Saturday, December 19, 2009

Zikir & Hizib

Hizb atau hizib itu memberi maksud satu kumpulan atau satu golongan bagi sesuatu. Dalam perbincangan ini ianya merujuk kepada satu kumpulan ayat-ayat Quran atau sebutan-sebutan yang membawa kepada mengingati dan memuji Allah (SWT), berselawat kepada Nabi (SAW) serta juga bagi tujuan berdoa.
Apa yang pasti ialah hizb ini bermatlamat agar dapat merealisasikan zikir dalam semua keadaan. Terdapat pelbagai hizb yang dibuat oleh para ‘ulama terdahulu dengan tujuan agar dapat kita semua mengingati Allah (SWT).

Kita digalakkan berzikir dalam bentuk yang bertepatan dengan Quran & Sunnah dengan ilmu dan bimbingan yang tepat dalam semua keadaan selagi mana ianya bukan dalam maksiat. Quran menyebut tentang orang beriman yang sentiasa dalam keadaan tetap berzikir walau pun dengan hanya melihat pada ciptaan Allah (SWT). Bukan sekadar zikir sebutan malahan zikir yang lebih dari itu.

Dalam adab kehidupan Muslim juga terdapat perintah menyebut pelbagai doa, selawat dan pelbagai bentuk zikir yang lain apabila melakukan perbuatan seharian seperti makan, minum, berjalan, bersalaman dan sebagainya. Begitulah besarnya peranan zikir dalam setiap inci kehidupan. Dalam Surah An-Nisa’ ayat 103 dan Surah Aali Imran ayat 191 ada menyebut tentang keadaan orang beriman yang akan sentiasa berzikir.

Boleh jika kita ingin berzikir sewaktu bersilat asalkan keadaannya tidak bercanggah dengan syariat. Tiada salahnya kita mengingati Allah (SWT), berselawat kepada Nabi (SAW) dan berdoa dalam keadaan ini. Namun begitu patutlah kita renung dan insafi akan niat dan tujuan kita melakukan apa jua amalan zikir tersebut. Zikir sepatutnya menyuntik ruh taqwa, memberikan semangat kesabaran, meningkatkan kekuatan iman, melahirkan sifat kehambaan dan tawakkal yang tinggi kepada Allah (SWT).

Zikir juga menyuntik ketenangan dalam hati orang yang beriman. Dari zikir itu maka lahirlah sifat yang hanya takut dan taat kepada Allah (SWT) semata-mata. Zikir juga memberikan rasa kehambaan pada diri dan yang wujud hanyalah kehebatan dan kebesaran Allah (SWT). Hati orang beriman itu tidak akan dilalaikan dari berzikir oleh apa juga perkara dan apa juga keadaan. Lidah, hati dan perlakuan zahir dan batin mereka semuanya melambangkan zikir kerana lidah basah dengan menyebut zikir, hati tetap tumpu pada zikir dan perbuatan zahir dan batin bertepatan dengan perintah Allah (SWT).

Itulah sepatutnya natijah dari kebiasaan berzikir yang dilakukan oleh orang beriman dalam setiap masa dan keadaan. Memang tiada salahnya memohon petunjuk dariNya dalam segala keadaan. Dalam pada itu perlaksanaan kerja zahir dan jasmani itu wajiblah didasari dengan ilmu dan bimbingan syariat. Namun terlebih baik dari yang paling baik kita memohon iman, taqwa dan petunjuk bagi menjadi hamba Allah (SWT) yang sebenar-benar hamba apabila kita berzikir dan berdoa.

Zikir juga dapat memberikan kemuliaan dan kewibawaan dunia dan akhirat, memudahkan syafaat dihari akhirat, memperbaharui iman, memberatkan timbangan amal dan pelbagai lagi natijah zikir yang sudah tentu terlalu jauh lebih hebat dari sekadar untuk mendapatkan ilmu silat atau apa-apa kehebatan dunia. Namun begitu adakalanya kita amat memerlukan kepada penyelesaiaan permasalahan dunia kita dan sememangnya kepada Allah (SWT) kita memohon pertolongan. Biar apa sekali pun wajiblah segalanya dibatasi ilmu dan bimbingan dari ‘alim ‘ulama sebenar.

Memang terdapat banyak amalan zikir dan hizb yang baik untuk kita amalkan. Dalam banyak hadis Nabi (SAW) terdapat beberapa doa dan zikir yang baginda amalkan bagi keadaan peperangan, darurat dan sebagainya. Terdapat juga amalan doa dan zikir yang berbentuk perlindungan dari pelbagai perkara atau disebut sebagai pendinding. Terdapat juga pelbagai amalan zikir dan doa dari para ‘ulama terdahulu yang bersumberkan dari Quran dan Hadis yang boleh juga kita semua amalkan.

Sememangnya pelbagai amalan ini mempunyai pelbagai kelebihan dan boleh pula dimanfaatkan untuk pelbagai perkara. Namun begitu biarlah tujuan utama ianya dipelajari, dihayati dan pengamalannya adalah bagi menyatakan kehambaan sebenar kepada Allah (SWT) kerana itulah tujuan kita diciptakan iaitu bagi menyembah mengabdikan diri dengan penuh kehambaan kepada Allah (SWT) dalam setiap masa dan keadaan.

No comments:

Post a Comment