Sunday, January 3, 2010

Pandangan & Saranan

الحمد لله رب العالمين على كل حال و في كل حال

Kehambaan merupakan suatu kesedaran asas yang wajib ada dalam diri setiap manusia bagi menjalani kehidupan sebagai seorang yang beriman kerana itulah satu-satunya tujuan manusia dijadikan. Hanya dengan kehambaan sahaja dapat mengawal diri yang sentiasa diulit oleh nafsu kehaiwanan yang sukar untuk dikawal. Nafsu yang akan sentiasa memperdaya manusia dengan pelbagai bentuk yang jahat dan baik yang lahir dari sifat semulajadi jasad. Hanya kehambaan yang mampu mewujudkan perpaduan dan kasih sayang sebenar terhadap diri dan masyarakat.

Masalah iman dan akhlak muncul dengan berleluasa kerana tiada kehambaan malahan sentiasa disajikan dengan permainan dan kealpaan dunia. Masalah ini juga timbul apabila merasakan bahawa kehambaan itu sukar dan melecehkan. Ini tidak lain dan tidak bukan datangnya dari kejahilan terhadap Islam itu sendiri. Tiada kaedah lain yang lebih sesuai melainkan dengan ilmu, kefahaman dan bimbingan para pewaris Nabi dikalangan ulama yang soleh. Islam itu mudah namun tidaklah ianya boleh dipermudah-mudahkan.

Mudahnya Islam itu dengan adanya ilmu dan kefahaman. Bimbingan secara memimpin tangan dan minda atau jasmani dan rohani adalah menjadi tiang seri utama dalam menonjolkan keindahan, kemudahan dan kehebatan Islam. Tiada kerja yang besar atau kecil dalam menegakkan Islam malah semua kerja yang membabitkan dakwah adalah terlalu besar. Ianya adalah cara hidup maka semua yang hidup hendaklah melaksanakannya bersama-sama. Bagi mengatasi masalah kehidupan hanya cara Nabi Muhammad (SAW) yang wajib dilaksanakan melalui ilmu, kefahaman dan bimbingan para ulama soleh.

Kaedah yang sedia ada dalam Islam sudah terlalu luas dan memadai. Dengan ilmu maka dapat dinikmati kemudahan dan keluasan Islam. Jalan menuju Allah (SWT) itu luas dan banyak. Namun begitu jalan itu wajiblah tepat dengan Quran dan Sunnah. Ilmu yang dapat menyuluh jalan yang sebenar dan dapat memudahkan cara namun tidaklah pula mempermudah-mudahkannya. Kejahilan adalah kegelapan manakala andaian pula merosakkan. Tidak boleh pula menggunakan andaian kerana andaian itu bakal merosakkan urusan agama. Dunia hanya dapat diperolehi dengan ilmu, akhirat juga hanya dapat diperolehi dengan ilmu. Semata-mata dengan rahmat Allah Ta’ala sahaja dapat direalisasikan kehambaan padaNya.

أللهم صل على سيدنا محمد عبدك و رسولك النبي الأمي وعلى آله و أصحابه و أتباعه إلى يوم الدين و بارك و سلم

No comments:

Post a Comment