Saturday, January 23, 2010

Disibukkan Dengan Kelemahan Diri (Bahagian Akhir)

لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ
Nampaknya memang terlalu sibuk dan masih belum mampu update blog ini seperti yang dirancang. Ada sahaja program yang dianjurkan yang terpaksa dihadiri hinggakan tanggungjawab kerohanian yang lain pun nampaknya terabai. Sayang sekali kerana kesibukan dunia diri yang hina lemah dhaif jahil lagi banyak dosa ini tersekat dan terbantut tarbiyyah ruhiyyahnya. Cuma rahmat Allah yang diharapkan pada setiap saat.

Berbalik tentang nenek yang diganggu yang diceritakan dalam posting sebelum ini. Cucu kepada sinenek tadi telah pun memberikan laporan doktor tentang keadaan neneknya. Keputusannya nampaknya amat baik dan tidak seperti yang dibimbangkan. Dalam menentukan kondisi masalah kejinan dalam diri seseorang laporan perubatan juga amat penting dan memainkan peranan yang besar.

Beberapa hari selepas mendapat laporan tersebut maka telah diizinkan Allah dengan rahmatNya untuk meluangkan masa bersama-sama berjemaah bermunajat kepada Allah bagi memohon ketentuan yang terbaik buat sinenek tadi. MashaAllah ianya dihadiri ramai anak-anak murid. Nampaknya respon beliau amatlah baik dan keadaannya serius tetapi tidak terlalu serius seperti kes yang sebelum ini sewaktu di Port Dickson.

Terlihatlah kenapa keadaan nenek tersebut boleh jadi sedemikian rupa. Tetapi nampaknya ahli keluarga beliau memang terdiri dari orang yang baik-baik. Begitu juga dengan nenek tersebut. Majlis zikir dan solah Zohor berjemaah dapat diadakan. Selepas itu dapat disempurnaka pula ikhtiar mengubat sinenek tadi. Dapat berdialog dengan baik dengan beliau secara yang sesuai untuk keadaan beliau. Nampaknya kes kali ini selesai dengan mudah dan ringkas.
مَا شَاءَ اللهُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ

Monday, January 18, 2010

Disibukkan Dengan Kelemahan Diri (Bahagian Pertama)

الله الله رَبُّنَا الله. الله الله حَسْبُنَا الله. نَحْمَدُ اللهَ نَشْكُرُ اللهَ ذَٰلِكَ فَضْلٌ مِّنَ اللهِ

Telah diciptakan manusia itu bagi menjadi hambaNya yang sebenar-benar hamba. Moga segala gerak zahir dan batin berbetulan dengan kehambaan sebagaimana yang Dia kehendaki. Semata-mata dengan rahmatNya sahaja. Dengan segala kekurangan dan kelemahan sihina ini maka terlalu disibukkan dengan pelbagai amanah dan tanggungjawab.

Adakalanya terlampau sibuk sehingga tidak dapat memperuntukkan masa bagi mengemaskini blog yang serba dhaif ini. Dengan izin dan rahmat Allah Ta'ala maka diharapkan akan ada lebih banyak lagi perkara yang dapat kita kongsi bersama disini. Sekiranya ianya berbetulan dengan kehendak Allah (SWT) akan sihina ini sajikan buat santapan mata semua.

Pada suatu malam sekitar 2 bulan yang lepas, setelah untuk suatu tempoh yang agak lama, salah seorang dari anak murid saya menceritakan masalah kejinan yang dihadapi oleh neneknya sendiri. Beliau menunggu agak lama (hampir setahun rasanya) untuk membincangkan hal ini dengan saya. Terasa agak terkejut setelah mengetahui situasi yang serius ini.

Tempias dari perkara kejinan ini sudah lama dideritai oleh orang-orang disekeliling. Tidak dapat pulalah nak diceritakan bagaimana sukarnya diri nenek yang menghadapi sendiri keadaan tersebut. Sinenek walau pun masih kuat tetapi terlalu sukar beribadah terutama sekali solah 5 waktu, memang sudah tak ada kemahuan langsung nampaknya.

Dalam urusan seharian sinenek nampaknya uzur dan terlalu memerlukan tongkat. Namun yang ganjilnya apabila hendak ke tandas sinenek tadi boleh pula tegak dan kuat dengan selambanya bergerak pantas ke bilik air. Adakalanya pula terdengar suara tangisan yang jelas berdekatan dengan sinenek tetapi beliau tidak pula menangis pada waktu itu.

Sinenek sentiasa berada dalam ketakutan tidak kira waktu siang atau malam. Maka terpaksalah ada yang menemaninya dan yang menemaninya "dihukum" pula dengan bermacam-macam gangguan. Malahan mereka yang ada berdekatan beliau pun dipaksa merasa tempias dari gangguan kejinan tersebut.

Rupanya perkara ini pernah berlaku keatas waris sinenek yang sebelum ini, keturunan beliau yang sebelumnya. Harap dapatlah cucunya (anak murid saya) yang seorang ini membantu dalam meleraikan masalah sinenek yang beliau sayangi. Moga dapat sicucu memulakan misinya bermula dari malam semalam, inshaAllah.

Tunggulah kesinambungan kisah sebenar dari sebuah lagi realiti kehidupan masyarakat Melayu ini. Sekiranya berbetulan dengan kehendak Allah Ta'ala, dengan izin dan rahmatNya jua..... bersambung..............

مَا شَاءَ اللهُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ

Wednesday, January 13, 2010

Saka & Kejinan

Pada suatu hujung minggu yang jatuh pada sambutan hari kemerdekaan, kami sekeluarga menyambutnya dengan berikhtiar memerdekakan seorang saudara Islam kita dari gangguan saka atau kejinan yang datang dari keturunan beliau. Beliau seorang Islam yang taat dan baik serta berpelajaran tinggi tetapi datangnya gangguan ini diluar pengetahuan, jangkaan dan kemampuan diri beliau dan keluarga.

Allah (SWT) berfirman dalam Al-Quran:
وَخَلَقَ الْجَانَّ مِنْ مَارِجٍ مِنْ نَارٍ
"Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang;" (Ar-Rahman: 15)
Dalam ayat yang lain Allah Ta’ala berfirman:
وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِنْ قَبْلُ مِنْ نَارِ السَّمُومِ
"Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma." (Al-Hijr: 27)

Itulah kejadian jin, suatu makhluk ghaib yang telah diciptakan oleh Allah (SWT). Unsur jin ini amat bertentangan dengan unsur dan tabi’i manusia. Hinggakan perlaksanaan perintah Allah (SWT) bagi golongan jin yang beriman juga berbeza dengan cara manusia. Golongan jin ini ada yang beriman dan ada juga yang engkar seperti juga yang terdapat dikalangan manusia.

Dalam hal kesembuhan, tidak dapat tidak sebagai hamba Allah (SWT) kita wajib berusaha bukan sahaja dengan ikhtiar berubat berlandaskan Syari’at malahan beramal dengan amalan yang mendekatkan kita kepada Allah (SWT). Terlalu banyak amalan yang boleh kita amalkan agar dilindungi Allah (SWT) dari gangguan jin dan juga dari gangguan manusia.

Antara perkara yang boleh merosakkan iman ialah dengan berteman serta memohon sesuatu kelebihan dari golongan jin. Ramai yang membuat pelbagai andaian bagi membolehkan tindakan mereka ini. Mereka mengatakan bahawa misalan meminta pertolongan dari golongan jin adalah sama dengan meminta pertolongan dari rakan mereka dari kalangan manusia. Ini suatu kebiadaban yang besar terhadap Allah (SWT) dan RasulNya (SAW).

Tidakkah kita lihat firman Allah (SWT):
وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُمْ مِنَ الإنْسِ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُمْ مِنَ الإنْسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ
"Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (golongan manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (golongan jin), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui." (Al-An'aam: 128)

Itulah balasan bagi mereka yang menjadikan jin sebagai penolong atau pelindung mereka. Nabi Muhammad (SAW) telah memberikan kita terlalu banyak amalan sunnah yang boleh kita jadikan sebagai ikhtiar dalam menjaga, menolong dan melindungi hidup kita. Amalan ini bagi beroleh penjagaan, pertolongan dan perlindungan dari Allah (SWT) Maha Pencipta dan sebaik-baik Pelindung dan Pemberi Pertolongan.

Proses ikhtiar kesembuhan tersebut berjalan lancar dan dapat pula diselang-seli dengan solah berjemaah bersama pesakit dan ahli keluarga beliau untuk beberapa waktu dan juga solah sunat Tarawih berjemaah serta beberapa majlis zikrullah. Selama 2 hari 1 malam dirumah beliau itu dapatlah kami semua penuhi dengan ikhtiar kesembuhan dan amalan berjemaah bagi beroleh keredhaanNya. Segala-galanya dengan rahmat Allah (SWT).

Wajiblah kita semua sebagai hamba Allah (SWT) memandang segala sesuatu itu dengan pandangan Syari’at yang jelas. Tiada ruang sama sekali untuk kita menolak ilmu kehambaan pada Allah (SWT) itu. Firman Allah Ta’ala:
وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الإنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا
"Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat." (Al-Jinn: 6)

Malahan dikalangan manusia sendiri yang sukakan dengan amalan kejinan yang merosakkan ini sememangnya akan menjadi sombong dan bongkak. Kesombongan mereka membawa kepada kebiadaban dan kesyirikan, nauzubillahiminzalik! Sombong biadab hingga mereka mengada-adakan teori hukum akal sendiri bagi membolehkan kerosakan yang terus dilakukan.Janganlah kita hina diri dengan menempah kemurkaan Allah (SWT).

Bertaqwalah kepadaNya kerana itulah kemuliaan dan kehebatan yang sebenar dan paling benar. Jadilah kita hambaNya yang sebenar-benar hamba kerana itulah satu-satunya tujuan kita diciptakanNya. Mohon pada Allah (SWT) dan rintislah serta kekallah di atas jalan kekasihNya yang menjadi ikutan kita Nabi Muhammad (SAW).
أَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَ رَسُولِكَ النَِّبيِّ اْلأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ

Tuesday, January 12, 2010

Pencegahan

كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍ. وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ
"Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa. Dan kekallah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan"

Setelah maklum bahawa segalanya itu datang dari Allah (SWT) yang Maha Perkasa, Maha Berkuasa dan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang maka berusahalah memenuhi segala tuntutan Syari'at dalam mencegah, mengelak serta menyembuh penyakit.

Gunakan penutup muka/mulut (surgical mask) apabila keluar rumah atau mengalami selsema, amalkan kebersihan diri, lekas berjumpa doktor apabila perlu dan pelbagai lagi yang sebenarnya dan pada hakikatnya adalah tuntutan Syari'at yakni perintah Allah (SWT). Melaksanakan perintah Allah (SWT) adalah suatu perlaksanaan kehambaan terhadapNya, an act of servitude towards Allah (SWT).

Segala perlaksanaan kehidupan yang berlandaskan Syari'at merupakan suatu kewajipan biar pun ianya bukan ibadah khusus seperti solah, puasa dan sebagainya.Ilmu Syari'at, Fiqh atau Fekah adalah ilmu kehambaan. Ilmu yang mendidik cara menjadi hambaNya. Maka jadilah hambaNya yang sebenar-benar hamba, semata-mata dengan rahmatNya.

Menjaga kebersihan diri secara perubatan (medical hygene) maka dirujuk kepada doktor atau pakarnya. Wujudnya doktor adalah rahmatNya jua dan segalanya datang dariNya. Namun kebersihan rohanilah merupakan kebersihan hakiki. Tidak akan terjaga kebersihan dalam apa jua bentuk sekali pun selagimana tidak terjaga kebersihan rohani, kebersihan ruh.

Rujuklah kepada orang-orang Allah (SWT) agar terjaga kebersihan ruh yang sudah barang tentu akan bersihlah jasad. Penyakit datang kerana sikap diri yang melanggar tuntutan naluri ruh atau rohani. Biar pun perlakuan itu nampaknya baik tetapi apabila dilakukan bertentangan dengan kerohanian atau ruh maka akan juga memudaratkan. Terjaga kerohanian atau ruh seseorang maka terpeliharalah jasad atau jasmaninya inshaAllah.

Seperti diri yang asyik hendak makan biar pun makanan itu halal dan baik. Apabila berlebihan ia maka bertentanganlah dengan ruh dan akibatnya sakitlah jasad. Bayangkan sekiranya suatu perlakuan yang sudah nyata haram dan dilarang secara jelas oleh Allah (SWT). Maka akan lebih besarlah kerosakan yang bakal berlaku, penyakit yang bakal melanda, nauzubillahi min zalik!

Namun adakalanya datangnya sesuatu yang tidak diingini itu adalah kerana Allah (SWT) ingin menguji keimanan dan cinta hambaNya terhadapNya. Inilah yang berlaku kepada orang pilihan Allah (SWT). Namun bagi diri ini, musibah itu terjadi kerana dosa dan lalainya diri terhadap tanggungjawab kehambaan.

Bertaubatlah! Dengan rahmat Allah (SWT) dan pimpinan dari orang-orang Allah (SWT) maka berjalanlah diri menuju kepadaNya. Semoga setiap perilaku diri ini dapat menterjemahkan kehambaan kepadaNya pada setiap saat dan ketika bagi beroleh redhaNya.

Sunday, January 10, 2010

Unsur Kejadian Manusia

Apakah lagi yang hendak kita persoalkan selain dari hendak menyibukkan diri kita dengan menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba? Hamba dari segala sudut; akal, jasad, laku dan segalanya. Tidak cukup sibukkah kita dengan mempelajari dan memahami ilmu kahambaan? Ilmu bagi menyempurnakan solah, puasa dan sebagainya.

Marilah kita sibukkan diri dengan mengejar taqwa iaitu kemuliaan yang hakiki. Dalam Islam sekiranya kita hendakkan ilmu atau bermuzakarah ada adab dan tertibnya. Pada hakikatnya kurang elok sekiranya dibuat dalam ruang internet yang agak terhad. Haruslah kita memahami tradisi adab dan tertib sebenar dalam kesinambungan setiap ilmu yang dianugerahkanNya.

Kebiasaannya apabila seseorang cuba menjelaskan sesuatu di dalam internet maka akan terhasil artikel yang panjang. Itu pun masih tidak cukup panjang bagi menerangkan dengan lebih jelas dan mendalam. Kerap kali akan timbul pula perbalahan, salah sangka dan fitnah. Sayugialah diingatkan bahawa dalam perbincangan apa sekali pun, dalam Islam, setiap sesuatu itu kaedahnya.

Disini kita wajiblah sentiasa ingat bahawa segala-galanya itu wajib dibatasi ilmu Fiqh atau Syari’at. Dalam skop ini kita menyentuh persoalan tentang maksud kebatinan. Sekiranya minda cuma hendak faham tentang kebatinan itu hanya dari sudut keMelayuan maka buatlah sekehendaknya dan akan rugilah kita. Sedangkan ilmu Islam itu sahajalah yang memberikan sebaik-baik petunjuk.

Hakikatnya manusia bukanlah terikat oleh 4 unsur iaitu tanah, air, api dan angin semata-mata. Banyak sangat ikatan yang mengikat manusia. Ikatan-ikatan itu semuanya menjadikan manusia lebih payah untuk menjadi hamba Allah (SWT). Ikatan harta, manusia, pangkat dan macam-macam lagi. Kerana itulah kita mesti sentiasa menyebut kebesaran Allah (SWT) dalam pelbagai cara yang Syar’ie.

Dewasa ini kebanyakan kita gemar menjadi seperti kaum Bani Israel yang suka mempersoalkan macam-macam perkara yang tidak perlu disibukkan diri dengannya, perkara yang amat kecil dan remeh temeh. Perkara yang sebegini hanya melalaikan kita dari Allah (SWT). Janganlah suka terpesona dengan akal yang sering dilalaikan oleh nafsu.

Diungkapkan disini apa yang diajar oleh para 'ulama' dan awliya dalam kitab tasauf tentang ikatan 4 unsur tadi. Sihina dhaif jahil lagi banyak dosa ini sekadar mencatitkannya semula. Sesungguhnya nafsulah yang terhasil dari asal kejadian yang pada permulaannya dari unsur tanah, air, api dan angin. Kemudian diteruskan pula dari kejadian titisan air yang hina.

Jika sibuk memandang pada unsur sebegini dalam terlalu banyak hal, ini menunjukkan bahawa diri masih terikat ketat lemas dengan nafsu. Sepatutnya kita berusaha mengatasinya agar sempurna misi kita dijadikan di dunia ini iaitu tidak lain dan tidak bukan melainkan bagi menjadi hamba Allah Azza wa Jalla.

Merdekakanlah jasad dan ruh kita dari segala bentuk ikatan nafsu. Ikatan nafsu yang berasal dari unsur kejadian tanah, air, api dan angin inilah keluarnya segala penyakit-penyakit hati seperti takabbur, bakhil, ‘ujub, sum’ah, riak, ghadob (marah) dan lain-lain lagi. Nauzubillahiminzalik.

Dalam persoalan kebatinan dan alam ghaib wajiblah didasari Quran dan Hadis serta ilmu, kefahaman serta bimbingan para 'ulama dan awliya Allah (SWT). Masyarakat Melayu umunya mempunyai terlalu banyak tanggapan yang amat salah tentang perkara yang berkisar tentang unsur ghaib.

Contohnya seperti orang bunian dan dewa dewi yang diterjemahkan dengan kefahaman dangkal dan bertentangan dengan Islam. Islam mengkategorikan bunian sebagai dari golongan jin yang gemar berada dikalangan manusia sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadis Nabi (SAW). Sekali lagi kita wajib memandang segala-galanya berdasarkan Al-Quran dan Hadis.

Berhentilah dari merosakkan keIslaman kita dengan terlalu banyak unsur keMelayuan yang bercanggah dengan Islam. Dalam Islam perkara ghaib itu merupakan sesuatu yang tidak dapat kita lihat dan ianya hanya boleh diberitakan melalui sumber Quran dan Hadis. Wajiblah bersandarkan kepada Quran dan Hadis melalui mereka yang benar-benar memahami Quran dan Hadis.

Memang ada selain dari jin, malaikat dan sebagainya yang mendiami suatu alam yang tidak dapat kita lihat seperti contohnya Rijalul Ghaib. Namun perkara ini menjadi khilaf dikalangan ‘ulama’ dan tidak usahlah kita nyalakan perbalahan dalam perkara cabang ini. Ianya bukan pun perkara pokok dalam Islam.

Sebaiknya marilah kita merdekakan diri dari kekangan nafsu yang sentiasa mengajak kepada keburukan. Nafsu yang asal kejadiannya dari unsur tanah, air, api dan angin serta bermulanya ia dari titisan air yang hina. Jangan biarkan nafsu itu mengajak diri kepada kelalaian dan kerosakan yang mengundang kemurkaan Allah Ta’ala.

Monday, January 4, 2010

Amalan Pagar Diri

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang tetap hidup, Yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki Segala Yang ada di langit dan Yang ada di bumi. tiada sesiapa Yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan Dengan izinNya. Yang mengetahui apa Yang ada di hadapan mereka dan apa Yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa Yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia lah Yang Maha tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha besar (kekuasaanNya).” (Surah Al-Baqarah: 255)

Amalan ini dibaca setiap hari selepas solat subuh dan diwaktu petang ataupun malam. Amalan ini dilakukan hanyalah dengan membaca Ayat Kursi sebanyak 7 kali dan diiringi pula dengan doa-doa tertentu seperti kifiat yang ditunjukkan dibawah ini. Amalan ini juga bagi membina keyakinan diri. Segala-galanya mutlak dengan izin dan rahmat Allah (SWT) semata-mata.

Selepas setiap kali habis membaca sekali Ayat Kursi hendaklah membaca doa berikut:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Kau jadikanlah di bahagian hadapan hambaMu yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa ini kota besi kota tembaga yang tidak boleh ditembusi oleh sekalian iblis, jin, syaitan, manusia dan binatang yang melata.”

Kemudian perkataan hadapan hendaklah ditukarkan kepada belakang di dalam doa selepas habis membaca Ayat Kursi kali kedua.
Selepas dibaca Ayat Kursi ketiga ditukar kepada kanan.
Selepas Ayat Kursi keempat ditukar kepada kiri.
Selepas Ayat Kursi kelima ditukar kepada atas.
Selepas Ayat Kursi keenam ditukar kepada bawah.

Selepas selasai membaca Ayat Kursi yang ketujuh hendaklah dibacakan doa yang berikut:
“Ya Allah! Ya Tuhanku! Kau peliharakanlah setiap sendi dan liang bulu roma hambaMu yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa ini daripada segala godaan hawa nafsu dan syaitan serta penyakit dan perkara yang tidak muafakat dengan Syari’e, dengan berkat mukjizat Nabi Muhammad (SAW) dan berkat para Awliya’Mu yang bertugas di abad ini, semata-mata dengan limpah rahmatMu Ya Allah.”

Kemudian dimesrakan ke dalam badan dengan cara menarik nafas dalam-dalam dan dihembuskan ke dua-dua belah tapak tangan dan disapukan ke serata anggota tubuh badan. Setelah itu bacalah doa dibawah ini sebanyak 3 kali:

Sunday, January 3, 2010

Pandangan & Saranan

الحمد لله رب العالمين على كل حال و في كل حال

Kehambaan merupakan suatu kesedaran asas yang wajib ada dalam diri setiap manusia bagi menjalani kehidupan sebagai seorang yang beriman kerana itulah satu-satunya tujuan manusia dijadikan. Hanya dengan kehambaan sahaja dapat mengawal diri yang sentiasa diulit oleh nafsu kehaiwanan yang sukar untuk dikawal. Nafsu yang akan sentiasa memperdaya manusia dengan pelbagai bentuk yang jahat dan baik yang lahir dari sifat semulajadi jasad. Hanya kehambaan yang mampu mewujudkan perpaduan dan kasih sayang sebenar terhadap diri dan masyarakat.

Masalah iman dan akhlak muncul dengan berleluasa kerana tiada kehambaan malahan sentiasa disajikan dengan permainan dan kealpaan dunia. Masalah ini juga timbul apabila merasakan bahawa kehambaan itu sukar dan melecehkan. Ini tidak lain dan tidak bukan datangnya dari kejahilan terhadap Islam itu sendiri. Tiada kaedah lain yang lebih sesuai melainkan dengan ilmu, kefahaman dan bimbingan para pewaris Nabi dikalangan ulama yang soleh. Islam itu mudah namun tidaklah ianya boleh dipermudah-mudahkan.

Mudahnya Islam itu dengan adanya ilmu dan kefahaman. Bimbingan secara memimpin tangan dan minda atau jasmani dan rohani adalah menjadi tiang seri utama dalam menonjolkan keindahan, kemudahan dan kehebatan Islam. Tiada kerja yang besar atau kecil dalam menegakkan Islam malah semua kerja yang membabitkan dakwah adalah terlalu besar. Ianya adalah cara hidup maka semua yang hidup hendaklah melaksanakannya bersama-sama. Bagi mengatasi masalah kehidupan hanya cara Nabi Muhammad (SAW) yang wajib dilaksanakan melalui ilmu, kefahaman dan bimbingan para ulama soleh.

Kaedah yang sedia ada dalam Islam sudah terlalu luas dan memadai. Dengan ilmu maka dapat dinikmati kemudahan dan keluasan Islam. Jalan menuju Allah (SWT) itu luas dan banyak. Namun begitu jalan itu wajiblah tepat dengan Quran dan Sunnah. Ilmu yang dapat menyuluh jalan yang sebenar dan dapat memudahkan cara namun tidaklah pula mempermudah-mudahkannya. Kejahilan adalah kegelapan manakala andaian pula merosakkan. Tidak boleh pula menggunakan andaian kerana andaian itu bakal merosakkan urusan agama. Dunia hanya dapat diperolehi dengan ilmu, akhirat juga hanya dapat diperolehi dengan ilmu. Semata-mata dengan rahmat Allah Ta’ala sahaja dapat direalisasikan kehambaan padaNya.

أللهم صل على سيدنا محمد عبدك و رسولك النبي الأمي وعلى آله و أصحابه و أتباعه إلى يوم الدين و بارك و سلم

Saturday, January 2, 2010

Pencegahan Adalah Lebih Baik

مَا شَاءَ اللهُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ
(Segala yang dikehendaki Allah pasti berlaku, tiada daya upaya untuk melakukan ketaatan dan tiada kekuatan untuk meninggalkan maksiat melainkan dengan (izin) Allah sahaja)

Dengan pelbagai wabak penyakit yang menular sejak kebelakangan ini, sayugialah kita semua memohon dengan rahmat Allah (SWT) agar dipelihara dari perkara yang tidak baik lebih-lebih lagi daripada mengundang kemurkaanNya.

Wajiblah menerima dan memahami bahawa segala-galanya adalah dalam kuasa mutlak dan ketentuan muktamad Allah (SWT). Berusahalah diri yang hina lemah dhaif jahil lagi banyak dosa ini untuk rahmat kesembuhan dariNya.

حَسْبِيَ اللهُ لاَ ﺇِلَهَ ﺇِلاَّ هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم