Sunday, January 10, 2010

Unsur Kejadian Manusia

Apakah lagi yang hendak kita persoalkan selain dari hendak menyibukkan diri kita dengan menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba? Hamba dari segala sudut; akal, jasad, laku dan segalanya. Tidak cukup sibukkah kita dengan mempelajari dan memahami ilmu kahambaan? Ilmu bagi menyempurnakan solah, puasa dan sebagainya.

Marilah kita sibukkan diri dengan mengejar taqwa iaitu kemuliaan yang hakiki. Dalam Islam sekiranya kita hendakkan ilmu atau bermuzakarah ada adab dan tertibnya. Pada hakikatnya kurang elok sekiranya dibuat dalam ruang internet yang agak terhad. Haruslah kita memahami tradisi adab dan tertib sebenar dalam kesinambungan setiap ilmu yang dianugerahkanNya.

Kebiasaannya apabila seseorang cuba menjelaskan sesuatu di dalam internet maka akan terhasil artikel yang panjang. Itu pun masih tidak cukup panjang bagi menerangkan dengan lebih jelas dan mendalam. Kerap kali akan timbul pula perbalahan, salah sangka dan fitnah. Sayugialah diingatkan bahawa dalam perbincangan apa sekali pun, dalam Islam, setiap sesuatu itu kaedahnya.

Disini kita wajiblah sentiasa ingat bahawa segala-galanya itu wajib dibatasi ilmu Fiqh atau Syari’at. Dalam skop ini kita menyentuh persoalan tentang maksud kebatinan. Sekiranya minda cuma hendak faham tentang kebatinan itu hanya dari sudut keMelayuan maka buatlah sekehendaknya dan akan rugilah kita. Sedangkan ilmu Islam itu sahajalah yang memberikan sebaik-baik petunjuk.

Hakikatnya manusia bukanlah terikat oleh 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin semata-mata. Banyak sangat ikatan yang mengikat manusia. Ikatan-ikatan itu semuanya menjadikan manusia lebih payah untuk menjadi hamba Allah (SWT). Ikatan harta, manusia, pangkat dan macam-macam lagi. Kerana itulah kita mesti sentiasa menyebut kebesaran Allah (SWT) dalam pelbagai cara yang Syar’ie.

Dewasa ini kebanyakan kita gemar menjadi seperti kaum Bani Israel yang suka mempersoalkan macam-macam perkara yang tidak perlu disibukkan diri dengannya, perkara yang amat kecil dan remeh temeh. Perkara yang sebegini hanya melalaikan kita dari Allah (SWT). Janganlah suka terpesona dengan akal yang sering dilalaikan oleh nafsu.

Diungkapkan disini apa yang diajar oleh para 'ulama' dan awliya dalam kitab tasauf tentang ikatan 4 unsur tadi. Sihina dhaif jahil lagi banyak dosa ini sekadar mencatitkannya semula. Sesungguhnya nafsulah yang terhasil dari asal kejadian yang pada permulaannya dari unsur tanah, air, api dan angin. Kemudian diteruskan pula dari kejadian titisan air yang hina.

Jika sibuk memandang pada unsur sebegini dalam terlalu banyak hal, ini menunjukkan bahawa diri masih terikat ketat lemas dengan nafsu. Sepatutnya kita berusaha mengatasinya agar sempurna misi kita dijadikan di dunia ini iaitu tidak lain dan tidak bukan melainkan bagi menjadi hamba Allah Azza wa Jalla.

Merdekakanlah jasad dan ruh kita dari segala bentuk ikatan nafsu. Ikatan nafsu yang berasal dari unsur kejadian tanah, air, api dan angin inilah keluarnya segala penyakit-penyakit hati seperti takabbur, bakhil, ‘ujub, sum’ah, riak, ghadob (marah) dan lain-lain lagi. Nauzubillahiminzalik.

Dalam persoalan kebatinan dan alam ghaib wajiblah didasari Quran dan Hadis serta ilmu, kefahaman serta bimbingan para 'ulama dan awliya Allah (SWT). Masyarakat Melayu umunya mempunyai terlalu banyak tanggapan yang amat salah tentang perkara yang berkisar tentang unsur ghaib.

Contohnya seperti orang bunian dan dewa dewi yang diterjemahkan dengan kefahaman dangkal dan bertentangan dengan Islam. Islam mengkategorikan bunian sebagai dari golongan jin yang gemar berada dikalangan manusia sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis Nabi (SAW). Sekali lagi kita wajib memandang segala-galanya berdasarkan Al-Quran dan Hadis.

Berhentilah dari merosakkan keIslaman kita dengan terlalu banyak unsur keMelayuan yang bercanggah dengan Islam. Dalam Islam perkara ghaib itu merupakan sesuatu yang tidak dapat kita lihat dan ianya hanya boleh diberitakan melalui sumber Quran dan Hadis. Wajiblah bersandarkan kepada Quran dan Hadis melalui mereka yang benar-benar memahami Quran dan Hadis.

Memang ada selain dari jin, malaikat dan sebagainya yang mendiami suatu alam yang tidak dapat kita lihat seperti contohnya Rijalul Ghaib. Namun perkara ini menjadi khilaf dikalangan ‘ulama’ dan tidak usahlah kita nyalakan perbalahan dalam perkara cabang ini. Ianya bukan pun perkara pokok dalam Islam.

Sebaiknya marilah kita merdekakan diri dari kekangan nafsu yang sentiasa mengajak kepada keburukan. Nafsu yang asal kejadiannya dari unsur tanah, air, api dan angin serta bermulanya ia dari titisan air yang hina. Jangan biarkan nafsu itu mengajak diri kepada kelalaian dan kerosakan yang mengundang kemurkaan Allah Ta’ala.

No comments:

Post a Comment