Tuesday, December 29, 2009

Ziarah

Menziarahi orang yang sakit merupakan suatu amalan yang amat disukai oleh ikutan kita kekasih Allah (SWT) Nabi Muhammad (SAW). Ianya disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim sebagai salah satu dari hak yang perlu ditunaikan terhadap sesama Islam. Seringkali kita lupa dan tidak mengendahkan perkara ini.

Namun perlulah kita mengamalkan sifat berhati-hati yang menepati sunnah dalam melaksanakan perkara tersebut. Disamping persediaan perlindungan bagi pencegahan atau penularan penyakit yang lebih serius kita juga perlu mendoakan agar saudara kita mendapat kesembuhan dari Allah (SWT). Itulah adab tertib yang mesti diambil perhatian.

Kerana itu perlulah kita mempersiapkan diri dengan perlindungan aspek perubatan (medical protection) dan juga perlindungan dalaman atau mungkin boleh disebut sebagai pendinding. Terdapat banyak amalan yang Nabi Muhammad (SAW) sendiri amalkan sebagai suatu bentuk perlindungan atau pendinding. Terdapat juga amalan yang diamalkan oleh para sahabat (RA), tabi'in, tabi'it tabi'in serta para 'ulama' yang juga berlandaskan sunnah Nabi (SAW).

Disebutkan satu disini sebagai pendahuluan dan dengan rahmat Allah (SWT) amalan yang lain akan menyusul inshaAllah. Bolehlah diamalkan ayat berikut yang menjadi amalan Nabi Muhammad (SAW) sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan 3 kali pada waktu petang:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي اْلأَرْضِ وَلاَ فِي السَّمَاءِ وَ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْم
(Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudharat selagi bersama dengan namaNya segala yang di bumi dan tidak juga segala yang di langit dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)

Mendoakan kesembuhan untuk sesama Islam juga menjadi amalan yang amat diutamakan oleh Nabi Muhammad (SAW). Begitulah sifat kasih sayang yang sepatutnya sentiasa diamalkan terhadap sesama orang-orang beriman. Bacakanlah doa ini sebanyak 7 kali sewaktu menziarahi saudara kita yang sedang sakit:
اَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ ربَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ اَنْ يَشْفِيْكَ إِلاَّ عُوْفِيَ
(Aku meminta kepada Allah yang Maha Mulia Tuhan yang memiliki 'Arash yang mulia yang akan menyembuhkan engkau melainkan disembuhkan)

Betulkanlah persepsi tentang apa yang dikatakan pendinding, zikir, ayat atau doa serta ikhtiar kesembuhan dari sumber Al-Quran dan Sunnah. Ianya suatu amalan bagi beroleh rahmat dariNya. Bukanlah pendinding untuk beroleh kehebatan dan hakikatnya tidak pula ilmu kesembuhan itu bagi untuk menjadi tabib atau bomoh. Semuanya bagi memberikan tumpuan kepada Allah (SWT) dalam setiap masa dan kedaan dan menyatakan kasih sayang (ruhama') sesama orang beriman.

No comments:

Post a Comment