Tuesday, January 12, 2010

Pencegahan

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ. وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ
"Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan"

Setelah maklum bahawa segalanya itu datang dari Allah (SWT) yang Maha Perkasa, Maha Berkuasa dan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang maka berusahalah memenuhi segala tuntutan Syari'at dalam mencegah, mengelak serta menyembuh penyakit.

Gunakan penutup muka/mulut (surgical mask) apabila keluar rumah atau mengalami selsema, amalkan kebersihan diri, lekas berjumpa doktor apabila perlu dan pelbagai lagi yang sebenarnya dan pada hakikatnya adalah tuntutan Syari'at yakni perintah Allah (SWT). Melaksanakan perintah Allah (SWT) adalah suatu perlaksanaan kehambaan terhadapNya, an act of servitude towards Allah (SWT).

Segala perlaksanaan kehidupan yang berlandaskan Syari'at merupakan suatu kewajipan biar pun ianya bukan ibadah khusus seperti solah, puasa dan sebagainya.Ilmu Syari'at, Fiqh atau Fekah adalah ilmu kehambaan. Ilmu yang mendidik cara menjadi hambaNya. Maka jadilah hambaNya yang sebenar-benar hamba, semata-mata dengan rahmatNya.

Menjaga kebersihan diri secara perubatan (medical hygene) maka dirujuk kepada doktor atau pakarnya. Wujudnya doktor adalah rahmatNya jua dan segalanya datang dariNya. Namun kebersihan rohanilah merupakan kebersihan hakiki. Tidak akan terjaga kebersihan dalam apa jua bentuk sekali pun selagimana tidak terjaga kebersihan rohani, kebersihan ruh.

Rujuklah kepada orang-orang Allah (SWT) agar terjaga kebersihan ruh yang sudah barang tentu akan bersihlah jasad. Penyakit datang kerana sikap diri yang melanggar tuntutan naluri ruh atau rohani. Biar pun perlakuan itu nampaknya baik tetapi apabila dilakukan bertentangan dengan kerohanian atau ruh maka akan juga memudaratkan. Terjaga kerohanian atau ruh seseorang maka terpeliharalah jasad atau jasmaninya inshaAllah.

Seperti diri yang asyik hendak makan biar pun makanan itu halal dan baik. Apabila berlebihan ia maka bertentanganlah dengan ruh dan akibatnya sakitlah jasad. Bayangkan sekiranya suatu perlakuan yang sudah nyata haram dan dilarang secara jelas oleh Allah (SWT). Maka akan lebih besarlah kerosakan yang bakal berlaku, penyakit yang bakal melanda, nauzubillahi min zalik!

Namun adakalanya datangnya sesuatu yang tidak diingini itu adalah kerana Allah (SWT) ingin menguji keimanan dan cinta hambaNya terhadapNya. Inilah yang berlaku kepada orang pilihan Allah (SWT). Namun bagi diri ini, musibah itu terjadi kerana dosa dan lalainya diri terhadap tanggungjawab kehambaan.

Bertaubatlah! Dengan rahmat Allah (SWT) dan pimpinan dari orang-orang Allah (SWT) maka berjalanlah diri menuju kepadaNya. Semoga setiap perilaku diri ini dapat menterjemahkan kehambaan kepadaNya pada setiap saat dan ketika bagi beroleh redhaNya.

No comments:

Post a Comment