Sunday, February 21, 2010

Saf Solah

Suatu perkongsian bagi para pencinta Islam dan keamanan. Ketahuilah bahawa saf solah itu sumber perpaduan sebenar dan ikatan silaturrahim yang utuh. Saf solah menjadi rahmat yang besar dan memberikan kekuatan serta memperkasakan ummah. Bagaimana akan dapat wujud perpaduan selagi umat Islam tidak dipadukan dengan amalan menyempurnakan saf solah.

Saf solah menjadi benteng mencegah perpecahan dan menjadi pembina ukhuwwah. Wahai saudara dan saudari yang dikasihi sekalian. Saf solah adalah kunci bagi perpaduan sebenar. Perpaduan yang dianjurkan Islam:
عن النعمان بن بشير يقول قال النبي صلى الله عليه وسلم لتسون صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجوهكم
“Dari Nu’man bin Basyir (ra) mengatakan bahawa Nabi (saw) telah bersabda; Luruskan saf kamu atau Allah akan mempertikaikan arahmu, kamu berpecah-belah nanti.” (Riwayat Bukhari)

عن أنس قال اقيمت الصلاة فأقبل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم بوجهه فقال أقيموا صفوفكم وتراصوا فإني أراكم من وراء ظهري
“Dari Anas (ra) telah berkata bahawa pada suatu kali qamat telah dibacakan kepada kami, Rasulullah (saw) menghadapkan mukanya kepada kami lalu beliau telah bersabda; Luruskan dan rapatkan saf kamu! Sesungguhnya aku dapat melihat kamu di belakangku.” (Riwayat Bukhari)

Luruskanlah belakang tumit kita diantara satu dengan yang lain serta rapatkan bahu dan kaki. Sempurnakanlah saf kerana ianya menjadi sebahagian dari kesempurnaan solah. Luruskan saf dan rapatkanlah bahu. Dari Abu Hurairah (ra), Nabi (saw) telah bersabda:
وأقيموا الصف في الصلاة فإن إقامة الصف من حسن الصلاة
“Dan luruskan saf dalam solah, sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solah.” (Riwayat Bukhari)

Saf solah menjadi penyambung rahmat Allah Ta'ala. Apakah yang kita tidak mahu dan tidak perlu kepada rahmatNya? Hancurlah segala-galanya sekiranya tanpa rahmat dariNya!
عن عبد الله بن عمر قال أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال أقيموا الصفوف وحادوا بين المناكب وسدوا الخلل ولينوا بأيدي إخوانكم لم يقل عيسى بأيدي إخوانكم ولا تذروا فرجات للشيطان ومن وصل صفا وصله الله ومن قطع صفا قطعه الله
“Dari Adullah bin ‘Umar (ra) katanya, sesungguhnya Rasulullah (saw) telah bersabda; Sempurnakanlah saf-saf kamu dan rapatkanlah bahu-bahu dan tutuplah celah-celah (sebelah kanan dan kiri antara kamu) dan berlemah-lembutlah dengan tangan kamu (sewaktu membetulkan saf) terhadap saudara kamu. Jangan biarkan ada celah (ruang) untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf maka Allah menyambungkan hubungan (rahmat) baginya dan sesiapa yang memutuskan saf maka Allah memutuskan hubungan (rahmat) baginya.” (Riwayat Abu Daud)

Janganlah kita mengunjungi masjid rumah Allah itu untuk mencari keselesaan tetapi redha, rahmat dan jalinan ukhuwwah yang wajib kita idamkan. Berjemaahlah dengan penuh kehambaan kepadaNya serta dengan penuh kerendahan hati dan diri. Luruskanlah saf dan rapatkanlah bahu wahai saudara dan saudariku yang dikasihi sekalian.

Perbetulkanlah saf solah kita agar hati kita disatukan Allah (swt) dalam kesatuan yang diredhaiNya.
عن أنس عن النبي صلى الله عليه وسلم قال أقيموا صفوفكم فإني أراكم من وراء ظهري وكان أحدنا يلزق منكبه بمنكب صاحبه وقدمه بقدمه
“Dari Anas (ra) dari Nabi (saw) sabdanya; Sempurnakan saf! Aku dapat melihat kamu di belakangku. Dan pada ketika itu setiap dari antara kami saling merapatkan bahu dengan bahu dan tumit dengan tumit sesama kami dengan yang lain yang berada disebelahnya.” (Riwayat Bukhari)

No comments:

Post a Comment