Sunday, February 14, 2010

Adab & Adat “Serah Diri”

Setiap pesilat mestilah menyediakan beberapa perkara bagi menyatakan secara fizikal dan mental kesediaan secara rela menjadi anak murid perguruan. Ini menandakan individu tersebut ikhlas dan rela melaksanakan tuntutan fizikal dan mental diri sebagai anak murid perguruan. Ini juga menjadi suatu penghormatan buat guru yang akan juga menerima individu tersebut dengan perasaan kasih.

Kedua-dua pihak, guru dan anak murid wajib mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap satu sama lain. Begitu juga dikalangan sesama anak murid. Semua ini mesti juga diterjemahkan di luar lingkup perguruan. Apa yang paling penting segala apa adab dan adat wajib berdasarkan Islam dan mestilah dibimbing oleh kalangan ‘ulama soleh. Apa-apa yang tidak tercatit secara jelas di dalam Quran dan Hadis maka Ijma dan Qias ‘ulama yang soleh akan dipegang dan dilaksanakan. Kesemua pihak wajiblah faham dan amal akan pentingnya sifat rendah diri dan berlapang dada serta ikhlas.

Upacara “serah diri” ini diadakan sewaktu kali pertama pesilat datang untuk menghadiri gelanggang. Bagi persediaan individu, setiap pesilat akan mengadap guru apabila dipanggil dengan penuh kasih dan hormat bagi menyerahkan persediaan tersebut dan bersalaman dengan guru. Adabnya jika guru tersebut bukan seorang yang fasik (berkekalan melakukan dosa kecil) atau ‘asi (seorang pelaku maksiat) maka moleklah dengan ikhlas dicium tangan guru lebih-lebih lagi jika dia seorang ‘ulama. Menjadi hak guru sama ada ingin membenarkan atau tidak perlakuan tersebut.

Terdapat 3 perkara yang mesti disediakan oleh setiap individu. Adakalanya kesemuanya mesti disediakan dan adakalanya hanya sebahagian atau satu sahaja yang mesti disediakan oleh pesilat. Ini akan diukur dan dimaklumkan oleh guru sendiri berdasarkan lingkup pengetahuan dan kefahaman guru tersebut. Persediaan perkara bagi individu tersebut ialah:
(1) Limau Purut 3 biji:
Limau purut ini secara adatnya haruslah dikutip sendiri oleh pesilat di bawah pokok tersebut dalam keadaan berwudhu selepas solah Asar sebelum waktu senja. Limaunya mestilah dalam keadaan baik dan telah jatuh ke atas tanah.

Limau purut ini sebagai simbolik bagi tujuan membersihkan dan mewangikan diri. Ianya akan digunakan oleh guru bagi memandikan atau “langir” anak murid pada penghujung hari pertama pelajaran. Memberi erti guru akan mencurahkan ilmu dan membimbing anak murid kearah kebaikan rohani dan jasmani.

(2) Jarum 1 batang:
Jarum ini mestilah jarum jahit tangan sahaja. Ianya harus dibeli sebatang secara khusus untuk tujuan ini, tidak boleh dibeli dengan cara banyak dan mestilah juga diserahkan kepada guru cuma sebatang sahaja.

Jarum simbol usaha membuat pakaian bagi menutup aurat dan aib dan boleh manampal pakaian koyak. Sifatnya kecil dan ringkas tapi penting dan kukuh serta tiada sesiapa berniat hendak memusnahkan sebatang jarum malah semua akan dan ingin mendapat manfaat dari kegunaannya.

(3) Duit RM7:
Duit ini seboleh-bolehnya berbilang tujuh dan tidak boleh kurang tetapi boleh dilebihkan dengan syarat seboleh-bolehnya biarlah ianya masih berbilang tujuh. Ini merupakan duit adat sebagai bayaran bagi setiap gelanggang perguruan.

Duit adat ini merupakan hadiah istimewa bagi guru dan juga sebagai simbol diri pesilat rela dan ikhlas memberikan keazaman dan usaha yang terdaya bagi meneruskan semua tahap pendidikan dalam perguruan.

Ada juga persediaan yang pada kebiasaannya mesti disediakan secara bersepakat dikalangan anak murid bagi tujuan memulakan perguruan. Ini merupakan amalan kerjasama yang penting bagi tujuan memulakan usaha kesatuan mental dan fizikal dikalangan mereka. Perkara yang harus disediakan ini juga tidak semestinya akan dipenuhi kesemuanya, bergantung kepada ketetapan guru.

Adakalanya persediaan ini disediakan oleh pesilat secara individu jika berseorangan dan berkemampuan untuk memenuhinya. Guru akan mengambil berat tentang kemampuan diri para pesilat dalam hal menetapkan segala persediaan syarat. Sifat mengambil berat dengan kasih mestilah wujud dari mula hinggalah sampai bila-bila diantara semua pihak, dalam hal ini kita menyentuh di dalam lingkup perguruan.

Persediaan yang pada kebiasaannya disediakan secara berkumpulan dan bersepakat bagi memulakan peguruan ialah:
(1) Sirih 3 kapur:
Ini bagi tujuan “menyirih” guru atau “meminang” ilmunya kerana wujudnya sifat kasih terhadap guru dan akan ada ikatan ilmu manfaat dunia dan akhirat diantara guru dan murid. Tujuannya ini ialah hendak ber”nikah” dengan ilmu guru tersebut. Guru bertindak sebagai “wali” yang akan me”nikah”kan “anak”nya (ilmunya) dengan bakal “menantu”nya (anak muridnya).

Sebuah tepak sirih akan juga disediakan oleh kalangan pesilat secara sepakat dan terus dihadiahkan kepada guru jika berkemampuan dan semuanya bersetuju, ikhlas dan rela. Jika tidak maka tepak sirih itu akan diambil balik oleh pemiliknya dikalangan pesilat atau akan disediakan sendiri oleh guru. Perkara ini mestilah dimaklumkan kepada guru. Daun sirih dan ramuannya boleh juga dibawa lebih dengan tujuan untuk semua menjamahnya bersama dengan guru. Guru akan menyediakan sekapur sirih dengan kasih, selawat, doa dan zikir khusus bagi anak murid yang ingin bersama menjamahnya.

Ini adalah adat yang penuh kasih dan penghormatan. Jika persediaan yang ini disediakan secara individu yang datang berseorangan, pada kebiasaan lumrahnya, tepak sirih tidak perlu disediakan pesilat atau dihadiahkan kepada guru. Sekali lagi ini bergantung kepada kemampuan dan kesanggupan pihak anak murid sendiri.

(2) Kemenyan:
Ini mestilah disediakan beserta dengan dapurnya atau tempat bara yang lengkap. Kemenyan yang disediakan sama ada dari apa jenis sekali pun mestilah jenis yang baik dan bermutu. Kadangkala ianya digantikan dengan setanggi beserta dengan tempat khas bagi meletakkan setanggi yang hendak dibakar. Ini merupakan suatu amalan dengan tujuan memberikan suasana aroma yang baik sama ada di gelanggang atau pun di rumah. Persediaan ini akan dihadiahkan kepada guru. Amalan mewangikan suasana ini merupakan amalan baik atau aroma therapy yang menyegarkan.

Jenis bauan yang dipilih mestilah sesuai, selesa dan menyegarkan. Terdapat pelbagai jenis bauan moden dan sesuai untuk semua terutama sekali dalam bentuk setanggi seperti bau epal, strawberi, limau dan sebagainya. Jika lebih sesuai dan dipersetujui atau ditetapkan sendiri oleh guru maka boleh juga digantikan dengan air freshener atau air ionizer yang wangi, segar dan bermutu.

Jika persediaan yang ini disediakan secara individu yang datang berseorangan, pada kebiasaannya, dapur atau tempat bara tidak perlu disediakan pesilat atau dihadiahkan kepada guru. Ini bergantung kepada kemampuan dan kesanggupan pihak anak murid sendiri.

(3) Sekeping kain:
Terdapat syarat yang akan ditetapkan oleh guru dalam penyediaannya. Antara yang menjadi kebiasaan ialah ukuran panjang, lebar, warna, jenis dan syarat-syarat lain yang akan diukur dan dinyatakan oleh guru. Kain ini kebiasaannya akan dibuat jubah, serban atau pakaian lain untuk persalinan guru atau ahli keluarga beliau. Pakaian bagi tujuan melaksanakan amalan sunnah akan sentiasa menjadi lumrah serta keutamaan.

Jenis kain kebiasaanya ialah jenis yang terbaik yang termampu dibeli oleh para pesilat. Adakalanya kain ini ditetapkan bagi persediaan untuk anak murid yang datang berseorangan secara individu. Kebiasaannya kain ini bagi menggantikan jarum. Ianya sebagai ibarat orang dahulu kala menyediakan sepersalinan untuk kegunaan guru atau ahli keluarga beliau.

Kesemua persediaan tadi, sama ada ianya secara individu atau kumpulan, ianya merupakan terjemahan bagi kesungguhan setiap pesilat dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penerima ilmu. Ianya sebagai satu lambang dan boleh menjadi ukuran dalam melihat tafsiran nilai ilmu bagi diri pesilat. Ukurannya bukan sekadar terletak pada benda yang disediakan malahan juga pada cara dan usaha memenuhi, melengkapi dan menyempurnakan segala syarat zahir dan batin, mental dan fizikal serta material dan spiritual bagi perkara tersebut.

Pada lumrahnya, nilai kesungguhan itu akan ditafsirkan dengan kesungguhan dan usaha sewaktu melalui proses pendidikan dalam perguruan. Adab dan adat ini merupakan suatu perkara yang mendidik fizikal dan mental pesilat dari peringkat mula dan ianya akan juga memberi kesan kepada perjalanan ilmu bagi individu itu sendiri. Namun begitu, ada syarat yang memang tidak lagi menjadi ketetapan bagi guru kerana ianya sudah tidak begitu sesuai dengan suasana sekarang. Guru pula mestilah ingat agar memudahkan perkara dan jangan terlalu menyulitkannya.

Janganlah dibuang adat tradisi begitu sahaja dan peluklah adab Islam dengan seluruh jasmani dan rohani. Jangan sesekali pula memegang adat sehingga merosakkan. Apa yang penting ialah, biarlah adat tradisi dan segala-galanya itu tunduk dengan adab Islam secara mutlak. Pada hakikatnya tunduknya kita pada adab yang digariskan syari'at adalah merupakan gambaran keimanan, merendahkan diri bagi menundukkan nafsu. Ianya menjadi terjemahan kehambaan mutlak hanya kepada Allah ‘Azza wa Jalla.

No comments:

Post a Comment