Wednesday, January 13, 2010

Saka & Kejinan

Pada suatu hujung minggu yang jatuh pada sambutan hari kemerdekaan, kami sekeluarga menyambutnya dengan berikhtiar memerdekakan seorang saudara Islam kita dari gangguan saka atau kejinan yang datang dari keturunan beliau. Beliau seorang Islam yang taat dan baik serta berpelajaran tinggi tetapi datangnya gangguan ini diluar pengetahuan, jangkaan dan kemampuan diri beliau dan keluarga.

Allah (SWT) berfirman dalam Al-Quran:
وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ
"Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;" (Ar-Rahman: 15)
Dalam ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:
وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِنْ قَبْلُ مِنْ نَارِ السَّمُومِ
"Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma." (Al-Hijr: 27)

Itulah kejadian jin, suatu makhluk ghaib yang telah diciptakan oleh Allah (SWT). Unsur jin ini amat bertentangan dengan unsur dan tabi’i manusia. Hinggakan perlaksanaan perintah Allah (SWT) bagi golongan jin yang beriman juga berbeza dengan cara manusia. Golongan jin ini ada yang beriman dan ada juga yang engkar seperti juga yang terdapat dikalangan manusia.

Dalam hal kesembuhan, tidak dapat tidak sebagai hamba Allah (SWT) kita wajib berusaha bukan sahaja dengan ikhtiar berubat berlandaskan Syari’at malahan beramal dengan amalan yang mendekatkan kita kepada Allah (SWT). Terlalu banyak amalan yang boleh kita amalkan agar dilindungi Allah (SWT) dari gangguan jin dan juga dari gangguan manusia.

Antara perkara yang boleh merosakkan iman ialah dengan berteman serta memohon sesuatu kelebihan dari golongan jin. Ramai yang membuat pelbagai andaian bagi membolehkan tindakan mereka ini. Mereka mengatakan bahawa misalan meminta pertolongan dari golongan jin adalah sama dengan meminta pertolongan dari rakan mereka dari kalangan manusia. Ini suatu kebiadaban yang besar terhadap Allah (SWT) dan RasulNya (SAW).

Tidakkah kita lihat firman Allah (SWT):
وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُمْ مِنَ الإنْسِ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُمْ مِنَ الإنْسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
"Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (golongan manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (golongan jin), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui." (Al-An'aam: 128)

Itulah balasan bagi mereka yang menjadikan jin sebagai penolong atau pelindung mereka. Nabi Muhammad (SAW) telah memberikan kita terlalu banyak amalan sunnah yang boleh kita jadikan sebagai ikhtiar dalam menjaga, menolong dan melindungi hidup kita. Amalan ini bagi beroleh penjagaan, pertolongan dan perlindungan dari Allah (SWT) Maha Pencipta dan sebaik-baik Pelindung dan Pemberi Pertolongan.

Proses ikhtiar kesembuhan tersebut berjalan lancar dan dapat pula diselang-seli dengan solah berjemaah bersama pesakit dan ahli keluarga beliau untuk beberapa waktu dan juga solah sunat Tarawih berjemaah serta beberapa majlis zikrullah. Selama 2 hari 1 malam dirumah beliau itu dapatlah kami semua penuhi dengan ikhtiar kesembuhan dan amalan berjemaah bagi beroleh keredhaanNya. Segala-galanya dengan rahmat Allah (SWT).

Wajiblah kita semua sebagai hamba Allah (SWT) memandang segala sesuatu itu dengan pandangan Syari’at yang jelas. Tiada ruang sama sekali untuk kita menolak ilmu kehambaan pada Allah (SWT) itu. Firman Allah Ta’ala:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الإنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (Al-Jinn: 6)

Malahan dikalangan manusia sendiri yang sukakan dengan amalan kejinan yang merosakkan ini sememangnya akan menjadi sombong dan bongkak. Kesombongan mereka membawa kepada kebiadaban dan kesyirikan, nauzubillahiminzalik! Sombong biadab hingga mereka mengada-adakan teori hukum akal sendiri bagi membolehkan kerosakan yang terus dilakukan.Janganlah kita hina diri dengan menempah kemurkaan Allah (SWT).

Bertaqwalah kepadaNya kerana itulah kemuliaan dan kehebatan yang sebenar dan paling benar. Jadilah kita hambaNya yang sebenar-benar hamba kerana itulah satu-satunya tujuan kita diciptakanNya. Mohon pada Allah (SWT) dan rintislah serta kekallah di atas jalan kekasihNya yang menjadi ikutan kita Nabi Muhammad (SAW).
أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَ رَسُولِكَ النَِّبيِّ اْلأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ

No comments:

Post a Comment