Wednesday, February 24, 2010

Kertas Cadangan

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين على كل حال و في كل حال. أللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله و أصحابه و أتباعه إلى يوم الدين و بارك و سلم
أما بعد

Kertas cadangan yang ringkas ini akan cuba memberi pandangan dan saranan dalam usaha menghidupkan sebuah pusat bimbingan dan pemulihan Islam bagi melahirkan dan memantapkan kehambaan. Kehambaan merupakan suatu kesedaran asas yang wajib ada dalam diri setiap manusia bagi menjalani kehidupan sebagai seorang yang beriman kerana itulah satu-satunya tujuan manusia dijadikan.

PENGENALAN
Kehambaan sahaja yang dapat mengawal diri yang sentiasa diuliti oleh nafsu kehaiwanan yang sukar untuk dikawal. Nafsu yang memperdaya manusia dengan pelbagai bentuk yang jahat dan baik yang lahir dari sifat semulajadi jasad. Hanya kehambaan yang mampu mewujudkan kasih sayang sebenar terhadap diri sendiri, masyarakat dan yang lain.

Masalah iman dan akhlak muncul dengan berleluasa kerana tiadanya kehambaan malahan sentiasa disajikan dengan permainan dan kealpaan dunia. Masalah ini juga timbul apabila merasakan bahawa kehambaan itu sukar dan melecehkan. Ini tidak lain dan tidak bukan datangnya dari kejahilan terhadap Islam itu sendiri.

Semata-mata dengan rahmat Allah Ta’ala dan berkat dari ilmu, bimbingan dan kefahaman guru, berusahalah sihina, lemah, dhaif, jahil lagi banyak dosa ini menjadi khadam dalam membantu suatu ikhtiar merealisasikan kehambaan dalam masyarakat. Walau pun usaha ini terlampau kerdil dan terlalu kecil namun rahmat Allah (swt) sahaja yang diharapkan.

OBJEKTIF
Dengan izin dan rahmat Allah Ta’ala maka diharapkan usaha ini dapat memberikan sedikit sumbangan yang kerdil dalam:
• Berkongsi keseronokan dan kebahagian dengan merealisasikan kehambaan dalam kehidupan sebagai seorang yang beriman.
• Membimbing dan mendidik rohani dan jasmani secara hikmah dan tersusun dalam memahami kehambaan.
• Memberikan rasa santai dan tenang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah (swt).
• Berkongsi ilmu dan pengalaman dalam menyampaikan tarbiyyah kehambaan mengikut tahap kemampuan diri individu.
• Melahirkan suasana keluarga yang teguh dengan adab ukhuwwah Islamiyyah berasaskan taqwa yang sebenar.

KAEDAH
Tiada kaedah lain yang lebih sesuai melainkan dengan ilmu, kefahaman dan bimbingan para pewaris Nabi dikalangan ulama yang soleh. Kaedah itulah yang akan digarap sekadar termampu dalam melaksanakan objektif berkongsi kebahagiaan dalam kehambaan ini. Maka buku-buku atau kitab-kitab yang akan dijadikan rujukan adalah antaranya:
• Kifayatul Muhtadi (Tauhid & Feqah)
• Zadul Muta’allim (Tauhid, Feqah & Akhlak)
• Manhaj Fiqh Asy-Syafi’i (Feqah)
• Muftahul Jannah (Tauhid)
• Muftahul Murid (Tauhid)
• dan sebagainya.

Perkara Fardhu ‘Ain yang akan menjadi tunggak utama dalam pembelajaran. Asas Al-Quran dan Tajwid juga akan diketengahkan selepasnya secara santai dengan berperingkat-peringkat. Disusuli pula dengan perkara tambahan yang lain bagi menimbulkan suasana motivasi ilmu Islam yang pelbagai seperti alunan nasyid, zikir-zikir mudah dan selawat. Diikuti dengan asas bahasa Arab dan sebagainya mengikut keadaan dan kemampuan.

Penyampaian ilmu dan proses pendidikan diolah mengikut kesesuaian diri individu dan keadaan namun utuh didasari adab taqwa. Teknik penyampaian secara tradisi talaqqi dan amali seperti yang dianjurkan Nabi Muhammad (saw) menjadi asas sebagai amalan bersama bagi diri guru sendiri dan anak murid. Islam itu mudah namun tidaklah ianya boleh dipermudah-mudahkan. Mudahnya Islam itu dengan adanya ilmu dan kefahaman. Bimbingan secara memimpin tangan dan minda atau jasmani dan rohani adalah menjadi tiang seri utama dalam menonjolkan keindahan, kemudahan dan kehebatan Islam.

PENYAMPAIAN
Kaedah yang digariskan Nabi Muhammad (saw) merupakan kaedah yang paling tepat. Ianya dapat diperolehi melalui ilmu, bimbingan dan kefahaman para ulama soleh. Antara perkara yang akan ditekankan dalam penyampaian dan pengamalan ilmu antaranya ialah:
• Secara sistematik mengikut keutamaan kewajipan Fardhu ‘Ain
• Permulaan yang paling asas bagi memudahkan kefahaman dan amalan terutamanya bagi mereka yang baru mendapat kesedaran Islam
• Menampilkan kelebihan bagi sesuatu ilmu dan amalan sebagai motivasi
• Melahirkan keterbukaan minda dalam melihat kepada keluasan Islam namun tetap kukuh dan utuh didasari adab, taqwa dan tawadhu
• Mewujudkan suasana Islam yang santai dan hidup dengan memanfaatkan segala kaedah dan kemudahan yang ada
• Memahami dan mengikuti perbezaan dan keperluan diri bagi setiap individu.

Oleh kerana tiada kerja yang besar atau kecil dalam menegakkan Islam maka semua individu dari guru, keluarga, penghuni dan masyarakat wajiblah sedar bahawa Islam itu tertegak secara jama’i. Semua kerja yang membabitkan dakwah adalah terlalu besar. Ianya adalah cara hidup maka semua yang hidup hendaklah melaksanakannya bersama-sama. Segalanya ini perlu direalisasikan dengan kaedah secara kerjasama kasih sayang dalam kekeluargaan yang berasaskan taqwa. Itulah juga cara yang telah dianjurkan dalam Al-Quran melalui sunnah Nabi Muhammad (saw). Bukan secara antara guru dengan murid atau antara orang atasan dengan orang bawahan. Hanya taqwa yang membezakan manusia.

SISTEM TA’AWWUN
Kerjasama atau ta’awwun atas kebaikan dan taqwa merupakan perintah Allah Ta’ala. Maka begitulah caranya yang akan dilaksanakan dalam kaedah pemantapan iman. Bersama-sama berkerjasama sepenuhnya dalam mempelajari, mengamalkan dan memahami ilmu Islam yang dipelajari.

Jaringan kerjasama dan jalinan kasih sayang:
• antara guru dan murid
• antara keluarga dan murid
• antara murid dan murid
• antara masyarakat setempat dan murid.
Kerjasama dengan masyarakat setempat bakal diperolehi secara perlahan-lahan dan berperingkat-peringkat melalui penyertaan dalam aktiviti anjuran pihak masjid yang diadakan di masjid qariah terdekat. Segala aktiviti akan cuba diserasikan dengan perjalanan masjid. Rumah Allah merupakan sumber rahmat Ilahi kepada masyarakat Islam setempat. Maka kerana itulah sedapat mungkin hubungan dapat lebih dieratkan dengan masjid qariah melalui penyertaan aktiviti masjid.

Riadhah dan rehlah akan juga cuba dianjurkan melalui aktiviti yang bersesuaian dengan pembinaan iman dan taqwa. Malahan segala program akan didasari dengan sifat kerendahan diri dan hati yang lahir dari keimanan dan ketaqwaan. Biar pun ianya sekadar aktiviti urusan kekeluargaan harian seperti memasak, mengemas, membasuh atau ke pasar.

PERJALANAN KULIAH
Menjalani kehidupan sebenar merupakan aktiviti utama bagi keluarga di pusat ini. Kehidupan sebenar berteraskan “ruhama” (berkasih-sayang) yang didasari kehambaan. Kerana itulah semua aktiviti kehidupan akan didasari dengan ketaqwaan. Setiap gerak dan laku akan dijadikan iktibar dan diterapkan ilmu kehambaan pada semua. Namun begitu ada jadual kuliah rasmi yang yang dicadangkan akan bermula dan diadakan secara teratur.

Kuliah Fardhu ‘Ain secara online akan juga diadakan bagi golongan tertentu terutamanya bagi penghuni atau ahli yang telah keluar dari pusat ini setelah menyelesaikan tarbiyyah asas. Segala prasarana yang ada mestilah dimanfaatkan agar dakwah disebarkan. Kuliah ini dijayakan dengan menggunakan perisian komunikasi secara langsung menggunakan webcam melalui talian broadband. Bagi bekas penghuni atau peserta atau pelajar, mereka perlulah sentiasa terbimbing.

Kuliah-kuliah online dan offline dicadangkan akan diadakan juga dalam bahasa Inggeris. Ini bagi memudahkan bangsa bukan Melayu untuk mempelajari dan memahami Islam. Kuliah rasmi berjadual bagi bakal penghuni dicadangkan diadakan pada setiap kali selepas solah fardhu selama 1 jam atau lebih atau mungkin kurang. Dicadangkan agar diadakan beberapa kuliah umum bagi bukan penghuni mengikutinya. Kuliah ini akan diselaraskan dengan keperluan dan keadaan penghuni.

PERJALANAN AKTIVITI
Waktu-waktu lain akan diisikan dengan aktiviti menjalani kehidupan secara Islamik tetapi santai seperti makan bersama sambil menghubungkan hati dengan pengisian taqwa. Mengemas dan membersih secara yang diperintahkan Islam akan diajar secara amali bersama. Begitu juga dengan perkara lain. Namun ianya akan dipermudahkan secara syar’ie. Islam amat benci kepada kerumitan dan kelecehan dalam setiap aspek.

Waktu solah sunat seperti Dhuha akan dimanfaatkan sebagai latihan praktikal dan ulangan solah sebenar bagi individu. Kebiasaan ini dipupuk perlahan-lahan agar menjadi rutin diri. Solah sunat lain pada waktu yang berbeza akan menyusul sebagai ruang dan peluang memantapkan solah. Waktu-waktu ini akan menjadi kuliah santai dan tidak rasmi bagi penghuni namun amat besar manfaatnya.

Persediaan sebelum solah akan diwujudkan suasana menunggu waktu solah dengan cara yang mudah dan praktikal. Pilihan utama adalah bersolah di masjid qariah yang terdekat. Guru dan murid akan pergi secara bersama-sama. Jika terdapat keperluan syar’ie maka akan diadakan solah berjemaah di pusat bimbingan sahaja.

Aktiviti luar bulanan berjadual yang dicadangkan sekiranya bersesuaian dan berkeupayaan. Aktiviti ini akan mendapatkan kerjasama dari agensi dan institusi agama tradisional dan moden. Aktiviti riadhah yang bersesuaian dengan syar’ie juga akan diadakan dengan masyarakat dan penghuni pada waktu-waktu yang sesuai. Jadual khusus bagi aktiviti ini akan disusun. Akiviti riadhah amatlah penting bagi memantapkan fizikal dan mental.

Dicadangkan agar penghuni pusat bimbingan dibawa ke salah satu destinasi melancong yang terdekat sebagai aktiviti bulanan. Dicadangkan juga ke destinasi melebihi 2 marhalah bagi setiap 3 atau 6 bulan agar dapat diajar amali tentang kehambaan dalam musafir. Begitulah anjuran ikutan kita Nabi Muhammad (saw). Islam itu bukan sekadar teori ilmu semata-mata malahan merupakan perjalanan lengkap sebuah kehidupan bagi bakal jenazah.

TAMBAHAN
Penghuni akan juga diajar kemahiran tambahan sekiranya terdapat ruang dan peluang. Ruang dan peluang ini akan diusahakan dengan sebaiknya. Kemahiran memasak, komputer dan mempertahankan diri menjadi cadangan permulaan yang utama. Kemahiran ini tidak semestinya berfungsi sebagai kemahiran mencari rezeki malah sebagai tambahan ilmu dalam kehidupan. Ilmu merupakan warna ceria bagi sebuah kehidupan.

Terdapat permintaan dari ibubapa dan penjaga agar diadakan program khusus sewaktu sessi percutian penggal persekolahan yang panjang. Ada juga remaja dan belia sendiri yang memohon agar diberikan peluang menghadiri program yang bersesuaian. Kaedah dalam kertas cadangan ini boleh terus diadaptasikan kepada mereka dengan sedikit pindaan.

Usaha mewujudkan sanggaan mental dan jiwa merupakan antara faktor paling penting dalam pembangunan diri yang beriman. Pusat ini juga boleh berfungsi sebagai sebuah pusat didikan intensif bagi penghuni kompleks atau pusat yang lain yang berpotensi membantu dalam usaha perjalanan dan pentadbiran di pusat tersebut atau bagi penghuni pusat yang lain yang berstatus kritikal. Pusat ini boleh dimanfaatkan sebagai transit untuk mereka yang sebegini. Sebaiknya diberikan masa sekurang-kurangnya 20 hari bagi setiap individu sebegini.

Tempoh masa ini adalah yang paling minimum. Kemungkinan masa lebih panjang adalah lebih baik dan diperlukan. Ujian secara yang sesuai akan dilaksanakan bagi memastikan kemantapan diri. Hakikatnya setiap masa yang dilalui di sini akan menjadi penilaian bagi tahap pencapaian penghuni, dipantau secara beradab. Apa yang dilakukan ini merupakan suatu usaha bagi menyiapkan diri menjalani kehidupan. Malah ianya juga persiapan semasa dan selepas kematian.

Proses pemulihan rawatan pelbagai masalah dan penyakit yang menghalang usaha kehambaan akan juga diberikan tumpuan. Malahan segala apa yang boleh menghalang usaha dalam menjadi hamba Allah (swt) akan diusahakan bersama untuk mengatasinya. Sama ada halangan mental, spiritual, fizikal dan material. Segala sumber yang ada dan perlu ada akan bersama-sama diusahakan dengan pelbagai pihak bagi mengatasi perkara ini.

KESIMPULAN
Bagi mengatasi masalah iman, hanya cara Nabi Muhammad (saw) yang wajib dilaksanakan melalui ilmu, kefahaman dan bimbingan para ulama soleh. Kaedah sedia ada dalam Islam terlalu luas dan memadai. Dengan keberkatan guru maka dapat dinikmati kemudahan dan keluasan Islam. Jalan menuju Allah (swt) itu luas dan banyak. Jalan itu wajib benar-benar menepati Quran dan Sunnah.

Ilmu yang dapat menyuluh jalan yang sebenar dan dapat memudahkan cara namun tidaklah pula mempermudah-mudahkannya. Kejahilan adalah kegelapan manakala andaian pula hanya akan merosakkan urusan. Dunia hanya dapat diperolehi dengan ilmu, akhirat juga hanya dapat diperolehi dengan ilmu. Semata-mata dengan rahmat Allah Ta’ala sahaja dapat direalisasikan kehambaan padaNya.

Segala yang baik itu dari Allah (swt), dengan keberkatan kekasihNya Nabi Muhammad (saw) dan para awliyaNya. Segala yang buruk itu dari hati dan diri sihina lemah dhaif jahil lagi banyak dosa ini dalam berusaha memenuhi kehambaan padaNya.

No comments:

Post a Comment