Friday, February 5, 2010

Kami Dengar & Kami Taat

ءَامَنَ الرَّسُولُ بِمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ كُلٌّ ءَامَنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ. لاَ يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَآ إِن نَّسِينَآ أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَآ أَنتَ مَوْلاَنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan begitu juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan para malaikatNya dan kitab-kitabNya dan para rasulNya. (Mereka berkata); "Kami tidak membezakan antara seorang rasul dengan yang lain dari kalangan para rasulNya". Mereka berkata lagi; “Kami dengar dan kami taat, (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali". Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa); "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan Kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir (engkar).” (Al-Baqarah: 285-286)

Riwayat Imam Muslim dan beberapa perawi yang lain, dari Abu Hurairah (RA):
“Apabila telah turun ayat 284 dari Surah Al-Baqarah:
لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Segala yang di langit dan yang di bumi adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Terasa amat berat hal itu bagi para shahabat (RA). Lalu mereka datang bertemu Rasulullah (SAW) dengan keadaan yang menggambarkan betapa sukar bagi diri mereka akan tuntutan ayat tersebut. Kemudian mereka berkata; “Wahai Rasulullah, kami sudah dibebani amalan-amalan yang masih mampu kami lakukan seperti solah, puasa, jihad dan sedekah dan sekarang telah diturunkan padamu ayat ini padahal kami tidak sanggup melakukannya.”

Lalu Rasulullah (SAW) bersabda; “Apakah kamu semua ingin mengatakan sebagaimana yang dikatakan ahli kitab sebelum kamu; “Kami dengar namun kami durhaka?” (سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا) Tetapi katakanlah “Kami dengar dan patuh, wahai Tuhan, kami mohon ampunanMu dan kepadaMu tempat kembali”’ Tatkala mereka mengukuhkan keazaman dalam hal itu dan lisan mereka telah kelu, turunlah ayat 285 Surah Al-Baqarah. Oleh kerana keazaman dan ketaatan mereka melaksanakan hal tersebut, maka Allah menyenangkan hati mereka dengan menurunkan firmanNya dalam ayat 286 Surah Al-Baqarah sebagai menasakhkan keberatan ayat 284 Surah Al-Baqarah.”

Ayat-ayat tersebut menceritakan mengenai rasulNya dan orang-orang beriman. Mereka itu telah beriman kepada semua yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad (SAW). Mereka beriman kepada Allah, kitab-kitab dan para rasul Allah kesemuanya serta tidak membezakan antara para Rasul tersebut. Semua perintah Allah ditaati, diamalkan. Mereka dengar dan patuh serta memohon keampunan dari Allah atas dosa-dosa mereka. Mereka khusyu’ serta tunduk hanya kepada Allah di dalam memohon pertolongan dan menjalankan kewajiban ketaatan tersebut.

Di dalam sambungan bagi ayat tersebut Allah (SWT) memberitakan bahawa Dia tidak akan membebani hamba-hambaNya melainkan sesuai dengan kemampuan mereka. Setiap orang akan mendapat pahala kebaikan yang dilakukannya dan balasan dosa atas kejahatan yang dilakukannya. Allah Ta’ala mengampuni batas kelemahan mereka dalam perlaksanaan kewajipan mereka dan hal-hal yang mereka secara tidak sengaja terlanggar. RahmatNya terlalu besar dan luas. Mereka tidak dibebani atas kesalahan yang berlaku dari sebab mereka terlupa dan tidak sengaja.

Allah (SWT) amat memudahkan syari’atNya dan tidak membebani mereka dengan hal yang terlalu berat dan terlalu susah seperti yang telah dikenakan kepada kaum yang sebelum mereka. Mereka juga tidak dibebankan dengan sesuatu yang di luar batas kemampuan ilmu dan diri mereka. Dia juga telah mengampuni, merahmati dan menolong mereka atas orang-orang kafir. Ayat ini menyebut tentang sifat seorang yang benar-benar beriman, iaitu dengar, patuh dan taat secara mutlak hanya terhadap semua perintah dan larangan Allah.

Mereka beriman kepada semuanya yang diperintahkan mereka beriman dan tidak membezakan diantara para rasul utusan Allah Ta’ala. Rahmat Allah kepada hamba-hambaNya terlalu besar. Ayat-ayat berikutnya menunjukkan Islam itu tidak suka kepada keadaan yang menyusahkan malah sentiasa ingin memudahkan setiap orang Islam. Dalam hadis juga menyebut bahawa Islam itu mudah dan Nabi (SAW) juga memerintahkan agar mempermudahkan segala urusan dan jangan dipesulitkan.

Surah Al-Fatihah dan akhir ayat Surah Al-Baqarah merupakan yang disebut sebagai 2 cahaya istimewa yang hanya dianugerahkan kepada Nabi (SAW) dan sesiapa yang membacanya akan diberi ganjaran yang amat besar. Manakala lafaz yang membawa maksud “kami dengar dan kami taat” itu menunjukkan betapa ketaatan yang langsung tidak berbelah bahagi kepada semua perintah Allah dan laranganNya yang dibawa oleh Nabi (SAW) yang kemudiannya di sambung oleh para sahabat, para tabi’in, para tabi’it tabi’in dan seterusnya para pewaris Nabi iaitu sekalian para ulama yang soleh.

Sifat dengar dan taat dengan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang datangnya dari orang-orang agama yang sebenar serta soleh. Lafaz itu juga menunjukkan sifat kembali hanya kepada Allah secara mutlak. Al-Baqarah dimulai dengan menerangkan Quran tidak ada keraguan padanya dan juga menerangkan sikap manusia terhadapnya, ada yang beriman, ada yang kafir dan ada yang munafik.

Disebutkan juga hukum-hukum ibadah, pernikahan, jihad, perjanjian dan sebagainya. Ayat ini adalah sebagai ayat penutup surah Al-Baqarah yang menegaskan sifat Nabi Muhammad (SAW) dan para pengikutnya terhadap Al-Quran. Mereka meyakininya kesemuanya sebagai pegangan hidup untuk mencapai kebahagiaan sebenar. Ayat ini juga menegaskan kebesaran dan kebenaran Nabi Muhammad (SAW) dan orang-orang yang beriman dan menegaskan bahawa hukum-hukum yang tersebut itu adalah hukum-hukum yang jelas dan benar.

Kalimah ‘asoina itu mempunyai sumber yang sama dengan kalimah maksiat iaitu perlakuan dosa pelanggaran perintah Allah. ‘Asoina atau derhaka dalam hadis ini merupakan kata lawan bagi ato’na atau kami taat. Taat yang sebenarnya kepada Allah (SWT) tanpa mengira darjat, pangkat, usia, jawatan, bangsa dan sebagainya. Seseorang yang benar-benar Islam sudah semestinya wajib menjalankan apa jua amanah di dunia ini menurut ketetapan acuan Islam sahaja kerana disitulah hakikat kalimah “kami dengar dan kami taat” bagi ayat ini.

Ayat ini menetapkan bahawa Rasulullah dan orang yang beriman sentiasa meyakini Quran dan tiada ragu sedikit pun padanya kerana telah dinyataka secara jelas dalam ayat permulaan Al-Baqarah. Pada diri Rasulullah dan orang-orang beriman terpancar kesucian hati dan diri, ketinggian cita, ketahanan dan ketabahan menerima cabaran dalam menyampaikan agama Allah. Sikap dan watak mereka pada setiap saat dan dalam semua perkara dicetuskan oleh ajaran Al-Quran dan Sunnah.
يَاإِلهَنَا إِلَهًا وَاحِدًا لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَ أغْفِرْلَنَا إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَىءٍ قَدِيرٌ

No comments:

Post a Comment