Hadis).

Bagi para ulama tidak perlu pula mereka menyatakan atau menulis salasilah ilmu mereka kerana kelayakan mereka yang telah diketahui umum sudah memadai menunjukkan bahawa ilmu yang mereka sampaikan bersalasilah dan bersanad dari Nabi Muhammad (SAW).

Tidak menjadi salah pula jika mereka ingin memberikan maklumat salasilah atau lafaz sanad tersebut kepada murid. Malahan tradisi sunnah ini masih diamalkan lagi secara meluas di universiti luar Negara dan ada juga dilakukan dikalangan ‘alim ulama Malaysia yang menjadi pensyarah universiti tempatan.

Amalan zikir tambahan yang dibuat oleh para sahabat, tabi’in. tabi’it tabi’in dan ulama muktabar terdahulu serta diamalkan pula oleh ‘alim ulama sekarang memanglah boleh diamalkan. Terdapat banyak lagi doa dan zikir yang dibuat mereka mengikut keperluan semasa dan ianya tidak salah sema sekali asalkan bertepatan dengan syari’at.

Sudah semestinya golongan ini menjadikan Quran dan hadis sebagai satu-satunya panduan. Cuma kita mesti berhati-hati kerana terdapat ilmu dan kaedah yang jika tidak disertai ilmu dan bimbingan akan menghasilkan keraguan dan boleh membawa kepada perkara yang bertentangan dengan syari’at.

Sudah tentu mereka yang ahli agama atau ‘alim ulama mampu memberikan ilmu dan bimbingan yang tepat sekiranya ianya berkaitan dengan zikir dan sesuatu yang tidak dapat dilihat dan difahami oleh mata kasar. Ini kerana terdapat panduan yang jelas, tepat dan teratur tentang segala hal dalam Quran dan hadis yang menjadi kemahiran bagi para ulama.

Kita boleh berzikir dalam semua keadaan yang tidak bersalahan dengan syari’at. Malahan Allah (SWT) ada menyebut bahawa zikir itu dilakukan dalam semua keadaan bagi orang beriman. Semasa duduk, berdiri dan sebagainya dengan maksud ianya dilakukan dalam setiap keadaan yang bersesuaian dengan syar’ie.

Zikir itu ada dalam pelbagai bentuk seperti sebutan memuji Allah (SWT), doa, selawat, perbuatan seperti solah, puasa, sedekah, cara berpakaian dan pelbagai lagi. Hakikatnya perkataan zikir itu luas maksudnya. Secara asasnya ialah ianya merupakan suatu perkara yang membawa kepada mengingati dan mentaati Allah (SWT).

Jadi tidak salah kita melakukan pelbagai perkara bagi tujuan zikir asalkan bertepatan dengan Quran dan hadis. Jangan pula kita lupa dengan bimbingan ulama dan kita wajib memegang juga kepada ijma’ dan qiyas yang paling soleh dari ulama sebenar. Dengan ilmu, kefahaman dan rahmat yang Allah (SWT) kurniakan kepada mereka maka mereka memahami Islam dengan mendalam.

Mereka membimbing kita dengan ilmu, kefahaman dan pengalaman mereka dan wajiblah kita dibimbing oleh mereka. Terdapat pelbagai perkara baru yang berlaku pada zaman tertentu yang memerlukan bimbingan dari ilmu dan kefahaman para ulama.

Kerana itu terdapat banyak keperluan dalam memberikan suatu bentuk yang secara zahirnya dilihat sebagai perkara baru tetapi hakikatnya telah lama ada terkandung didalam Quran dan hadis Nabi (SAW). Seperti juga zikir dan doa yang dibuat oleh ulama muktabar bagi memenuhi suatu keperluan yang baru berlaku pada zaman tersebut.

Kerana keutamaan bahasa Arab dan kemahiran bahasa Arab mereka maka dibuatlah doa yang dikatakan baru bagi suatu hal yang baru berlaku itu dalam bahasa Arab. Ini tidaklah salah kerana kita boleh memohon kepada Allah (SWT) dalam bahasa kita dan begitu juga dalam bahasa bangsa lain seperti Cina, India, Inggeris dan sebagainya.

Kaedah dan tujuan amalan itu pula memanglah mesti dijaga. Memanglah kita mesti buat kerana Allah (SWT). Segala perkara dalam hidup dan mati kita sebenarnya mesti dibuat kerana Allah (SWT) atau mestilah ikhlas. Tetapi mampukah kita untuk ikhlas? Tahukah kita yang kita sedang berlaku ikhlas atau kita benar-benar buat kerana Allah (SWT)?

Ikhlas merupakan suatu perkara yang tersembunyi dan hanya Allah (SWT) sahaja tahu. Tanggungjawab kita adalah melaksanakan apa yang diperintahkan Allah (SWT) sebagaimana yang ditunjukkan dalam hadis Nabi (SAW). Allah (SWT) perintahkan meminta dan berdoa padaNya maka kita mintalah.

Allah (SWT) perintahkan agar zikir banyak-banyak dalam semua keadaan dan jika banyak zikir maka akan diberi Allah (SWT) kejayaan dan hati jadi tenang. Macam-macam perintah Allah (SWT) dari yang wajib sampailah kepada yang sunat. Ada juga yang dihukumkan harus tapi masih lagi dalam perintah Allah (SWT) untuk melakukannya kerana tiada larangan baginya.

Kita buatlah apa yang Allah (SWT) perintahkan sebanyak mungkin dan bila kita istiqamah maka datanglah ikhlas atau perasaan buat kerana Allah (SWT). Itu pun semuanya dengan rahmat Allah (SWT) semata-mata. Kita juga disuruh berzikir dan berdoa dalam keadaan senang dan susah, tenang dan terdesak. Itulah perintah Allah (SWT) yakni ingat dan doa padaNya dalam semua keadaan.

Tuesday, April 27, 2010

Pertubuhan Seni Silat Telapak Nusantara Malaysia

Pada kebiasaan adatnya, pesilat akan diajar gelanggang tahap pertama iaitu Perguruan Seni Silat Bongsu. Ini merupakan ibu dan sendi gerak, langkah dan silat bagi kesemua perguruan atau tahap gelanggang dalam pertubuhan. Seni Silat Bongsu bersifat ringkas, mudah dan padat namun mengandungi elemen diam, tapak, langkah, gerak, buah, bunga dan pencak yang menjadi tunggak dalam mencetus jiwa dan membina jatidiri pendekar.

Seni Silat Bongsu tidaklah untuk tontonan kerana kaedah dan langkahnya yang terlalu mudah dan ringkas. Namun begitu terdapat Bunga Bongsu atau Silat Pengantin di dalamnya yang amat digalakkan agar dipertontonkan kepada umum sebagai halwa mata bagi tujuan atau perayaan tertentu sebagai lambang silaturrahim. Para pesilat yang diterima belajar kini mereka bergelar "anak-anak Bongsu".

Dalam perguruan ini, setiap benih akan bertunas, setiap tunas akan berakar, keluar akar maka beranak, setiap anak akan bercambah, setiap cambah akan berpucuk, setiap pucuk akan berdaun, setiap daun akan berimbun, setiap rimbun tentu berdahan, bila berdahan maka berpohon, setiap pohon akan berbunga, setiap bunga akan berbuah dan setiap buah akan berbenih.

Kemudian daripada itu, luruh daun berganti pucuk, patah ranting menyorong dahan dan tumbang pokok bercambah tunas. Segalanya ini adalah resmi dalam memenuhi susunan kehambaan alam ketentuan Allah (SWT). Akhir sekali hak mutlak hanyalah padaNya.

Bersilat dalam perguruan ini adalah untuk memenuhi tuntutan syari’at yang diperintahkan Allah (SWT). Ilmu, kefahaman dan amalannya wajib secara muktamad memenuhi segala tuntutan perintahNya yang terkandung dalam fiqh atau syari’at rohani dan jasmani, iaitu suatu ilmu yang mengajar diri menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba, melalui asuhan para ‘ulama solehin.

Wednesday, April 21, 2010

Tertib Berguru

Dalam keasyikan dan keghairahan kita mencari ilmu dan menyempurnakannya, jangan sekali-kali kita lupa tertib dalam mencari, mempelajari dan mengamalkan ilmu tersebut. Setiap ilmu ada kaedah tertentu dalam mempelajarinya, biarlah ilmu akademik, persilatan, perubatan dan sebagainya sekalipun.

Maka, ilmu Islam lebih-lebih lagilah teliti dan terlalu wajib serta penting akan adab tertibnya. Untuk menyampaikannya biarpun hanya sepotong ayat, wajiblah dengan tertib sunnah yang telah ditetapkan Islam iaitu sunnah Nabi Muhammad (SAW).

Hadis Baginda (SAW) ada mengungkapkan: "Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat". Maksud yang paling umum dari mafhum itu tadi ialah kita mestilah menyampaikan ilmu biarpun sedikit. Tetapi, dalam masa yang sama adalah wajib bagi kita menjaga kemurnian sumber ilmu Islam tersebut. Bagaimana? Dengan memastikan kesahihan salasilah turutannya daripada Nabi Muhammad (SAW) dan mengikut cara baginda agar dapat memastikan kemurniannya.

Ini jelas dinyatakan dalam ungkapan “….daripadaku….” yang terdapat didalam maksud hadis tersebut. Dalam memastikan ini terjadi, ilmu itu wajib datangnya daripada turutan sanad yang betul agar dapat benar-benar dipastikan ianya daripada baginda (SAW). Turutannya sudah semestilah daripara pewaris nabi atau orang alim yakni betul-betul mahir serta faham dalam selok-belok Islam.

Sekarang ini, banyak didapati penyampaian ayat suci Al-Quran, doa-doa atau zikir-zikir tertentu yang tidak disampaikan oleh ahlinya dan menyebabkan sebutan, kaedah dan tertibnya tidak lagi dijaga hingga menyebabkan maksud, makna dan tujuannya lari daripada yang asal.

Ini boleh merosakkan akidah dan meluputkan iman; semoga Allah pelihara kita semua daripada bencana ini. Dalam kita mengejar ilmu dunia, kehebatannya dan kecantikannya, jangan sekali-kali kita lupa untuk mendampingi orang alim para pewaris nabi agar kita selamat daripada kegelapan dan kesesatan dunia dan akhirat. Ingatlah, kewibawaan itulah yang lebih berharga dan indah.

Biarlah ianya kewibawaan yang dijana dari amalan kehambaan Islam yang murni dan suci berdasarkan sunnah Baginda (SAW). Dalam kita mempelajari sesuatu ilmu, terutama ilmu yang amat menarik dan hebat seperti silat atau seni yang lain, faktor sejarah dan warisan penting. Ianya dapat mewarnai produk atau hasilan yakni anak murid yang bakal lahir daripada kefahaman terhadap pembelajaran silat tersebut.

Ilmu silat merupakan antara ilmu yang menarik, bukan sahaja kepada manusia malah buat golongan makhluk yang lain. Inilah antara sebab yang memerlukan sikap yang lebih halus dan berhati-hati dalam menimbanya. Kita sedia maklum mengenai teknik beladiri yang wujud dalam seni mempertahankan diri, khususnya Silat, dan kemampuannya membina jasmani yang seimbang.

Ramai yang tidak sedar tentang pengaruhnya terhadap perkembangan rohani. Hakikat sebenarnya keintiman atau perkaitan secara langsung dan terus antara jasmani dan rohani tidak dapat disangkal. Pendidikan dalam apa jua bentuk bakal menzahirkan perilaku tertentu dan akan berkisar kepada pengaruh yang diperolehi dari proses yang terhasil dari pendidikan tersebut.

Hadis ada menyatakan tentang peri pentingnya sejarah. Al-Quran juga banyak menyebut bahawa sejarah itu merupakan suatu petanda pengajaran bagi mereka yang berfikir dan bagi yang menggunakan akal. Rujuklah sejarah asas silat tersebut, walau pun ianya sekadar disampaikan dari mulut ke mulut. Perhatikan pendidikan yang wujud didalamnya, bukan sekadar pelajarannya sahaja. Yang paling utama dan paling penting, wajiblah merujuk kepada orang alim.

Disamping itu, pandanglah guru silat itu dengan pandangan Islam atau sekurang-kurangnya perhatikan akhlaknya, terhadap manusia dan Allah (SWT). Guru paling banyak akan memberi pengaruh terhadap murid yang diajar. Dalam pada itu ingatlah, ustaz tidak semestinya tahu tentang silat dan guru silat tidak semestinya mahir tentang Islam.

Jalinan erat semua pihak perlu dalam memastikan semua orang dapat memperbetulkan kepincangan yang ada. Wujudkan kerjasama dan bagi yang ingin belajar, dampingilah mereka yang benar-benar boleh mengajar, mendidik dan membimbing. Letakkan Islam itu di hadapan dalam setiap perkara, insyaAllah sejahtera.

Perlu ditekankan di sini bahawa Islam hanya boleh dipelajari dengan tertib sunnah dan ketetapan yang digariskan dalam agama Islam itu sendiri. Guru yang mengajar tentang Islam mestilah orang yang benar-benar alim tentang Islam dengan mengikut cara sunnah Nabi Muhammad (SAW). Ini mesti difahami dulu. Islam tidak mungkin dapat difahami dengan sekadar membaca buku, belajar atau bersilat, melalui CD atau internet dan cara-cara terlalu mudah yang lain.

Orang yang tepat untuk kita pelajari Islam semestinya dengan para pewaris nabi, iaitu orang alim yang soleh yang benar-benar faham akan Islam. Kita maklum bahawa kita perlu mencari pakar matematik untuk belajar matematik, pakar bahasa untuk belajar bahasa, pakar komputer untuk belajar komputer, pakar dari sekolah memandu untuk ambil lesen memandu dan pakar dalam bidang tertentu yang lain untuk mempelajari bidang tersebut.

Apatah lagi dengan Islam, ilmu yang amat suci, murni dan mencakupi kesemua aspek kehidupan. Bolehkah pakar matematik, guru besar silat, doktor pakar hospital, jurutera, pakar bedah, pensyarah kedoktoran dan sebagainya memahami dan mengajar tentang Islam. Kecualilah jika mereka memang ada mempelajari Islam dengan sebenar-benarnya sebelum ini.

Sekarang ini ramai yang mengaku alim, nampak wara’ tetapi hakikatnya jahil tentang Islam. Akibatnya, banyak berlaku kesesatan di kalangan masyarakat kita, yang sesat dikatanya betul, yang betul dikatanya sesat. Islam takkan rosak dek kedurjanaan mereka, tetapi masyarakat yang binasa! Cedok sikit-sikit dari sumber yang tiada tertib sudah mengaku ustaz, sudah mengaku alim dan boleh pula mengajar Islam kononnya.

Ada pula yang berani bersuara lantang tentang ilmu Islam yang langsung tidak dimengertinya malahan menghina dan mempertikaikan para ulama soleh yang menjadi pewaris para Nabi kekasih Allah Ta'ala. Jika ini berterusan, akan jahanam dan binasalah seluruh masyarakat. Nak belajar silat carilah guru silat, belajar memasak carilah chef tukang masak, belajar kedoktoran pergi universiti dan daftarlah di fakulti perubatan.

Takkan pula nak belajar Islam cari tok guru silat pula? Bolehkah guru silat membahas tentang bab taharah, bab solah, bab zakat, haji, tajwid, bab jenazah, bab akikah dan korban, tauhid, bab hadis dan tentang ilmu Islam yang lain serta bab-bab cabangan dari kesemuanya tadi. Kecuali guru silat itu memang orang yang betul-betul arif dan ada kelayakan untuk mengajar tentang Islam! Orang yang mengaji, yang belajar agama.

Tidak dapat kita hendak memahami Islam hanya melalui silat. Tiada matapelajaran agama Islam dalam silat. Islam telah ada terlalu banyak kaedah sunnah tersendiri untuk mempelajari dan memahaminya. Janganlah kita hina Islam dengan merendahkan dan mempermudah-mudahkan serta meremehkan status, sumber, kaedah, cara dan tertib ilmunya. Kelak diri sendiri akan ditimpa kehinaan dan bala bencana daripada Allah (SWT)!

Tiada yang lebih mulia dari Islam dan tiada yang lebih tinggi dari Islam! Patuhlah perintah Allah (SWT) dengan sepenuhnya dan mengikut sunnah Nabi Muhammad (SAW) dalam segenap aspek dan pada setiap saat dengan penuh kehambaan. Bukan mengikut adat atau cara bangsa tertentu atau silat dan sebagainya. Jangan ubahsuai Islam untuk dimasukkan kepada sesuatu tetapi masukkan segala sesuatu itu ke dalam Islam atau ubahsuailah sesuatu itu untuk diIslamkan dan Islamkanlah segala sesuatu itu sepenuhnya.

Thursday, April 15, 2010

Pantun Raja Senjata

Dimana Wajar Duduknya Keris
Menjadi Raja Segala Senjata
Molek Pusaka Ada Pewaris
Waris Biar Berilmu Di Dada

Menjadi Raja Segala Senjata
Tiada Takhta Tanpa Lantikan
Waris Biar Berilmu Di Dada
Itu Sebenar Kuasa Warisan

Tiada Takhta Tiada Lantikan
Namun Kerjan Tetap Dinobat
Itu Sebenar Kuasa Warisan
Ilmu Islam Penguasa Adat

Monday, April 12, 2010

Ikhtiar & Tuntutan Berubat

Nabi (saw) bersabda bahawa hanya penyakit tua dan mati sahaja yang tiada ubat atau penyembuh baginya. Terdapat banyak hadis-hadis yang menyatakan dan menggambarkan tuntutan mencari ubat dan kesembuhan. Nikmat kesihatan itu amat besar dan haruslah kita menjaganya dengan sebaik mungkin. Allah (swt) lebih menyukai orang beriman dan bertaqwa yang sihat. Hadis juga menganjurkan agar merebut kesihatan sebelum datangnya sakit.

Hadis jelas menyatakan hanya orang yang berilmu mengetahui tentang ubat-ubatnya dan orang jahil tidak mengetahuinya. Hadis menunjukkan Nabi (saw) mengutamakan agar berubat dengan mereka yang lebih pakar. Nabi (saw) memberi amaran kepada mereka yang mengubat tetapi tiada ilmu perubatan yang sepatutnya. Sememangnya Nabi (saw) mengingatkan kita bahawa sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka akan berlakulah kerosakan dan kebinasaan.

Nabi Muhammad (saw) sendiri ada mengubati diri baginda sendiri dan diri para sahabat serta keluarga dengan pelbagai doa, zikir dan ayat suci Al-Quran. Pelbagai teknik digunakan baginda seperti yang dinyatakan dalam beberapa hadis riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Ahmad dan yang lainnya. Para sahabat sendiri juga ada melakukan seperti sedemikian. Dari panduan Quran dan Sunnah maka para ‘ulama soleh telah mengqiaskan beberapa kaedah perubatan yang bersesuaian dengan penyakit namun kukuh berteraskan Islam.

Perubatan moden, tradisional Melayu, homeopati, Cina, India, Arab atau apa sekali pun asalkan bersesuaian dengan Quran dan Sunnah maka dibolehkan dalam Islam. Skop perubatan Islam itu hakikatnya amatlah luas. Dari penggunaan ayat suci Al-Quran, zikir, selawat, doa, tumbuh-tumbuhan, binatang, air hinggalah kepada perubatan moden kesemuanya dibolehkan malah menjadi fardhu kifayah bagi orang Islam untuk menguasainya.

Apa yang wajib ianya berteraskan Quran dan Sunnah serta ijma’ dan qiyas para ‘ulama soleh yang dapat memastikan segala kaedah perubatan itu dibolehkan dalam Islam. Jangan keterlaluan dalam sesuatu hingga seolah-olah ingin mengatasi ketetapan dan ketentuan Ilahi, نعوذ بالله من ذالك. Ikhtiar dan usaha janganlah sehingga menyalahi dan melampaui batas ketetapan syari’at atau perintah Allah (swt). Ingatlah bahawa usaha berubat itu merupakan juga suatu perintah syari’at dariNya.

Bagi seorang Islam, penyakit itu memberikan pelbagai ganjaran sekiranya ia dihadapi dengan adab yang diajar oleh Islam. Usaha menyembuhkan juga diberi ganjaran olehNya sekiranya bersesuaian dengan Quran dan Sunnah, ganjaran bagi mereka yang berubat, mengubat hinggalah kepada yang datang berziarah dan membantu dari segi emosi dan kebendaan. Sekiranya sesuatu itu dilaksanakan bertentangan dengan Quran dan Sunnah serta ijma’ dan qiyas para ‘ulama soleh maka akan datang kemurkaan Allah (swt) dan balasan siksanya di dunia ini dan lebih azab lagi di akhirat kelak, نعوذ بالله من ذالك.

Tubuh manusia adalah milik Allah (swt). Manusia dibangkitkan semula sepertimana dalam keadaan asalnya. Berhati-hatilah dalam memperlakukan sesuatu kepada jasad milikNya ini terutamanya bagi jasad yang telah tidak bernyawa lagi. Dewasa ini banyak perkara yang melanggar perintah Allah (swt) dilakukan dalam bidang perubatan moden dan juga perubatan tradisional atau perubatan alternatif yang lain. Seolah-olah segala-galanya dibolehkan tanpa merujuk kepada ketetapan Islam melalui para ‘ulama solehin.

Wednesday, April 7, 2010

Ujian Penyakit

Al-Quran banyak menyatakan tentang pelbagai ujian yang ditimpakan kepada para kekasih Allah. Mereka diuji dengan pelbagai ujian dalam bentuk penyakit, gangguan, sihir, fitnah, penganiayaan, peperangan, kematian dan bermacam-macam lagi. Nabi Ya’qub (as) diuji dengan kehilangan seorang anak yang amat dikasihinya. Nabi Nuh (as) diuji dengan kekafiran keluarganya sendiri. Nabi Yusuf (as) diuji dengan penganiayaan yang dilakukan saudaranya sendiri. Malah kesemua Nabi diuji dengan keengkaran dan kebiadaban kaum mereka sendiri. Ujian yang mereka lalui tidak tercapai oleh keupayaan jasad dan akal kita.

Begitu juga para kekasih Allah (swt) yang lain. Para sahabat (ra.hum), tabi’in, tabi’it tabi’in, para awliya dan para ‘ulama soleh semuanya diuji dengan pelbagai ujian bagi membuktikan kecintaan sebenar mereka kepada Allah. Seperti kehidupan dunia yang memerlukan pelbagai ujian dalam mengukur ilmu, kepakaran dan kesungguhan seseorang dalam sesuatu perkara begitu jugalah fungsi ujian-ujian yang ditimpakan kepada mereka yang dikasihi Allah agar dapat diukur dan ditingkatkan lagi darjat atau maqam mereka.

Nabi (saw) bersabda dalam beberapa buah hadis yang berbunyi:
ما من مصيبةٍ تُصيبُ المسلم إلا كفّر اللهُ بها عنه حتى الشَوكَةِ يُشَاكُها
“Tiadalah daripada musibah yang ditimpakan atas orang Islam melainkan diampuni (kaffarah) Allah dengannya baginya walau terkena duri sekalipun.”

إن الله إذا أحب عبدا اِبتلاه
“Sesungguhnya apabila Allah mengasihi seseorang hamba nescaya Dia mengujinya.”

ما من مسلم يصيبُهُ أَذًى من مرضٍ فَمَا سِوَاهُ إلا حَطَّ له سيئاته كما تحُطُّ الشّجرةُ وَرَقَها
“Tiadalah dari setiap orang Islam yang ditimpa musibah bagi dari penyakit atau musibah yang selainnnya melainkan berguguranlah baginya akan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu menggugurkan daunnya.”

Guru dan Syeikh saya berkata bahawa dalam bala itu ada nikmat dan dalam nikmat itu ada bala maka kerana itulah para kekasih Allah (swt) sering diuji. Manakala dikatakannya juga kategori bala itu ada 4 jenis iaitu:

سراج للعارفين
“Penerang bagi orang-orang ‘arif (para kekasih Allah)”
Mereka yang benar-benar beriman dan bertaqwa akan lebih dekat kepada Allah serta beroleh maqam dan pahala yang besar disisiNya. Terujilah kini bahawa takut, taat dan cinta mereka itu tulin, kukuh dan suci serta amat mendalam mutlak hanya kepada yang Maha Esa.

يقظة للمريدين
“Penyedar bagi para pengikut kekasih Allah”
Orang-orang yang dipimpin dan terpimpin oleh para kekasih Allah (swt) dikalangan awliya dan ‘ulama soleh akan lebih menyedari tentang dosa dan kesalahan sehingga yang paling kecil. Mereka menjadi lebih taat dan takut serta harap hanya kepada Allah (swt).

إصلاح للمؤمنين
“Membaikkan bagi orang-orang beriman”
Bagi mereka yang beriman maka akan lebih baiklah segala perilaku zahir dan batin mereka. Lebih gigih dan giat usaha mereka membaiki diri. Bala yang ditimpakan keatas mereka memberikan lebih kesungguhan dalam meningkatkan keyakinan dan ketaatan kepadaNya.

هلك للغافلين
“Pembinasa bagi orang-orang yang lalai”
Golongan lalai dan sentiasa melanggar perintah Allah, mereka terus rosak dan hanyut serta lebih engkar kepada Allah Ta’ala. Segalanya menjadi sempit, setiap inci kehidupan. Terbukti betapa rapuh dan hancurnya keimanan mereka. Sewaktu baik dan sihat mereka melakukan kerosakan malah kerosakan jugalah yang mereka cari untuk menghadapi bala yang menimpa. Semoga Allah melindungi kita dari menjadi golongan yang sebegini.نعوذ بالله من ذالك

Surah Sod ada menceritakan tentang Nabi Ayub (as) yang diuji dengan penyakit yang amat dahsyat. Nabi Muhammad (saw) sendiri diuji dengan penyakit, sihir, racun dan bermacam-macam lagi. Kesabaran dan keteguhan para kekasih Allah inilah yang wajib menjadi tauladan dan ikutan. Mereka menghadapi segala-galanya dengan penuh kehambaan kepada Allah (swt). Itulah hakikat dan tujuan sebenar manusia dihidupkan. Diperintahkan menghadapi segala-galanya sebagai seorang hamba Allah Ta’ala yang sebenar-benar hamba. Hidup dengan mengamalkan kehambaan kepadaNya dalam segala keadaan pada semua perkara.

Menyentuh mengenai penyakit maka beberapa hadis riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim dan yang lain ada menyebut secara jelas tentangnya. Antaranya:
ما أنزل الله داءً إلا أنزل له شفاءً
“Tiada diturunkan Allah akan penyakit melainkan diturunkanNya baginya akan penyembuhnya.”

إن لكل داء دواء فإذ أصبَ داءٌ الدَّاءَ بَرِءَ بإذن عز وجل
“Sesungguhnya bagi setiap penyakit ada ubat. Maka apabila ubat itu sesuai (serasi) dengan penyakitnya ia akan sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.”

تدَاوَوا فإن الذي خلق الداءَ خلق الدواء
“Berubatlah kerana sesunguhnya Dia (Allah) telah menciptakan penyakit (dan) Dia (Allah) telah menciptakan ubatnya.”

Apa yang wajib ialah sifat sabar dan redha terhadap apa yang telah ditimpakan ke atas diri serta berusaha untuk kesembuhan dengan penuh kehambaan kepadaNya. Usaha itu walau dalam apa bentuk sekali pun, wajiblah ianya bersesuaian dengan perintah dan kehendakNya. Penyakit itu datangnya dari Allah (swt) dan kembali juga kepadaNya. Malah segala-galanya itu datang dariNya dan kembali kepadaNya jua. Semoga kita diberikan nikmat dan rahmat keredhaan dariNya.

Thursday, April 1, 2010

Pantun Keinsafan Pendekar

Apalah ada pada manusia
Perkasa pula apa ukuran?
Dengan agama masyhurnya bangsa
Dengan taqwa gemilanglah zaman

Cekalnya hati dengannya iman
Berani itu natijah taqwa
Gagah dan bijak bukan mainan
Ilmu dan amal sebagai sangga

Bila mencari ikhlaskan diri
Nescaya temu Mursyid Murobbi
Selagi hebat terus dicari
Kan terus buta hati nurani

Usah tenggelam dengan memori
Hingga dusta menjadi lagenda
Peluklah seri sirah Nabawi
Ilmu sebenar situ duduknya

Cari wibawa insan pilihan
Kekasih Allah dan pewarisnya
Ilmu mereka dari Al-Quran
Ilham pula petunjuk dariNya

Kaca dan intan ada sinarnya
Satu silau satu gemerlapan
Si fasiq binasa kerjaannya
Nyahkan mereka terus lupakan

Gerak budaya mampu membela
Biarlah yang haq sebagai inti
Tidak berbeza sesama kita
Cuma taqwa disisi Ilahi

Merintih merayu sukma semua
Berlapang dada sedarlah lena
Bangsa bersatu dengan agama
Silaturrahim iman puncanya

Selisih maka cari damainya
Inginkah kita semuanya punah?
Islam itu luas seluasnya
Berpegang utuh Quran dan Sunnah

Ilmu bimbingan dan kefahaman
Para ‘ulama jadi pakaian
Barulah tepat hala tujuan
Tidaklah diri tidak keruan

Berpesan kita sesama insan
Agar tiada dalam kerugian
Begitulah ingatan dari Quran
Usah diturut jalanan syaitan

Jika berseteru dimana iman?
Tidak gentarkah akan jahannam?
Cerminnya iman persaudaraan
Wajibnya maktub didalam Islam